Selasa, 20 Oktober 2009

Tahniah! Pak Hassan Muthalib :-)





Salaam.. pagi ini, saya dan abang Mamat Khalid mendapat jemputan dari Pak Hassan untuk menyaksikan detik-detik beliau menerima Anugerah Kehormat UiTM. Berikut ialah teks ucapan balas beliau yang dikirimnya melalui e-mail kepada saya.

UCAPAN BALAS
oleh Hassan Abd Muthalib

Selama hampir satu abad, filem-filem Hollywood sudah membuatkan kita lebih mengenali alam dan negara Amerika daripada alam dan negara sendiri. Seperti kata Allahyarham Dato’ Syed Alwi:

Jika mahu tahu tentang budaya Amerika, tanyalah sesiapa saja.
Jika mahu tahu tentang budaya orang Melayu, carilah seorang pakar.

Dengan teknologi digital, Hollywood kini melahirkan filem-filem yang tidak pernah diimpikan oleh karyawannya sendiri sebelum ini. Maka Hollywood terus menjadi kiblat bagi penggemar filem di seluruh dunia. Firman Allah subhanahu wa taala dalam al-Qur’an dengan ayat yang bermaksud:

Dan tidak aku jadikan sesuatu melainkan dengan sebab.

Filem merupakan satu bidang seni yang begitu luar biasa dalam sejarah tamadun manusia. Maka apakah sebab Tuhan turunkannya kepada manusia? Sebaik saja dijadikan, Nabi Adam bersin, Syot pertama yang diambil melalui kamera adalah visual seorang lelaki yang juga bersin. Sebaik bersin, Nabi Adam mengucapkan Alhamdulillah, bersyukur kepada Tuhan kerana menjadikannya. Orang Nasrani akan mengucapkan Bless You, iaitu, memohon rahmat Tuhan ke atas si pembersin. Pemimpin agung Iran, Ayatollah Khomeini pernah melihat filem sebagai satu manifestasi budaya yang harus digunakan untuk mendidik manusia. Bagi ahli teori filem Perancis, Andre Bazin, layar perak ibarat jendela, di mana kita mengintip gelagat pelbagai manusia yang mencerminkan diri kita sendiri. Maka boleh disimpulkan bahawa filem adalah satu rahmat dari Tuhan dan karyawannya memainkan peranan sebagai penglipur lara di zaman ini untuk membawa manfaat kepada manusia.

Filem datangnya dari Barat, namun proto-cinema sudah lama wujud dalam seni persembahan orang Melayu. Wayang kulit juga menggunakan layar putih; imej yang bergerak; suara, dan musik latar. Bangsawan menampilkan cerita, kostum, set, prop, seni lakon, dan musik. Maka bidang filem yang menjadi simbol permodenan bukan sesuatu yang asing bagi orang Melayu walaupun diiringi pelbagai ilmu baru seperti paradigma lakonlayar serta teori-teori arketaip, mahu pun semiotik. Struktur cerita dalam hikayat-hikayat tetap sama dengan paradigma lakonlayar filem arus perdana masakini. Hikayat-hikayat seperti Merong Mahawangsa dan Hang Tuah membawa watak-watak arketaip. Semiotik tabii pula sudah lama berada pada pantun, syair dan gurindam. Sebagai contoh:

Pisau raut peruncing kalam, Kalam diruncing tepi perigi;
Dalam laut ada kolam, Dalam kolam ada perigi.

Alam Melayu indah dengan serapah, mantera, pantun, gurindam, anyaman, ukiran dan kaligrafi. Profesor Muhammad Haji Salleh melihat orang Melayu begitu genius dengan seni. Kebijaksanaan mereka mengIslamkan segala yang khurafat membuatkan seni mereka terus hidup. Kosmologi Melayu kaya dengan persoalan pandangan dunia dan perihal alam metafizik. Cerita-cerita mereka bukan semata-mata untuk hiburan tetapi sarat dengan teladan sepertimana dinyatakan Tun Sri Lanang dalam Sejarah Melayu:

Supaya diketahui oleh segala anak cucu kita dan boleh di-ingatkannya syahdan beroleh faedah ia daripadanya.

Seni tradisional mudah menjadi bahan dan subjek untuk difilemkan. Filem animasi cereka pertama pada tahun 1926 di negara Jerman bersandarkan kisah dari Hikayat Seribu Satu Malam, dan menggunakan teknik animasi yang diilhamkan oleh wayang kulit. Cerita-cerita rakyat Melayu yang dikompilasi oleh Sir Richard Olaf Windstedt dalam bukunya, Malay Magic, menjadi inspirasi bagi Rudyard Kipling untuk menghasilkan buku, yang kemudian dianimasi sebagai The Jungle Book

Di kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia sudah menciptai rekod dalam terbitan siri animasi televisyen dan pawagam. Industri filem animasi kini berada pada fasa yang keempat selepas berjaya menghasilkan karya yang bertaraf dunia. Kini, langkah mesti diatur untuk menghasilkan cerita dan penceritaan yang benar-benar sinematik dan bukan rakaman. Malangnya dalam sepuluh tahun kebelakangan ini, Sinema Malaysia dicemari cerita-cerita yang remeh temeh, tahyul dan komedi picisan. Wajah orang Melayu di layar begitu buruk dan memalukan. Apakah ini mencerminkan masyarakat Melayu pada zaman ini, atau pun ianya cerminan pembikin-pembikinnya yang terlupa diri sebagai khalifah di bumi? Malang juga lagi, para juri festival filem seringkali gagal memilih filem yang benar-benar bermutu. Senario ini membuatkan saya termenung, memikirkan nasib para pelajar dan graduan yang sudah memilih bidang seni sebagai kerjaya mereka.

Tetapi saya fikir UiTM telah pun menyedari perkara ini. Namun, satu visi perlu dirangka untuk melahirkan karyawan filem dan animasi yang berketerampilan. Sebuah Pusat Animasi diperlukan - satu entiti yang tersendiri, agar dapat meneroka potensi animasi melalui rekaan kandungan yang asli, yang menjelajah, meneroka dan melahirkan wajah Melayu. Pelajar dan pensyarah berkerja rapat dengan pakar-pakar animasi yang dari Hollywood, misalnya. Kandungan dari Pusat ini akan meneroka emerging media seperti realiti virtual, hologram, animasi untuk aplikasi dalam bidang bio-tech dan program angkasa lepas. Di Pusat ini kita bawa zaman silam ke zaman moden, alih naratif hikayat kepada naratif animasi, melahirkan epik yang bersumberkan cerita dan kisah dalam hikayat atau al-Qur’an.

Program Profesor Pelawat di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (TEKA) memberi peluang untuk para pelajar berinteraksi dengan karyawan bertaraf dunia. Program Karyawan Tamu membolehkan para pelajar menyelami hati dan budi karyawan veteran untuk melahirkan karya yang mempunyai Rasa. Subjek-subjek seperti salasilah penceritaan, tamadun dan kosmologi Melayu perlu diwajibkan. Filem Wayang terbitan UiTM adalah filem tunggal yang mengangkat alam dan tamadun Melayu untuk tatapan berterusan bagi generasi akan datang. Adegan akhir dalam filem Wayang menyatukan kelir dengan layar perak. Yang lama dan yang baru menjadi satu; yang diikrar dengan lisan adalah sama dengan apa yang tertasdiq dalam hati. Inilah cara orang Melayu. Dalam dunia yang arah tujunya semakin hilang, kita mampu mengabadikan khazanah bangsa Melayu sebagaimana diimpikan Tun Sri Lanang:

Supaya diketahui oleh segala anak cucu kita dan boleh di-ingatkannya syahdan beroleh faedah ia daripadanya.

Saya amat berbangga dan berterima kasih kerana dipilih UiTM sebagai Karyawan Tamu di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik. Saya hanya manusia kerdil, yang mempunyai ilmu yang sedikit yang dianugerahkan Tuhan Yang Maha Esa. Saya bersyukur kepadaNya dan berterima kasih kepada UiTM, khususnya Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Profesor Dr Hatta Azad Khan, di atas anugerah Kehormat ini.
dari kiri: mamat khalid, ajami hashim, hassan muthalib, mansur puteh

PAUTAN:
~ pengkritik filem vs. pengulas filem
~ tontonfilem
~ Lecture by Hassan Muthalib
~ Darul Digital
~ criticine.com
~ Ajami & Pak Hassan
~ fariztheroadsofar
~ Mamat Khalid
~ accessmylibrary.com
~ The Fairly Current Show

10 ulasan:

kekure berkata...

Hensemnya Pak Hassan :)

Tanpa Nama berkata...

aiseh, sempat lagi bodek hatta azad khan. wayang adalah filem propaganda bn. tak jadi nak ucapkan tahniah kat hm.

Tanpa Nama berkata...

oh ya, filem propaganda ada juga yang bagus atau dibikin dengan teliti, tapi wayang bukan salah-satunya.

maPieCeoFarT berkata...

saw you up there yesterday... kami di bawah melambung topi... weeee.... =)

Tanpa Nama berkata...

pak hassan ni cakap benda yang sama berulang kali nih...lama-lama nanti dah takde modal nak cakap lagi dah...

Coffeeholic berkata...

i saw u!!!
hehe:D
i dgn pak hassan dpt skrol di pentas dan hari yang sama:D

zubin berkata...

betul ke Rudyard Kipling dapat isnpirasi dari Winsteadt's Malay Magic? ini source mana? I thought Kipling was inspired by Al Farabi's An Island? Propaganda lagi nampaknya supaya Melayu bangga

Hassan berkata...

Doc, tunggu gua punya buku sejarah animasi Malaysia. Semua fakta, makta, tukta & rujukan ada di situ.

Orang seni tak boleh propaganda. Salah tu! Kena masuk politiklah. Tapi kebenaran tak boleh disembunyi. Kan? Kan?

Tanpa Nama berkata...

tahniah bro!
link rebiu wayang ni wa taruk untuk lu hasan. rebiu dengan mata dan hati yang terang.
http://tontonfilem.blogspot.com/2009/03/wayang2008-dalam-bayang-bayang.html
- mansor hitam

Eskapisminda berkata...

Salam En Hassan,
Tahniah! You deserved it. Dari ramai-ramai cikgu saya berguru, En Hassanlah yang paling memberi kesan. En Hassan bukan sahaja mengajar teori penulisan lakon layar tetapi turut mengajar mengenai layar kehidupan itu sendiri. Stories and philosophies, the added value in your lectures are always hungered for. Blending art and reality. A true sifu. 'Anjakan paradigma'. An inspiration. Always.

- Part time lakon layar student,
ASK (2000),