Sabtu, 27 Disember 2008

Cicakman 2: Planet Hitam ~ ambisi keterlaluan?

Cicakman 2: Planet Hitam hendak mendekati siapa sebenarnya? Kanak-kanak yang berangan nak jadi superheroes atau orang dewasa yang sukakan genre superheroes? Atau kedua-duanya sekali? Bagi aku, ia sangat mengelirukan seperti juga kemusykilan identiti watak Hairi dan Cicakman itu sendiri. Malahan ada ketikanya kedua-dua watak seakan tiada bezanya mungkin cuma kostum sahaja yang bertukar warna dan bentuk. Perwatakan Hairi dengan lawak bersahajanya masih sama juga bila dia memakai sut Cicakman tetap dengan lawak ala lurus bendulnya. Watak Cicakman mesti ada perbezaan yang ketara selain dari keupayaan superheroes-nya berbanding watak manusia biasa seharian sebagai Hairi. Itulah yang sepatutnya berlaku kerana dimana orang tidak akan mengenali identiti sebenar Cicakman apabila dia memakai sut khas itu. Tapi kalau kedua-dua watak seakan sama perangai dan tingkahlaku serta perwatakannya, maka ia jadi biasa. Betul! Kelebihan memakai sut Cicakman memudahkan Hairi berlari, melompat, bergayut, bla bla bla.. tapi dia mesti membezakan semuanya sekali bukan sekadar bertukar rupa pakaian. Mungkin misalnya bila Hairi menjadi Cicakman dia kena lebih serius dan lasak berbanding poyo dan terhegeh-hegeh seperti Hairi. Kata-kata kuncinya ialah PERTUKARAN dan PERBEZAAN!

Oklah! Kalau Cicakman mahu jadi filem superheroes yang humor, parody dan comical habis kenapa naratif asasnya terlalu berat dan serius? Maksud aku, filem ini mengangkat isu semasa di Malaysia iaitu reformasi menggulingkan kerajaan! (oleh Professor Klon dan sekutunya) Ia sarat dengan isi cerita yang berbaur politik, demonstrasi jalanan, korupsi, penyalahgunaan kuasa bla bla bla.. Adakah filem seberat ini sesuai disuapkan kononnya secara ringan kepada kanak-kanak? Ini yang akan menjauhkan keseronokan mereka kerana pertelagahan kuasa di antara Professor Klon dan Presiden Ramlan bukan dunia budak-budak. Ia terlalu besar! Untuk orang-orang dewasa sebenarnya. Lantaran itu sebaliknya jika filem ini untuk orang tua, kenapa pula terlalu diperbudakkan cara ceritanya? Soalan kuncinya ialah siapa PENONTON SASARAN Cicakman 2?

Keaslian! Ini juga masalah Cicakman 2. Mungkin watak Rrama sahaja yang tidak mengingatkan aku kepada mana-mana watak villain dalam filem superheroes Hollywood (walaupun sedikit persamaan dengan Cat-Woman dalam Batman) Tapi watak Rrama perlukan sedikit backstory yang kukuh selain dari kegilaan merakam kematian mangsanya. Ok! Itulah yang perlu diberikan sedikit backstory untuk Rrama bagi mengetahui apakah penyebab dia jadi psiko sebegitu? Tentu ada puncanya. Watak-watak yang lain memang tiada keaslian! Watak-watak Ginger Ghost adalah copycat The Twins dalam filem The Matrix Reloaded. Miss Chee ialah saduran kombinasi watak psikik The Oracle (The Matrix) dan mekap/kostum Queen Padme Amidala (Star Wars) Adakah produksi Cicakman 2 sudah kekeringan idea langsung untuk mencipta 100% watak-watak villain tersendiri. Aku tak payahlah nak panjang-lebar menyamakan cara-gaya lompatan dan larian Cicakman itu sendiri dengan miripnya lagak Spiderman yang cuma digantikan web-shooter dengan lidah Cicakman! eeuuu!.. Perkataan kuncinya ialah KEASLIAN!

Nawaitu filem ini juga seakan terlalu besar, sebesar superheroes Hollywood tapi masih dangkal kemampuannya. Ia seumpama seorang amatur yang hendak ke pertandingan profesional. Lantas kenapa ia berambisi terlalu tinggi kalau tahap capaiannya ternyata masih rendah? CGI? Ya! Itulah kekuatan filem ini yang juga menyerlahkan kelemahannya paling ketara bila terlampau mencuba. Misalnya kereta kebal Professor Klon tiada bezanya dengan kartun-nya lori treler dalam filem Impak Maksima. Adakah Cicakman 2 tidak mahu belajar dari kekurangan itu? Aku pelik kalau Hollywood sendiri merealisasikan dinosaur dalam filem sebesar Jurassis Park tidak berani menggunakan 100% CGI (mereka menggunakan teknik gabungan CGI, robotic, fiberglass dan tanah liat) Namun Cicakman 2 mencipta sebuah kereta kebal yang 'sebesar alam' itu 100% CGI? Hello! Penonton kanak-kanak pun tahu menilai mana CGI yang nampak real atau sebaliknya! Betul tak murid-murid semuaaa? Kita sebut ramai-ramai frasa kuncinya ialah CGI yang BERPADA-PADA! Atau pepatah kata UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI!

Jadi kesimpulannya sebagai kata kunci penutup aku ialah Cicakman 2: Planet Hitam memang best giler! Buatlah sambungannya Cicakman 3 secepat mungkin! Aku dah tak sabar-sabar nih!

10 ulasan:

Miss Brat berkata...

Wow ajami..kalaulah aku seberani ko :D

jhebat berkata...

setiap perenggan ada kata kunci tu ;-)

mohd sazni berkata...

Betul tu,aku sangat-sangat 'disturbed' bila aku tengok cerita ni.Mungkin bila KRU kata Cicakman 2 akan lebih serius dan kurang lawak,hanya asas naratif yang dibawa sahaja yang memang berat tapi dari aspek yang lain macam tak ada yang kena mengena pun.Ada shot-shot CGI-nya yang kelihatan sangat-sangat komputer(pelik bagi aku)

Hurm,bila Rrama membunuh atas sebab seni,aku tak nampak di mana seninya..haha(lainlah kalau dia simpan teLinga mangsanya ker).lagi satu kalau Prof. kLon tu dah boLeh buat penapis air,kenapa la rakyat metrofulus tak boleh fikir yang dia boleh halang terus air tu jadi hitam(dari empangan)

p/s: kenapa ada poster Undilah Saya gambar Presiden metrofulus??tak nampak ada bahang bekas p/raya mahupun akan ada p/raya..pelik2

blackpurple @ jowopinter berkata...

Aku belum rasa teruja nak menontonnya. Entah kenapa ye? Bukan genre yang aku minat kot.

:D

ryann berkata...

juga tidak begitu teruja.

Tanpa Nama berkata...

Asal la pembikin filem aras perdana kita ni suka benar fikir yang CGI = terus filem tu jadi bagus

Tanpa Nama berkata...

superman tu cuma pakai kanta lekap. tapi dia asal tanah jawa sebenarnya.

Ikhares berkata...

wah, mendalam kesimpulannya ya??

haha..

Ajami Hashim berkata...

miss brat ~ direct dari hati gua okeh! hahaha

jhebat ~ teringt lagu kau kunci cintamu dlm hatimu ~ kak melah! harharhar

sazni ~ aku pun disturbed yaa amts bro! hahaha!

jowopinter ~ tunggu kuar astro lah! ;-P

ryann ~ boleh diabaikan ajer!

Tanpa Nama 1 ~ gua setuju!

Tanpa Nama 2 ~ kanta lekap ekk? wakakaka!

Ikhares ~ memang sgt MENDALAM sampai ke tulang sum2! larrikkk!

Sakura berkata...

Thanks sudi masuk blog saya;-)...
Yela..jujur cakap ye saya tak ada 'hati' nak tengok Cicakman 2ni..Rasanya kalau nak cakap tentang CGI, filem - filem bebas @ iklan dekat TV lagi hebat...Rasanya filem ni sesuai untuk kanak - kanak bawah 12 tahun @ peminat - peminat yang suka 'berfantasi' nak jadi superhero:-)Apapun semangat tu penting mencuba!!!