pengarah: James Lee penulis skrip: Amri Rohayat

Mampukah hantu membunuh manusia?

Histeria nampaknya telah mencipta mitos hantu yang baru dalam perfileman Malaysia. Seperti juga filem Susuk (baca: pemakaian susuk keramat boleh tukarkan Suzana jadi raksasa macam Batman?) dan Puteri Gunung Ledang (baca: dia seorang puteri dari kerajaan Majapahit?) dengan lagenda bikinan produksi masing-masing, Histeria pula menghibridkan jembalang busut ke bentuk raksasa yang mempunyai tuan, bersifat fizikal, ganas, pantas dan halimunan. Maka dengan itu, Histeria menjawab persoalan asas penonton yang menidakkan plotnya iaitu: Ya! hantu (jembalang busut) boleh membunuh! Siapa nak saman? Silakan..

Kekreatifan rekacipta unsur kebolehan jembalang Histeria itu pastinya akan merevolusi filem genre seram di Malaysia selepas ini. Maknanya, ia akan jadi bandingan skala untuk cuba melebihi keseraman Histeria dengan lebih lagi dimana visual dan bunyi keganasan hantu, polong, raksasa dan lain-lain aneka makhluk halus di masa akan datang akan lebih berubah ke arah lebih hebat! Apatah lagi dengan keghairahan pembikin filem kita yang semakin berlumba-lumba untuk menggodam filem mereka dengan CGI masakini. Kalau Histeria arahan James Lee TIDAK langsung menggunakan CGI dimana 100% menggunakan kostum dan teknik mekap hasiltangan Ella Sandera sahaja untuk merealisasikan 'seekor jembalang', maka apa yang tidak mustahil lagi untuk menciptakan lembaga menyeramkan oleh pembikin filem yang gemar ber-CGI kan? Cuma kena beringat juga bahawa kadangkala teknik 'old school' seperti Histeria nampak lebih 'betul' rupanya.

Dari segi naratif, Histeria telah memparodikan genre seram Melayu yang tipikal itu sendiri seperti juga filem Susuk. Di awal cerita lagi bomoh telah dipermainkan oleh budak-budak Pink Ladies sebagai tamparan sinis kepada filem-filem 'berbomoh' sebelum ini! hahaha.. Di waktu yang sama Histeria juga memperkotak-katikkan logik saintifik dari analisis seorang doktor psychiatrist yang sangat ikut teori sains mengatakan bahawa Murni adalah schizophrenia yang sebenarnya TIDAK! Malahan detektif yang menjuruskan ia sebagai fakta jenayah juga kebuntuan samada Murni melakukan semua pembunuhan itu atau tidak? Ini semua adalah kenakalan filem Histeria yang sinikal. Walaupun ia mengulang cara slasher films dimana mangsa dibunuh satu-persatu oleh si pembunuh yang gila (jembalang) namun dalam Histeria aku gembira menyaksikan Pink Ladies, warden dan boyfriends mereka dihukum, dibunuh, dimakan dengan kejam kerana sememangnya mereka layak diperlakukan sebegitu berdasarkan kejahatan atau ketidakadilan lampau mereka kepada Murni, diri sendiri atau orang lain. Cuma begitulah lazimnya juga manusia yang sudah hanyut dengan kerakusan kuasa akhirnya akan memakan diri Murni kerana sanggup ter-membunuh Alissa (arahan kepada jembalang) rakan karibnya sendiri.

Konsepnya mudah sahaja. Tak ada sorok-sorok, tak ada belok-belok! Sebab Histeria sepatutnya cerita B-Movie Sunday matinee yang mudah difahami (baca: a pure thrill ride yang tak perlukan otak) Genesis filem ini rasanya ialah filem Alien yang pertama, objektifnya tak lain dan tak bukan ialah nak hantar sebanyak mana yang seboleh-bolehnya penonton ke bawah kerusi atau di belakang bantal busuk masa tengok filem ini! Yang khalayak patut kisahkan hanyalah awek mana yang akan mati seterusnya dan macamana dahsyatnya cara dia akan mati? Sebab itu dialognya pun straightforward tak ada semiotik dan makna tersirat, supaya tak mengganggu dari tujuan utama filem ini iaitu nak bunuh awek-awek cool satu persatu dan penonton akan bersorak-sorai bila setiap awek yang berlagak tu mati semuanya. Ini macam dendam kesumat kaum geek terpinggir (Murni) kepada kaum cool lah. Hahaha.. aku baru cakap tak ada semiotik filem ini kan? Sepatutnya filem ini dianggap sebagai filem kelakar gelap!

Mengapa? Pertama, bila kamu tengok filem hantu maknanya kamu sudah menyerah diri kepada idea yang dalam dunia ini memang ada hantu. Jadi ikut suka hati jembalang itulah apa dia nak buat dalam filem dia kan? Kalau tak, susahlah orang nak percaya dalam dunia ini ada manusia suka pakai seluar dalam kat luar dan boleh terbang! Kedua, sebenarnya betul tak? kita dah mula bosan dengan hantu lembik tak ada telur yang cuma tahu buat orang mati terkejut secara menyakat dan menyergah sahaja! (baca: ini mitos hantu yang tipikal sejak zaman dahulukala.. mitos! jadi peduli apa pun kalau nak ubahsuai kan?) Jadi apa salahnya hantu rasuk jasad manusia kemudian ambik kesempatan bunuh orang? Dia masuk dalam badan manusia kemudian gunakan segala deria fizikal itu untuk melunaskan nafsu lapar dia. Barulah hantu jantan namanya! hahaha..

Histeria juga sebenarnya sekaligus mempermainkan penonton! Apa yang khalayak saksikan dari sebahagian besar flashback oleh cerita mulut Murni yang kita lihat dan dengar dalam filem ini adalah penipuan yang terancang oleh dia. Betul! Setiap kengerian pembunuhan yang berlaku adalah benar TAPI Murni berbohong kepada penonton bila babak dia terjerit-terlolong menyaksikan semuanya berlaku dimana sebenarnya dia ketawa gembira-ria memberikan arahan kepada jembalang. Murni adalah Aladdin yang mendapat permintaan yang tidak berkesudahan dari seekor jin (jembalang) kerana dia adalah tuan baru yang memanipulasikan kuasa untuk membalas dendam kesumat kepada Pink Ladies yang membulinya selama ini. Malahan macam aku cakap tadi, mungkin jembalang itu yang rasuk dan masuk ke dalam badan Murni dan bunuh semua mangsa. Kalaulah ada team CSi membuat autopsi kepada setiap mayat untuk mencari jap jari Murni! hahaha.. Agaknya Murni dah bersatu-padu dengan jembalang katanya. Semua tu tak mustahil untuk sebuah filem ok! Itulah nilai hiburan dalam Histeria. Kita suka dengan penipuan dan manipulasi imejan yang ditayang dan diperdengarkan kepada kita! Jadi selepas menonton filem Histeria adakah kamu percaya sepenuhnya apa yang kamu tonton?

Dari sudut pembikinan Histeria pula, aku rasakan bahawa James Lee dan produksi TUSB bersuka-ria dengan teknik-teknik tangkapan gambar, bunyi, efek dan suntingan yang mengesankan. Histeria memang terasa jimat pencahayaan maklumlah babak-babaknya hanya di waktu malam. Bagi sebuah filem seram, kegelapan itulah yang menjadikan ia lebih menakutkan. Percikan darah juga jadi pesta warna-warni air yang digunakan ke tahap maksima sehingga adakalanya terasa komedi seram? Itu memang disengajakan katanyaaa.. Ambilan gambar dekat yang terlalu dekat juga sering dipaparkan di skrin seolah-olah mencabar bukaan mata penonton untuk menyaksikan secara terperinci apa yang seram dan ngeri dalam Histeria. Dalam ertikata lain, kalau kamu mahu berani mati hendak saksikan sebuah filem seram, nahhh! tengoklah puas-puas!

NOTA:

Mungkin inilah penangan pembikin filem indie bila turun ke arus perdana. Cara bikinan mereka lain macam sikit. Bagi aku ia sesuatu yang cakap serupa bikin atau 'walk the talk' dari kelompok pembikin indie kerana sudah tentu selama ini mereka mentertawakan filem-filem arus perdana yang selekeh selama ini (baca: tak semua selekeh) Maka sekarang mereka turun padang untuk hasilkan dari cara mereka. Sepanjang tahun 2008 filem-filem Susuk, Budak Kelantan, Kami The Movie dan Histeria telah menyemarakkan lagi semangat baru kepada industri perfileman arus perdana. Pulangannya kepada penonton ialah kita dapat 1001 bikinan filem yang terasa fresh dan lain sikit. Harapnya kehadiran pembikin-pembikin filem ini akan mencernakan persaingan sengit yang positif kepada pembikin-pembikin filem arus perdana yang sedia-ada pasaran mereka untuk lebih menaiktarafkan bikinan filem mereka lagi. Jangan besar kepala sudahlah! Rebutlah pasaran filem dengan cara yang betul dan hormatilah kehendak khalayak yang sentiasa tunggu dan lihat apa yang kamu semua akan tayangkan di pawagam. Jangan cepat besar diri bila filem kamu pecah-panggung atau menang anugerah. Ingatlah industri perfileman di serata dunia ada pasang-surutnya juga, roda kegemilangan akan sentiasa berputar! Jangan putus asa kalau filem kamu gagal di pasaran kerana sudah tentu ada sebab-musababnya lalu cepat-cepatlah betulkan sebelum bikinan filem kamu seterusnya.

Aku petik kata-kata James Lee sendiri dalam sesi intebiu youtube bahawa penonton masakini hendakkan sesuatu yang instant macam makan mee segera! Dia maksudkan bahawa khalayak sekarang semakin tidak sabar bila menonton sesebuah filem. Mereka mahu lihat bukti visual dan bunyi secepat mungkin dimana naratif yang sangat meleret-leret akan dihindari dan dicemuh sebagai draggy dan membosankan. Betul! Filem ialah medium cerita wayang gambar yang berbayar bukan novel, bukan juga radio. Penonton mahukan hiburan yang pulang modal dan berbaloi. Tidak! Aku tidak menidakkan filem-filem drama berat yang perlukan sarat exposition dan dialog. Untuk filem sebegitu sememangnya ia amat perlu banyak fakta dan plot cuma kena pandai untuk menyegerakan penceritaan. Bagi sebuah filem seram atau komedi itulah yang perlu diperbetulkan oleh pembikin filem kita mulai sekarang terutamanya penulis skrip. Tolonglah tulis lakonlayar dan bikin filem yang mantap dari segi penceritaan naratifnya! Kadangkala aku dapati bahawa filem kita ada tema dan asas cerita yang bagus dan kreatif. Tapi gagal dari segi 'bercerita' menyebabkan ia jadi merayau-rayau tanpa hala-tuju sebelum dihabiskan klimak yang tergantung atau klise. Aku juga rimas dengan alasan remeh pembikin filem yang menghasilkan genre komedi ringan dengan alasan perisai bahawa ia sebuah filem komedi, jadi tak perlu nak serius sangat dengan jalan cerita janji kononnya penonton pasti akan terhibur dengan lawak ringan dan bodoh kerana ia filem komedi yang pastinya akan jual! Aku tidak berseteru dengan filem sebegini, cuma tolonglah kemaskan cara berceritanya! Tapi aku pun tahu juga bahawa ada pembikin filem komedi yang degil akan cakap "aku peduli apa? janji pada aku, filem aku kelakar nak mampus! filem macam ni akan laku dan aku boleh bikin lagi dan lagi filem komedi yang ringan!" Hello! ringan tak bermakna cincai ok! Panjang berjela-jela pulak rebiu aku kali ni sempena Selamat Tahun Baru 2009.. semoga industri perfileman Malaysia akan lebih pandai! lalala!


*Ajami Hashim vs. James Lee >> youtube
*rebiu blogger lain >> sini

*bacaan tambahan >> dr.zul