Sabtu, 26 Disember 2009

MUALLAF ~ lukisan Yasmin Ahmad yang terakhir



*juga ulasan di FACEBOOK saya

Sejujurnya, setelah membaca ulasan filem Muallaf yang begitu mendalam oleh Amir Muhammad dalam bukunya Yasmin Ahmad's Films, saya rasa tidak perlulah lagi untuk mengulasnya dari pandangan peribadi saya sendiri pula? Namun setelah mengulang kembali penontonan video KAKMIN, saya terkesan dengan kata-kata arwah berikut:

"Mungkin dalam saya buat cerita, kalau kita tiba dekat sungai tu, saya akan bagi awak tali, saya bagi awak kayu, awak kena buat jambatan sendiri, saya tak buatkan awak jambatan." Yasmin Ahmad (23.07.07)

Pesanan itu seperti pegangan saya selama ini tentang pengulasan peribadi sesebuah filem itu bergantung kepada apa sahaja interpretasi yang dirasakan muat dengan acuan pemahaman saya. Samada betul tepat jitu atau tersasar tercampak sejauh manapun ulasan itu berbanding tujuan asal si pembikin (dan ulasan ini cuma di internet) siapakah peduli? Mari saya mulakan..

Filem ini sepatutnya sebelum Talentime. Mungkin ia sebuah karya paling penting buat arwah Yasmin Ahmad dan penayangannya lebih 'bebas' setelah beliau tiada? Sejujurnya pada pendapat saya, filem ini paling berat isinya berbanding filem-filem Yasmin yang lain. Betul! Ia masih berlegar tentang kasih-sayang dari kisah pengalaman terpencil beliau tetapi kali ini ia lebih gelap, makin serius dan kurang berhumor. Walaupun protagonist dalam Muallaf ialah Brian, seorang lelaki seperti juga Mukhsin tetapi bezanya ia lebih dewasa berbanding isu feminisme dalam Orked atau Melor sebelumnya. Dalam Muallaf cerita Rohani dan Rohana cuma sebagai latar sub-plot sahaja yang berinteraksi dengan kisah Brian. Dalam ertikata lain, filem ini mempunyai 2 plot cerita yang bergerak serentak atau parallel storytelling seperti juga Gubra cuma ia berkaitan di antara satu sama lain.

Cerita Brian

Saya melihat kisah Brian sebagai 'puaka' yang masih menghantui hidupnya sehingga kini. Ia berpunca dari tragedi semasa kanak-kanaknya yang menjadi sejarah paling memalukan dalam hidup seorang lelaki! Sedangkan pada pendapat saya, perbuatan onani itu secara fizikal dan saintifiknya adalah normal bagi seseorang yang mula baligh dan cetusan awal naluri seksual yang azali. Tetapi apabila perbuatan itu yang sepatutnya terlindung sebagai perlakuan rahsia peribadi, lalu terbongkar (kantoi) oleh ibubapa sendiri yang begitu kuat pegangan agamanya, mereka jadi panik dan kemarahan melampau pun meletup! Oh! Bagi mereka ia adalah berdosa! Apatah lagi bahan untuk melampiaskan nafsu itu adalah majalah lucah wanita berpakaian ala biarawati! Maka marilah kita hukum kanak-kanak itu dengan menelanjangkannya di khalayak awam? Seandainya kamu adalah 'Brian' adakah kita akan memaafkan ibubapanya? Adakah ia akan menjadi dendam yang berpanjangan sehingga kita dewasa kepada ibubapa dan agama itu sendiri kerana terlalu kejam? Atau Brian sepatutnya insaf dan lebih mendekatkan diri kepada Tuhan dan berterimakasih kepada ibubapanya yang telah menghukum serta 'membetulkan' hidupnya di masa akan datang? (ermmm! dan ulasan ini baru backstory yang hanyalah babak kecil imbas kembali dari filem Muallaf dimana saya baru menukul kayu pertama untuk sebuah jambatan!)

Titik noda hitam kehidupan lampau Brian itulah punca segala sebab perangainya sebegitu di pembukaan filem. Perwatakannya digambarkan sebagai kurang ajar kepada ibunya bila bercakap di telefon. Brian adalah kekalutan seorang lelaki yang seakan kehilangan kepercayaan kepada institusi kekeluargaan dan agama kerana baginya tragedi silam itu tidak adil dan keterlaluan. Namun begitu, tanpa disedari dia sendiri menjadi seorang manusia yang lebih tidak adil kepada ibunya. Secara luaran Brian nampak seorang yang baik dengan karier sebagai guru, seorang pendidik kepada generasi di bawahnya. Ironi subjek sejarah yang menjadi bidang tugasannya berfungsi sebagai teladan (sejarah kegagalan) atau inspirasi (sejarah kejayaan) kepada anak muridnya. Namun dalaman diri Brian menganggap sejarah sebagai sesuatu yang memalukan dan menyusahkan. Mungkin hidup Brian lebih aman jika ibunya juga segera mati supaya dendamnya lengkap terbalas setelah sebahagian marahnya kepada ayah berkubur bersama kematiannya terdahulu.

Namun begitu, adakah Brian keseluruhannya seorang yang individualistik (sangat kedekut - memandu kereta dengan sangat perlahan untuk penjimatan petrol serta sangat berkira tentang hutang), keras kepala dan menutup hati terus kepada kemasukan orang lain dan seorang ateis? Itulah yang menarik untuk ditonton tentang psikologi watak Brian apabila dipertemukan dengan watak Rohani melalui watak Rohana. Ia bermula apabila Brian ambil kisah dengan insiden Mrs. Siva menyebat Rohana hanya kerana lukisannya ialah gambar bunga sedangkan tugasan yang sepatutnya ialah gambar gajah. Mungkinkah Brian sekadar memuaskan hatinya sendiri untuk 'menghalang' Mrs. Siva dari melakukan 'hukuman' yang sama seperti bapanya dahulu dimana kali ini dia mampu untuk bertindak balas? Maksud saya, secara luarannya tindakan Brian itu seperti seorang 'pembela' kepada Rohana namun begitu secara psikologinya dia mempertahankan dirinya sendiri? (Mrs. Siva ialah 'kejam' serupa bapanya). Saya tidak yakin Brian benar-benar ikhlas kerana insiden dia membunyikan hon kereta apabila skuter tunggangan Rohani dan Rohana memotong keretanya di babak sebelum itu menunjukkan bahawa Brian ialah seorang yang tidak pedulikan orang lain. Cuma kali ini, insiden itu bakal mengubah haluan nasib kehidupannya di masa akan datang tanpa diduga.

Cerita Rohani dan Rohana

Seperti juga kisah Brian, Rohani dan Rohana sedang berdepan bukan sahaja 'puaka' (ayahnya seorang pemabuk dan mungkin mendera ibunya) yang masih menghantui hidup mereka sehingga kini malahan sedang diburu oleh bala-petaka yang bakal datang dari bapa mereka sendiri. Ia konflik penjaga-anak juga. Bahkan Rohani baru sahaja melalui trauma yang lagi perit berbanding kisah Brian semasa kecil. Sebab itulah watak Rohani lebih 'gila' dari Brian (Rohani makan bunga dari pasu di depan rumah mereka! Rohani juga menasihatkan pengunjung bar untuk memesan air mineral berbanding minuman beralkohol - moralis?). Namun begitu, Rohani dan Rohana masih mampu meneruskan hidup dengan tenang walaupun Rohani tahu mereka sentiasa dalam bahaya sekiranya ditemui oleh kuncu-kuncu bapanya. Rohani ambil langkah berhati-hati kononnya dengan bekerja sebagai pelayan bar di waktu malam sahaja dan berkurung di dalam rumah di waktu siang untuk menonton Danger Mouse kecuali untuk menghantar dan mengambil Rohana dari sekolah. Sebenarnya ada sedikit kecelaruan plot apabila Rohani dan Rohana juga pergi ke hospital untuk melawat Mei Ling yang koma dan merayau ke kolej-kolej untuk memohon kemasukan di pekan. Dan apa bezanya menyorok di waktu siang berbanding waktu malam ekkk? Oh! Saya lupa! Rohani memang sedikit kurang siuman (tingtong!)

Bagaimanapun, Rohani dan Rohana masih mampu meneruskan kehidupan yang tertekan itu kerana pegangan agama yang kuat hasil dari penjagaan dan khazanah buku-buku peninggalan arwah ibu mereka. Cuma kini minda Rohani dan Rohana melimpah-ruah dengan pengetahuan dan ilmuan semua agama dan fahaman seluruh dunia tanpa guru yang sewajarnya membimbing mereka setelah kematian ibu. Situasi ini menjadikan mereka seperti perpustakaan rujukan dan koleksi ensiklopedia ilmu agama yang bergerak tanpa kawalan. Ini TIDAK bermaksud bahawa mereka telah menyamaratakan atau mencampur-adukkan semua agama menurut pemahaman sendiri. Pada pendapat saya, mereka lebih beruntung dari orang lain yang cetek perihal agama kerana pernah mempunyai seorang ibu dan guru yang benar-benar faham tentang semua latarbelakang agama (arwah ibu mereka ialah seorang pensyarah dalam bidang itu). Malahan mereka lebih jelas tahu bahawa Islam itu adalah yang terbaik sebagai pegangan mereka dan pada waktu yang sama menghormati anutan agama orang lain. Sebab itulah Rohani hendak memohon kursus universiti/kolej dalam bidang theology - dia hendak mencari guru yang betul selepas ibunya.

Rohani akur bahawa pengetahuannya seperti sekerat jalan manakala adiknya Rohana pula seumpama burung kakak tua yang hanya pandai mengingat dan mengkaitkan dengan nombor surah atau ayat-ayat dari Al-Quran, Kitab Injil dan Tao Te Ching secara teori hafalan dan situasi sahaja. Adakah kepandaian atau kelebihan mereka itu sesuatu yang disalahgunakan? Persoalan itu dihuraikan dalam babak semasa Rohani bersembang dengan Rohana di atas katil sebelum tidur. Sebab itulah Rohani menasihatkan Rohana supaya tidak menyebut nombor-nombor itu di khalayak ramai kerana boleh menimbulkan berbagai syak wasangka fitnah yang bukan-bukan dan ketakutan kepada orang yang tidak faham situasi mereka. Lalu dijawab oleh Rohana bahawa "I am just a child.." yang menyimpulkan bahawa mereka perlukan pembimbing yang betul. Ironi kerana bapa mereka pula yang semakin sesat sedangkan kurniaan zuriatnya yang se-genius mereka?

Cerita Brian dan Rohani

Pertembungan naratif Brian dan Rohani bermula kerana Brian sudi menghantar Rohana pulang ke rumah tumpangan mereka milik Aunty Gloria. Pada pendapat saya, Brian makin serius untuk lebih mengenali Rohani kerana melihatnya memakai telekung pada malam dia datang dengan Brother Anthony? Oklah! Ini cuma tafsiran peribadi saya sahaja - Brian masih kuat dengan fantasi fetish-nya terhadap wanita berpakaian ala biarawati? Adakah ia sesuatu yang lucah terhadap pakaian beribadat dan melampau? Bergantung kepada sejauh mana interpretasi kamu kerana bagi saya ia telah mencetuskan perihal yang lebih baik selepas itu kepada Rohani dan Brian sendiri. Brian mula berubah sikap kepada seorang yang jujur prihatin kepada orang lain iaitu Rohani dan Rohana. Brian juga akhirnya memaafkan dan kembali kepada ibunya atas nasihat Rohani yang berjaya melembutkan hatinya. Rohani pula mendapat seorang boyfriend yang hensem dan boleh diharap seperti buku bertemu ruas! Yay!

Perkenalan Brian-Rohani lebih banyak impak kepada diri Brian secara peribadi. Kerana itulah saya melihat filem Muallaf ialah cerita Brian. Babak-babak semasa Brian menjaga rumah Aunty Gloria dan membeli makanan kucing banyak memperlihatkan perkembangan kematangan watak Brian. Dia digambarkan sebagai seorang yang percayakan tahyul hantu 'Uncle' (kucing) di dalam rumah itu dimana setiap kali kucing itu mendekatinya Brian akan kekalutan. Babak Brian mengisikan makanan kucing/Uncle diulang beberapa kali dimana akhirnya makanan itu tidak langsung dijamah oleh Uncle. Pada pendapat saya, babak itu ialah subtext dan semiotik bahawa 'puaka' di dalam hidup Brian sudah hilang atau berakhir dimana penggunaan warna baju Brian daripada biru-tua bertukar kepada biru-muda. Brian juga sudah tidak kedekut apabila membeli makanan kucing yang mahal dan berkualiti berbanding yang murah di pasaraya. Paling ketara ialah babak dimana Brian memecut keretanya dengan sangat amat laju menuju ke rumah Aunty Gloria di babak penamat filem ini!

Rohani juga berjaya melembutkan hati Brian terhadap ibunya. Hubungan anak-ibu oleh Rohani berbanding Brian-ibunya menyedarkan Brian bahawa dia lebih beruntung dari Rohani kerana masih memiliki seorang ibu. Akhirnya Brian kembali ke pangkuan ibunya sebagai tanda bahawa perwatakan Brian sudah sepenuhnya bulat balik ke titik asal-usulnya. Begitu juga ayah Rohani yang mendapat bala dari kekejaman lampaunya dimana Rohani sendiri yang diperlukan untuk menjaganya di hospital.

Kesimpulan

Filem Muallaf seperti sebuah lukisan yang penuh dengan warna-warni dan bentuk-bentuk abstrak yang perlu dihayati beberapa kali untuk memahami maksud tersiratnya. Ia bergantung dari sudut mana kamu berdiri untuk memerhatikan lukisan itu. Muallaf juga dinilai atas dasar nawaitu penontonan kamu. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa filem ini seumpama wasiat karya arwah Yasmin Ahmad yang terakhir untuk saya ulas dan belajar sedikit perihal bahawa hidup ini terlalu singkat dan amat berharga untuk disia-siakan. Al-Fatihah untuk Kak Min.

NOTA:
1. selepas menonton filem Muallaf di tgv klcc pada hari Khamis 24 Dis 2009 yang lalu, seperti biasa saya hendak sms dia tapi..
2. TIADA SEBARANG PEMOTONGAN BABAK (VIDEO) oleh LPF untuk penayangan filem Muallaf di Malaysia! cuma ada 2 babak dimana dialog (AUDIO) di-mute-kan sahaja! sila rujuk blog Amir Muhammad: babak 1 & babak 2

ULASAN LAIN:
* abdul wahab hamzah (must read) * sultanmuzaffar * megateusofe * misisitukangtulis * thesilentandtheloud * jompopcorn * shrineofserenity * solehin89 * vivanews (indonesia) * hairieusoff * que23 * malaysia-update * ijoie86 * koishiemerah * anutshellreview * kesahdunialelaki * akubimbo * klubbkidd * adiluqman * iazrie * momoek * knitfreakcrab * damnfamous * orange4k * sitinurizyanjumaat * charity1313 * ajememang * louisyap * brightsidelass * darimejastarbux *

Jumaat, 11 Disember 2009

MAKCIK-MAKCIK JAGA KOLAM KANAK-KANAK KLCC


Salaam.. Saya memang selalu membawa anak-anak ke Taman KLCC kerana kewujudan taman permainan terutamanya kolam kanak-kanak yang begitu digemari oleh mereka. Dan setiap kali ke situ, saya suka melihat gelagat makcik-makcik jaga (security) di taman itu yang sedang bertugas dimana mereka akan meniup wisel apabila (salah satu sebab):

Ibubapa memakai kasut lalu memijak lantai persisiran kolam yang berjubin biru kerana hendak menangkap gambar anak-anak mereka.

Selalunya ibubapa yang menjadi 'mangsa' tiupan wisel makcik-makcik jaga ini ialah ibubapa yang pertama kali datang ke sini! Saya tahu ia memang menjadi 'undang-undang' di kawasan kolam itu yang sememangnya tertampal di dinding berdekatan. Dan saya juga akur bahawa tugas meniup wisel supaya ibubapa mengikut peraturan itu adalah fungsi kerja utama makcik-makcik jaga itu. Tetapi perlakuan mereka meniup wisel seperti pengadil bolasepak atau polis trafik itu kadangkala agak mengaibkan 'ibubapa yang bersalah' kepada persepsi ibubapa lain dan kanak-kanak yang juga berada di situ. Makcik-makcik jaga itu juga tidak mengira samada yang diwiselkan itu orang tempatan mahupun pelancong luar negara.

Kita orang Malaysia kononnya kaya dengan adab-sopan. Tetapi apabila ada ketikanya dek kerana tugas, kita menjadi semacam kurang 'courtesy' dimana berkomunikasi menggunakan tiupan wisel? Alangkah moleknya andai makcik-makcik jaga itu hampiri ibubapa yang buat salah lalu beritahu secara lisan. Meskipun ibubapa itu sekadar memijak lantai berjubin biru itu baru beberapa saat, rasanya tidak akan runtuh atau berlubang kolam kanak-kanak di Taman KLCC itu! :-)

NOTA: Entri saya ini hanya berdasarkan pengalaman dan pengamatan peribadi saya sahaja dimana mungkin bagi orang lain ia tidak menjadi 'kudis' pun kalau diwiselkan sebegitu? Saya mencadangkan kepada Pihak Pengurusan Taman KLCC supaya meletakkan tanda amaran 'SILA TANGGALKAN KASUT ANDA' dan 'PLEASE REMOVE YOUR SHOES' diukir di atas jubin biru di sepanjang persisiran kolam kanak-kanak itu.

(sila klik logo di atas)

Selasa, 8 Disember 2009

KALAU PAPA DAN MAMA TIADA (PESANAN UNTUK ABANG)



KALAU PAPA DAN MAMA TIADA
(PESANAN UNTUK ABANG)

abang..kalau papa dan mama tiada..
tolong tukarkan lampin adik
pergi ke kolam KLCC berdua
bancuhkan susu untuknya
dodoikan dia sehingga lena

abang..kalau papa dan mama tiada..
peluklah adik bila menangis
goncang buai, kongsi mainan
pujuk kalau dia merajuk
belailah andai mengamuk

abang..kalau papa dan mama tiada..
pegang tangan bila berjalan
tengok lariannya di padang
kalau jatuh, cepatlah rangkul
sapukan luka, tuamkan lebam

tapi abang janganlah susah..
sekarang kami ada sebelah
pejam mata hilangkan gundah

karya:
Ajami Hashim
10 Oktober 2006

(sila klik logo di atas)

Ahad, 6 Disember 2009

MASKARA 18 ~ ada harimau!




Salaam..
Antara sebab kenapa saya suka hadir ke acara sebegini ialah kerana networking baru! sebab lain mungkin untuk berikan sokongan kepada brader-brader Sindiket Sol-jah, barangkali juga kerana saya salah seorang penaja pisang emas! hahaha! memula dulu saya rajin bawakan air kotak atau air botol, kemudian saya teringat zaman kecil-kecilan dulu bila ke surau MESTI ada pisang emas sebagai kudapan selepas solat. dan pisang emas pula rasanya semua orang suka sebab terasa seperti makan makanan yang mahal seperti emas? hahaha! malam tadi saya sekeluarga ke sana lagi. seperti biasa, brader sinaganaga adalah orang pertama yang dicari lantas saya tanya kenapa acara yang satu lagi di shah alam? (nama acara tak boleh sebut macam jugak bila artis kat sesi temubual dalam radio atau tv melibatkan stesyen saingan yang lain! hahaha!) bukankah elok kalau acara sebegini dibuat berlainan tarikh sebab target audience-nya ialah kepada individu yang sama? (baca: budak-budak U atau orang berkerjaya yang berjiwa seni katanya) ini tidak..dah macam berebut-rebut pulak acara seni dan budaya yang mana hendak dipilih? isteri saya cuba menjawab "alahhh! diaorang ni datang ikut kepada 'siapa' yang perform! ofkos nak sokong kawan-kawan diaorang!".."papa! kat sini tak ada jual hotdog ker?" tanya anakku yang sulung.."papa! adik nak balik!!!" celah anakku yang bongsu pula! haishhh!







Acara kali ini saya akui dengan jujur, saya datang kerana nak menonton raihani beraksi secara live buat pertama kalinya di acara ini! biasanya kami bergossipan di FB atau blog ajer! jumpa secara live dah macam pernah duduk satu sekolah pulak! eh! raihani ker you pernah satu tadika dengan I dulu ekkk? secara kritikan membina saya nak bagitau pitching awak masa membaca sajak tadi agak lari ke laut china selatan sikit! lain kali gunakan teknik breathing yang betul ya! bbbrrrrr!!!! biasakan prektis setiap pagi lepas gosok gigi ok! dahtu show awak sebenarnya agak pendek tapi lelebih jer bunyi gitar+harmonika adik awak yang sedap tu! dan 2 ekor kucing yang mengiringi show awak tadi tu comel! kucing sol-jah siapalah tu??? tapi secara overall saya suka persembahan awak dan terimakasih kerana bagi kertas A4 sajak yang awak baca tadi yang saya dah scan dan tepek tu haaa! sila hantarkan undian anda ke talian 1234567890 mulai sekarang! hahaha! actually lu rawk beb!





Satu lagi perihal yang mengujakan saya ialah pembacaan sebahagian dari novel PLATUN HARIMAU karya Lt. Kol. Mohd Radzi Abdul Hamid oleh sinaganaga dan matjan yang taklah best sangat (habislah aku!!!) tapi info buku itu yang menarik minat saya. nak jadi cerita, rupanya radzi pulak naik pentas (eh! mana ada pentas kan?) maksud saya memijak karpet dan duduk di kerusi persembahan lalu menyanyikan lagu puisi bertajuk '2012' & membaca sajak dari buku Antologi Puisi Pahlawan - sajak yang dibaca bertajuk Pahlawan Melayu (karya Lt. Kol. Azman bin Hj Mat Salleh) katanya dia ada bawak 50 naskhah ajer untuk diberikan percuma!




Nak jadi cerita lagi (berapa banyak nak jadi cerita aku kan?) lepas habis persembahan radzi terus menuju duduk di depan saya dan berikan terus buku antologi itu! hahaha! terimakasih bro! nanti bila dah habis baca novel PLATUN HARIMAU, InsyaAllah saya akan ulas di blog yang tak seberapa ini! auummm! :-)

Raihani & adik dia, Ajami & anak-anak dia

Lt. Kol. Mohd Radzi Abdul Hamid & the Ajami!


Sekian laporan! (maklumlah terpaksa balik awal tak dapat tonton sesi ke-2 coz anak-anak aku dah merengek! alasannn!) sori sesangat kepada brader azzam supardi coz gua tak dapat tonton show brader! huaaa! ada youtube tak? mesti show lelain pun meletups kan?
p/s: brader pyanhabib! lupa nak tanya pasal kecoh puisi lu yang kena cilok jadi videoclip tu! p/s/s: brader alifstyle - nanti aku tonton filem MY SPY dan ulas kat sini jugak!

Khamis, 3 Disember 2009

NATRAH ~ persembahan komersialisme bersadurkan nasionalisme?

NOTA: Teater NATRAH dilanjutkan sehingga 13 Dis 09!


*Ulasan ini juga dibincangkan juga di FACEBOOK saya :-)

Teknikal


1. Paparan kronologi kejadian (backstory) di pembukaan persembahan sangat banyak tetapi terlalu cepat fade-in/fade-out – samada ia perlu dibaca untuk memahami permulaan cerita atau sebenarnya sekadar syarat lalu menyuruh khalayak merujuk semula buku sejarah?
2. Blind-spot – Ruang pentas Istana Budaya sememangnya sudah bersaiz gah seumpama sebuah bingkai gambar yang boleh ditatap dari sudut manapun kedudukan khalayak yang bertingkat-tingkat. Maka apabila ada babak yang melimpah keluar dari bingkai iaitu para pelakon turun ke kawasan lantai khalayak, akan wujud blind-spot kepada sesetengah penonton bergantung kepada posisi duduk mereka. Teknik ‘breaking the 4th wall’ sebegini mungkin berkesan bagi persembahan dalam dewan yang rata seperti dewan sekolah.
3. Muzik latar rakaman dari cakera padat?
4. Paparan sarikata di kanan dan kiri pentas sangat membantu tetapi adakalanya tercepat atau terlambat dipaparkan seiring dengan butiran dialog para pelakon. Paling ketara ialah semasa tafsiran ayat Al-Quran yang dibaca oleh Natrah (Maya) semasa Aminah (Umie) menjahit kain dimana ayat tersebut sangat berkaitrapat dengan penceritaan yang diangkat (nota: berdasarkan penontonan saya pada 2 Dis - sudah tentu akan diperbaiki 'pacing'-nya untuk 3-9 Dis)
5. Set dan kostum – ok! Terutama sekali 2 monumen besar di penghujung persembahan yang sangat berani mati!..hahaha! (kena tonton sendirilah)
6. Sistem bunyi – boleh diperbaiki lagi kerana ada sesekali mikrofon pelakon tak berfungsi tapi masih oklah!

Cerita & Penceritaan

1. Ia adalah kombinasi fakta sejarah dan fiksyen. Maksud saya, kronologi ceritanya sudah tentu berdasarkan rujukan fakta betul yang panjang lalu didramatikkan untuk menjadi sebuah persembahan yang berdurasi terhad.
2. Sekuen babak detik bersejarah terpilih yang serius diselang-seli dengan babak melodrama, humor dan muzikal.
3. Struktur penceritaan non-linear (monologue, flashback, real-time) disusun dan diadun sekaligus.
4. Monologue oleh Natrah (Sofea) menjadi overture dan finale persembahan ini sebagai persoalan “What if…” Natrah masih hidup hari ini.
5. Babak monologue berselang-seli oleh Aminah (Umie), Adelaine (Samantha) dan Natrah (Maya) di kemuncak persembahan ialah momen yang paling hebat untuk menginterpretasikan konflik serantau dahulu. Ia juga terus menjurus kepada soal mikro setiap watak kerana sebenarnya ia adalah masalah dalaman pertembungan dan perbezaan budaya kekeluargaan di antara mereka sahaja secara individu yang sepatutnya tidak menjadi sebegitu besar. Ya! Tetapi saya walhal Natrah, Aminah dan Adelaine sedari bahawa konflik terpencil di antara mereka menjadi snowball-effect apabila berkaitan dengan agama lantas meruak ke dalam masyarakat (baca: politik dan sosial) waktu itu.
6. Tajuk teater ini ialah ‘Natrah’ dan bukannya ‘Maria’. Maka sudah tentulah point-of-view sebahagian besar persembahan ini bercerita dari pihak sebelah sini dalam time-frame kita. Namun segmen-segmen menuju penghujung persembahan, diangkat juga sebahagian kecil kehidupan Natrah/Maria di Belanda berdasarkan rujukan media sahaja. Sudah tentu ada missing link tentang kehidupan sebenar Natrah/Maria di sana kerana ia bukannya kisah biografi lengkap sepenuhnya. Ia cuma sebuah persembahan yang terhad dengan kronologi terpilih sahaja. Jadi adakah ia boleh dikatakan bias?
7. Yang paling menjengkelkan saya secara peribadi ialah kemunculan Mansur (Remy) yang menyanyikan lagu pop sejurus selepas ketiga-tiga watak Natrah, Aminah dan Adelaine ber-monologue! Memang turn-off betul kepada momen paling kritikal sebelumnya! Why oh why???..hahaha!

Nota: Saya mencadangkan kepada Erma Fatima (dicetak Eirma Fatima dalam poster) untuk mengangkat karya teater Natrah ke bentuk filem atau siri-mini televisyen “Suatu Ketika” di saluran Astro Citra!..amacam?

*ulasan kritis: sultanmuzaffar.blogspot.com
*ulasan selebriti: tiara-1, tiara-2
*ulasan panas: akubimbo.blogspot.com
*ulasan lain yg bagus:
koishiemerah.blogspot.com
raihanmk.blogspot.com
afrayuri.blogspot.com
que23.blogspot.com
theerraticdreamer.blogspot.com
zabidiskrip.blogspot.com (sejarah Natrah)

Selasa, 1 Disember 2009

KARAOKE ~ ok or ko?


TONTON: 26 Nov - 2 Dis 2009
tanjungarupictures.com
sultanmuzaffar.blogspot.com

*artikel ini juga dibincangkan bersama dengan para penggiat seni di FACEBOOK

Filem yang diwar-warkan menang itu dan ini di luar sana..tapi di sini?

Sejujurnya filem sebegini bukan menagih khalayak yang mencari hiburan komersial. Tayangannya pun hanya terhad untuk seminggu di panggung yang terpilih dalam kapasiti yang kecil. Dalam ertikata lain, ia dibikin keterlaluan bersifat akademik filem yang sesuai sangat ditonton oleh pelajar perfileman untuk 'membaca' (atau meneka) makna setiap babaknya, tuturnya, aksinya, imejannya..bla bla bla. Secara peribadi, saya hanya melihat lapisan luarnya sahaja dan sesekali cuba mengupas subtexs-nya dengan memandai-mandai merekacipta tafsiran saya sendiri..hahaha! Lagipun sesebuah filem itu boleh sahaja dinilai dan diberikan erti apa juga (cuba tanya fadz tontonfilem..mesti dia akan dapat berbagai penerangan).

Barangkali pada pendapat saya, filem ini hendak menyindir banyak perihal masyarakat terpencil (atau global..glokal..etc etc) tetapi dibikin dengan kesenian halus berfilem yang bermain dengan kontradiksi, tersirat di balik tersurat, berlapis-lapis dan sebagainya. Banyak babak yang berlawanan maksud dari apa yang dipaparkan (cari sendiri sdn bhd).

Umpama kamu sedang menyanyikan lagu dari tayangan sebuah video murahan karaoke di tv, begitulah situasinya bila menonton filem ini juga. Saya tidak peduli kepada pelakon dalam video itu samada cantik atau hensem atau macho atau cun atau eh! mamat ni muka kat iklan pamplet carrefour! atau bajunya buruk atau mekapnya tebal atau sinematografinya caca-marba atau suntingannya merepek-repek atau lokasinya di tepi laut, tepi highway, atas gunung, bawah bukit, naik sampan, kejar-mengejar di taman bunga dan air pancut..saya tak peduli! Yang penting ialah lirik lagu (atau subtitle) yang perlu dinyanyikan dengan lunak dan betul (atau sumbang) mengikut keluar-masuk tulisannya dengan warna-warni bergerak (atau titik dot yang melompat-lompat) megikut bait-bait sebutan irama lagunya! Hey! Itulah keadaannya semasa menonton (menyanyi) berpandukan sebuah video karaoke!

Filem ini mengajak penonton ke belakang tabir sebuah pembikinan video karaoke yang berkualiti rendah low budget main belasah ajer! (nota: sebenarnya kewujudan saluran mtv di amerika masa mula-mula dahulu kemudiannya telah melahirkan ramai pembikin filem yang kreatif dan bagus kerana pembikinan videoklip lagu oleh penyanyi sebenarnya seperti membikin filem pendek yang mencabar kreativiti si pembikin untuk 'bercerita' dalam jangkawaktu yang singkat 3-5 minit sahaja! video-video michael jackson dan madonna dan kumpulan rock dulu-dulu masih menjadi skala dan rujukan bikinan mtv serata dunia hari ini). Lalu bila orang-orang jepun mengambil inisiatif (menangguk di air keruh) mengubahsuai budaya mtv kepada karaoke (mtv berlirik) dan dijual kepada pengunjung bar, lantas keutamaan lebih diberikan kepada content lirik lagu yang popular berbanding kualiti videografinya! Yang ke depan ialah liriknya berbanding visual. Apabila lagu-lagu evergreen penyanyi yang sudah mati (so macam mana nak suruh penyanyi itu buat cameo kan?) lebih popular berbanding lagu-lagu terkini, maka muncullah karaoke-mtv-maker yang entah dari mana asalnya janji pandai menjerit 'action'! dan 'cut!' sahaja!.. para pelakon dalam video karaoke hanya sebagai syarat (kadang-kadang ada mtv karaoke yang macam filem indie - tuju kamera ke langit, ke laut, ke bangunan klcc tanpa pelakon pun etc etc) hahaha!

Alamak! Aku dah jauh terbabas kepada bebelan mengenai mtv karaoke pulak!

Oklah! Kembali kepada filem karaoke.. ada beberapa perkara yang saya dapat dan suka:

1. posisi/tangkapan kamera kepada subjek (pelakon/prop) bermula dari jarak yang sangat dekat hampir sehingga out of focus di awal cerita dan secara perlahan-lahan ia berjarak menjauhi subjek sedikit demi sedikit dimana akhirnya semua subjek berada dalam satu frame penuh seluruhnya untuk memberikan exposition sebenar-benar.. kalau nak ditafsirkan secara falsafah mungkin filem ini seakan menduga akal penonton tentang interpretasi terhadap sesuatu perkara yang kita tidak pasti (kurang informasi) di awalnya akan sekurang-kurangnya cuba mendapat pemahaman sedikit apa sebenarnya yang berlaku? Teknik bercerita secara visual sebegini (jarak kamera-subjek) juga akan dapat disaksikan dalam filem Muallaf karya arwah Yasmin Ahmad akan datang ke pawagam mulai 24 Disember 2009 (kalau tak pospon lagilah!)

2. filem ini sangat suka bermain dengan ruang! ruang! ruang! adakalanya ia mengurung subjek dalam ruang yang sempit dan weird atau "what the f..k is that?" (kerana minda aku cuba meneka imej apakah yang ditunjukkan dek kerana close-up yang sangat close-up) dan ada ketikanya pula wide angle yang seluas-luas alam semesta (visual-visual kebun kelapa sawit dan sekitar perkampungan) dimana ketika itu perasaan senak mata penonton akan kembali dipulihkan dengan gambaran yang hijauuu gitu! hey! mungkin inilah di antara kelebihan filem ini! ia menimbulkan berbagai reaksi suka-duka, gembira-boring, naik-turun perasaan penonton yang diperkotak-katikkan (atau didera) untuk menghabiskan penontonan! ia tidak perlu aksi dush! dush! bertumbuk atau bertengkar seperti dalam filem gerak khas bagi melonjakkan adrenalin penonton! cuma dengan visual sahaja!

3. ada satu babak dekat penghujung filem ini yang betul-betul aku teruja dimana 3 perkara (mungkin lebih dari 3 kot?) berlaku serentak!:
a. visual dan lirik dari mtv karaoke (cerita 1)
b. visual watak-watak yang menonton (dan bersembang) dan menyanyikan lagu karaoke itu (cerita 2)
c. isi voice-over oleh protagonist (cerita 3)

4. lakonan-lakonan mantap semua pelakon! (tak payah aku nak sebutlah siapa-siapa)

So, kesimpulannya?

Macam yang saya tulis tadilah..jap aku copy-paste:

"Sejujurnya filem sebegini bukan menagih khalayak yang mencari hiburan komersial. Tayangannya pun hanya terhad untuk seminggu di panggung yang terpilih dalam kapasiti yang kecil. Dalam ertikata lain, ia dibikin keterlaluan bersifat akademik filem yang sesuai sangat ditonton oleh pelajar perfileman untuk 'membaca' (atau meneka) makna setiap babaknya, tuturnya, aksinya, imejannya..bla bla bla."

Sekian, terimakasih! :-)

*ulasan lain: wenkt

HADIR: 5 Dis 2009
sol-jah.blogspot.com


BACA: sekarang!
amirmu.blogspot.com