Local blogger Ajami Hashim interviews lead actor Saeful further @ cinema.com.my


Punggok Rindukan Bulan (website)
Azharr Rudin (myspace)

Salaam..
Masa kat luar panggung, ada seseorg bertanya kpd saya "Apa pendapat Ajami?".. dlm hati, saya terus terigt filem indie pertama yg pernah saya ulas di blog bicaraskrip ~ Love Conquers All yg ironik-nya juga terbitan Da Huang Pictures! bila saya baca balik posting tu, rasa mcm tak percaya juga krn saya agak direct memberikan pndpt.. haha!.. so, terus saya jawab soalan tadi dgn berkata "Saya terbuka utk semua filmmaking genre & style".. erm! sgt play-save kan?.. sejujurnya semasa menonton PRB saya letakkan diri saya di zon neutral dimana saya buka penerimaan saya utk apa saja cara-gaya Azharr Rudin bercerita.. sah2 ia sebuah filem indie.. maka tidak adil bagi saya utk membandingkan ia dgn sebuah filem komersial.. maksud saya, ada ketikanya bunyi rangupan pop-corn yg saya kunyah lebih jelas kedengaran! (baca: filem ini tanpa muzik latar & adakala babaknya panjang yg panjang).. namun seikhlasnya juga bahawa saya sukakan ceritanya!.. lantas, bagaimanakah seandainya saya diberikan tugas untuk mengajak secara halus penonton kebanyakan utk pergi menontonnya?.. mungkin ulasan semudah & se-spoiler tulisan di Pancaindera berikut mampu utk memujuk penonton? (yg ditambah dgn gambar & info dr DHP oleh bro Amir).. siapa tahu kan?

AMARAN KERAS! ULASAN INI ADA SPOILER TAHAP GABAN!

ref: PANCAINDERA ~ Rindu seorang anak (versi edited)


kredit tukang scan: wawa

versi asal:

Kisah Adman, Sidi dan Roza

Filem ini dimulakan dengan sebuah babak tipikal pergaduhan kecil seharian dalam sebuah keluarga bak pepatah sedangkan lidah lagi tergigit. Keluarga nukleus ini cuma ada 3 orang iaitu Adman, isterinya Roza serta anaknya Sidi yang tinggal di sebuah rumah pangsa kos rendah. Mulanya, khalayak cuma diintaikan oleh pandangan sisi oleh Sidi yang mendengar jerit-pekik umi kepada ayahnya tentang suatu ketidakpuasan. Akhirnya, si umi menghempas pinggan ke lantai serta sepak-terajang kerusi. Ia situsi yang agak tegang tapi mungkin anda pernah mendengarnya sebelum ini?

Berbagai persoalan mampu tercetus di minda khalayak samada sang isteri yang marah kerana desakan naluri femininnya? Mungkin juga tugas maskulin si suami yang tidak cukup memberikan apa yang sepatutnya? Atau adakah si anak yang menjadi punca di tengah hingga jadi pertengkaran umi dan ayahnya? Dalam satu tangkapan kamera sahaja filem ini sudah mampu memberikan sedikit umpanan untuk kita terus mahu menerobos apa sebenarnya masalah dalam keluarga ini? Kalau untuk sebuah filem komersial tentunya banyak sudut tangkapan kamera yang diperlukan untuk menerangkan situasi genting sebegitu. Agaknya, begitulah uniknya sebuah filem indie panjang karya sulung Azharr Rudin ini. Bajetnya murah tapi isinya mahal!

Sukarnya untuk mentafsir hati seorang wanita, suri dan umi! Roza nampak bahagia dan kemas dengan rutinnya sebagai seorang ibu pengasuh Sidi. Tiada cacat-cela dari riak wajahnya. Namun tanpa diduga, pada suatu hari Roza meninggalkan keluarganya! Azharr nakal bercerita bagaimana maksud pemergian Roza itu dengan satu babak dimana dari tingkat atas Sidi dan uminya menuruni tangga rumah pangsa lantas akhirnya hanya muncul Sidi seorang diri bila sampai ke tingkat bawah. Seterusnya khalayak berkongsi mata dan telinga Sidi di sepanjang filem ini.

Rumah pangsa dan sekitarannya menjadi pentas cerita penuh Punggok Rindukan Bulan. Bermulalah sebuah kebebasan tanpa batasan untuk Sidi dan ayahnya di rumah itu. Kita turut merasakan suka-duka mereka. Awalnya mereka hanya akur dengan erti sebuah kehilangan tapi lama-kelamaan ia bertukar menjadi pencarian tanpa arah tujuan. Hubungan ayah-anak sekadar menjadi panggilan dan sahutan kosong. Ruang sempit rumah pangsa itu terasa semakin luas. Rutin hidup mereka tidak lagi mengikut aturan. Makan dan minum di gerai berbayar setiap hari. Malah tempat berdengkur juga sudah bertukar lokasi, si ayah lena di sofa, si anak nyenyak di katil kelamin. Benar kata orang, gelaran surirumah maksudnya yang menjadi penyeri dan penjaga rumah! Tanpa dia, goyanglah rumahtangga!

Lantas perubahan mendadak dalam hidup Adman dan Sidi tanpa suri mereka itu mengakibatkan evolusi kehidupan untuk hari-hari yang mendatang. Adman semakin ketagih dengan aktiviti memancingnya malah cuba menjinakkan Sidi untuk menjadi pemancing tegar sepertinya. Namun ajakan manja ayahnya itu umpama paksaan cara halus bagi Sidi. Dia tidak gembira dengan ruang masa ayah-anak di tengah malam buta untuk memancing di ceruk belukar di bawah jambatan berunggun api. Apatah lagi bila ayahnya meninggalkan Sidi seorang diri untuk mencari umpan di penjuru lain belukar itu. Bagi Sidi apalah gunanya dibawa ke situ kalau hanya mahu menemani keseronokan ayahnya sahaja? Dia benar-benar bosan dan terpaksa! Jelas terpapar bila Sidi mencampakkan lampu suluhnya ke dalam unggun api yang marak, semarak rasa marahnya di dalam hati. Nawaitu Adman memang betul untuk meluangkan masa dengan si anak tapi Sidi pula merasa betul-betul bosan dan terpinggir! Ia bak fire camping yang tidak cocok cara, tidak kena tempat dan tidak sesuai masa!

Sidi pula mula ponteng sekolah dan menjadikan ruang-legar di sekitar rumah pangsa itu sebagai taman permainan. Masanya dihabiskan di rumah menonton televisyen cerita kartun. Rumah itu semacam hotel. Sidi sudah berani keluar bermain skateboard dengan rakan senakalnya hingga pulang lewat malam. Kutuk-mengutuk pasal keluarga sesama rakan jadi pergaduhan. Pemuda kutu bernama Remy yang selama ini suka menyakatnya dalam lif rumah pangsa itu dianggapnya sebagai taiko. Dia makin suka menjeling-jeling gadis comel dari jauh. Kedai video games yang jauh berkilometer sanggup dikunjunginya. Malah sifat kebiadapan Sidi terzahir satu-persatu sehingga tergamak meludah orang yang dibencinya. Boleh dikatakan semua perlakuan liar remaja yang ditegah oleh ibubapa hendak dicubanya.

Namun sejujurnya khalayak dapat merasakan gelodak jiwa Adman dan Sidi jadi begitu kerana desakan bosan, kesunyian dan rasa rindu mendalam mereka kepada Roza. Akhirnya, Adman akur bahawa memancing seorang diri berhari-hari di tengah lautan dengan memandang ke arah Singapura adalah sia-sia! Gejolak amarahnya dihamburkan dalam sekuen babak dari saranan Anton Chekhov iaitu menghunuskan keris yang terpampang berkali-kali di dinding rumah mereka. Dia mengamuk melepaskan geram dan bengang dengan hidupnya sendiri yang terbuku selama ini ala Hang Jebat setelah tayar keretanya dicuri oleh Remy. Akhirnya Adman insaf dan redha bahawa realitinya dia sudah kehilangan Roza buat selamanya.

Sidi pula menangis di balkoni tempat penyidai kain rumah mereka untuk mengakuri rasa rindunya yang teramat kepada Roza. Dia tahu di situlah bekas-bekas tinggalan uminya kerap memerhati dan pasti melambai setiap kali dia pergi sekolah dan pulang ke rumah. Sidi juga memanjat dan bersiar-siar di puncak bumbung rumah pangsa itu lalu merenung jauh sekitarnya yang masih luas untuk diterokai seolah mengiyakan bahawa uminya mungkin boleh berada di mana-mana jua.

Di kemuncak filem ini Adman dan Sidi pergi memancing bersama-sama dengan gelak-tawa. Mereka berganding-bahu mencari umpan di tepi laut dengan berbelakangkan gemerlapan neon di Singapura. Kini Adman sedar bahawa dia masih ada Sidi dan dirinya sendiri.


Kisah rumah pangsa dan jambatan

Filem ini juga berlatarkan kehidupan uzur dan daif di saat-saat akhir semua bangunan Rumah Pangsa Bukit Chagar, Johor Bahru sebelum ia dirobohkan. Sempat juga snapshot kenakalan dan maksiat biasa untuk penghuni rumah pangsa di anak tangga yang tersorok disindir secara sinis. Azharr Rudin sempat merakamkan filem ini sebelum kemusnahan kekal rumah pangsa itu sebagai nostalgia peribadi beliau. Perobohan bangunan-bagunan itu ialah penamatnya sebuah kemajuan yang pernah menjadi kebanggaan suatu masa dahulu. Ia juga ibarat kota konkrit yang pernah tinggi melangit seakan mahu bersaing dengan hutan-hutan batu moden di tanah seberang Singapura. Simboliknya imej-imej gerombolan jentolak yang meranapkan rumah pangsa itu dari atas bumbung di akhir filem ini seakan raksasa kemajuan baru yang memakan binaan empayar tua yang usang? Sedutan berita di kaca tv mengenai jambatan bengkok yang dibatalkan pula seolah menjadi iringan selari cerita keruntuhan rumahtangga Adman-Roza yang tidak panas sampai ke petang?

Mungkin begitulah unik sifatnya sebuah filem indie seperti Punggok Rindukan Bulan ini. Setiap frame gambar bergerak dan bunyinya ada sesuatu yang tersirat untuk ditafsirkan. Barangkali ia cerita biasa sebuah konflik keluarga dan rumahtangga? Tidak mustahil juga Azharr Rudin mahu menyuarakan suatu teguran yang berkias dan berlapik? Siapa tahu kan? Kesimpulannya, Adman dan Sidi mirip sepasang burung punggok yang rindukan bulan (Roza) selamanya kerana mereka tahu bahawa ia tidak akan jatuh ke riba! Benar! Mereka kehilangan seorang dari bertiga namun kini mereka ketemu bahagia untuk berdua sahaja.

Saksikanlah filem Punggok Rindukan Bulan karya Azharr Rudin yang diterbitkan oleh produksi Da Huang Pictures di pawagam digital terpilih mulai 25 September 2008.

p/s: filem ini ada versi panjang dimana Sy. Amani berlakon! katanya yg itu utk versi festival luar durasi lebih 2 jam! utk tayangan di sini versi 88 minit ajer.. [rujuk youtube di bwh]

ulasan2 lain yg betul2 lain!
~ Fadz.tontonfilem
~ Ezekiel Lee Zhiang Yang
~ KLue (interview)
~ Amir (tokeh DHP)
~ sirehdancengkeh
~ coldheartediceprincess
~ amyikram

Azharr Rudin ~ pengarah


Amir Muhammad ~ penerbit


Saeful Nazhif Satria ~ Sidi


p/s: saya terjumpa blog Anwardi Jamil >> sayaanakwayang.blogspot.com