Khamis, 24 September 2009

BODY 2 BODY: A Malaysian Queer Anthology - representasi dari dalam almari?

info buku
Sebuah buku antologi 23 karya tulisan fiksyen dan bukan-fiksyen ini mungkin menimbulkan tandatanya apakah agaknya kandungan sebenar buku ini hanya berdasarkan judulnya. Namun setelah saya baca satu-persatu isinya, ia mencetuskan pelbagai reaksi yang lebih kepada cuba memahami apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Buku ini tidak boleh dipukalkan kepada apa-apa rangkuman kesimpulan yang mampu menyamaratakan kesemuanya kepada suatu konklusi sahaja. Setiap karya ada sebab kenapa ia ditulis secara persendirian oleh si penulis. Maksud saya, katalah anda membaca buku antologi kisah-kisah seram misalnya, sudah tentu setiap tema cerpen di dalam buku tersebut akan menjuruskan kepada cerita 'seram'. Tetapi, buku antologi ini seolah-olah setiap tulisan berdikari sendiri melalui genre khusus penulisannya. Mungkin lebih mudah saya katakan bahawa buku ini seperti rojak cerpen ekspresi dalaman eksklusif setiap penulis tentang sekeliling mereka yang melibatkan pilihan seksualiti individu. Naratif setiap karya sangat berlainan satu sama lain! Anda akan membaca tulisan yang benar-benar fiksyen (malahan fiksyen sains) ataupun esei tentang kemanusiaan asas atau bersifat akademik yang keterlaluan. Benar! Sebuah buku antologi yang berkulitkan seksualiti alternatif pastinya mengandungi metafora dan penceritaan teliti mengenainya yang mungkin bukan kebiasaan bagi sesetengah pembaca yang 'normal'. Namun begitu, penceritaan karya-karya yang menyentuh tentang perasaan kasih-sayang di antara dua insan (samada yang mendapat respons atau ditolak) dalam buku ini adalah suatu yang universal dan umum. Kebanyakan penulisan dalam buku ini tidak meminta untuk 'reseptif' atau simpati tetapi lebih kepada 'memberitahu' ia berlaku dalam kehidupan individual yang mereka pilih (atau azali). Ada juga karya yang tiada langsung tentang naratif yang berbaur seksualiti tetapi lebih kepada cerpen biasa tentang hubungan sesama manusia. Dan sesetengah tulisan pula lebih kepada memori rawak lampau yang masih diingati oleh si penulis (atau protagonis) yang kini memberikan makna ke-dua setelah mereka dewasa. Ceritanya juga sangat beraneka pandangan sisi samada dari watak yang memiliki naluri seksualiti alternatif mahupun orang-orang keliling mereka yang rapat untuk melalui bersama-sama kehidupan yang sentiasa hendak dilindungkan (atau diselamatkan) dari pandangan rutin masyarakat. Ringkasnya, bagi saya Body 2 Body: A Malaysian Queer Anthology ialah sebuah garapan penulisan berbahasa Inggeris yang boleh menjinakkan kemalasan saya untuk membaca sebuah buku tentang kehidupan orang lain yang saya kurang tahu! Sebuah representasi dari dalam almari yang berani mati.. barangkali?


iklan di mukasurat belakang sekali buku Body 2 Body
info penyertaan >> ORANG MACAM KITA

6 ulasan:

Amir Muhammad berkata...

Kami bercadang untuk menamakan buku BM tu "Orang Macam Kita."

Amacam OK ker??

fadz berkata...

cakap je lah buku ni genre gay, seksualiti alternatif ke benda.. haha

amir, ok lah tu

Tanpa Nama berkata...

Orang Macam Kita= People Like us? PLU u mean? lol...Dah agak dah...

wirawan berkata...

fikir kan mesej yg nk disampaikan. bukan bahasa yg digunakan.

Amir: sy setuju

Tanpa Nama berkata...

mesejnya ialah: sekarang dah ok jadi gay. tak macam zaman nabi luth. eh, ye ke?

Tanpa Nama berkata...

“Orang Macam Kita”?

Saya kira ini sebagai sebahagian usaha menarik untuk meng’gay’kan perkara dan persekitaran yang bukan atau tidak semestinya gay.

Walhal “…Kita” boleh saja jadi wakil kata diri untuk penyanyi, pencuri,politikus, pelayan, peguam, pemandu van sekolah, pengurus dana, pegawai bank, guru sekolah, kerani dan lain-lain.

“…Kita” boleh saja mewakili mereka yang akrab dengan karya-karya seni atau “…Kita” boleh juga mewakili karyawan atau kelompok seniman sendiri.

Tidak semua lelaki atau perempuan yang pendiam, ‘sensitif’ dan kurang pandai bergaul dengan jantina berlawanan adalah gay. Mungkin ada yang di luar sana cuba mendamba cinta dari jantina sejenis tetapi tidak ditolak dengan kasar atau jelas. Mereka yang menolak cinta sejenis anda ini boleh saja berkelakuan demikian kerana rasa hormat dan menghargai anda sebagai kawan, walau mereka amat jelas, pada diri mereka sendiri, bukan homoseksual.

Anonymous juga tidak ingin disangka ‘gay’. Bukan semua orang suka menayangkan seksualiti atau nama ‘glamour’ mereka. Di luar sana, masih banyak orang ‘lurus’ atau yang suka dengan jantina berlawanan meski mereka tidak ghairah untuk menganjurkan “Festival Filem Orang Lurus” atau buku “Antoloji Seksualiti ‘Normal’ atau ‘Lurus’”.