*juga ulasan di FACEBOOK saya

Sejujurnya, setelah membaca ulasan filem Muallaf yang begitu mendalam oleh Amir Muhammad dalam bukunya Yasmin Ahmad's Films, saya rasa tidak perlulah lagi untuk mengulasnya dari pandangan peribadi saya sendiri pula? Namun setelah mengulang kembali penontonan video KAKMIN, saya terkesan dengan kata-kata arwah berikut:

"Mungkin dalam saya buat cerita, kalau kita tiba dekat sungai tu, saya akan bagi awak tali, saya bagi awak kayu, awak kena buat jambatan sendiri, saya tak buatkan awak jambatan." Yasmin Ahmad (23.07.07)

Pesanan itu seperti pegangan saya selama ini tentang pengulasan peribadi sesebuah filem itu bergantung kepada apa sahaja interpretasi yang dirasakan muat dengan acuan pemahaman saya. Samada betul tepat jitu atau tersasar tercampak sejauh manapun ulasan itu berbanding tujuan asal si pembikin (dan ulasan ini cuma di internet) siapakah peduli? Mari saya mulakan..

Filem ini sepatutnya sebelum Talentime. Mungkin ia sebuah karya paling penting buat arwah Yasmin Ahmad dan penayangannya lebih 'bebas' setelah beliau tiada? Sejujurnya pada pendapat saya, filem ini paling berat isinya berbanding filem-filem Yasmin yang lain. Betul! Ia masih berlegar tentang kasih-sayang dari kisah pengalaman terpencil beliau tetapi kali ini ia lebih gelap, makin serius dan kurang berhumor. Walaupun protagonist dalam Muallaf ialah Brian, seorang lelaki seperti juga Mukhsin tetapi bezanya ia lebih dewasa berbanding isu feminisme dalam Orked atau Melor sebelumnya. Dalam Muallaf cerita Rohani dan Rohana cuma sebagai latar sub-plot sahaja yang berinteraksi dengan kisah Brian. Dalam ertikata lain, filem ini mempunyai 2 plot cerita yang bergerak serentak atau parallel storytelling seperti juga Gubra cuma ia berkaitan di antara satu sama lain.

Cerita Brian

Saya melihat kisah Brian sebagai 'puaka' yang masih menghantui hidupnya sehingga kini. Ia berpunca dari tragedi semasa kanak-kanaknya yang menjadi sejarah paling memalukan dalam hidup seorang lelaki! Sedangkan pada pendapat saya, perbuatan onani itu secara fizikal dan saintifiknya adalah normal bagi seseorang yang mula baligh dan cetusan awal naluri seksual yang azali. Tetapi apabila perbuatan itu yang sepatutnya terlindung sebagai perlakuan rahsia peribadi, lalu terbongkar (kantoi) oleh ibubapa sendiri yang begitu kuat pegangan agamanya, mereka jadi panik dan kemarahan melampau pun meletup! Oh! Bagi mereka ia adalah berdosa! Apatah lagi bahan untuk melampiaskan nafsu itu adalah majalah lucah wanita berpakaian ala biarawati! Maka marilah kita hukum kanak-kanak itu dengan menelanjangkannya di khalayak awam? Seandainya kamu adalah 'Brian' adakah kita akan memaafkan ibubapanya? Adakah ia akan menjadi dendam yang berpanjangan sehingga kita dewasa kepada ibubapa dan agama itu sendiri kerana terlalu kejam? Atau Brian sepatutnya insaf dan lebih mendekatkan diri kepada Tuhan dan berterimakasih kepada ibubapanya yang telah menghukum serta 'membetulkan' hidupnya di masa akan datang? (ermmm! dan ulasan ini baru backstory yang hanyalah babak kecil imbas kembali dari filem Muallaf dimana saya baru menukul kayu pertama untuk sebuah jambatan!)

Titik noda hitam kehidupan lampau Brian itulah punca segala sebab perangainya sebegitu di pembukaan filem. Perwatakannya digambarkan sebagai kurang ajar kepada ibunya bila bercakap di telefon. Brian adalah kekalutan seorang lelaki yang seakan kehilangan kepercayaan kepada institusi kekeluargaan dan agama kerana baginya tragedi silam itu tidak adil dan keterlaluan. Namun begitu, tanpa disedari dia sendiri menjadi seorang manusia yang lebih tidak adil kepada ibunya. Secara luaran Brian nampak seorang yang baik dengan karier sebagai guru, seorang pendidik kepada generasi di bawahnya. Ironi subjek sejarah yang menjadi bidang tugasannya berfungsi sebagai teladan (sejarah kegagalan) atau inspirasi (sejarah kejayaan) kepada anak muridnya. Namun dalaman diri Brian menganggap sejarah sebagai sesuatu yang memalukan dan menyusahkan. Mungkin hidup Brian lebih aman jika ibunya juga segera mati supaya dendamnya lengkap terbalas setelah sebahagian marahnya kepada ayah berkubur bersama kematiannya terdahulu.

Namun begitu, adakah Brian keseluruhannya seorang yang individualistik (sangat kedekut - memandu kereta dengan sangat perlahan untuk penjimatan petrol serta sangat berkira tentang hutang), keras kepala dan menutup hati terus kepada kemasukan orang lain dan seorang ateis? Itulah yang menarik untuk ditonton tentang psikologi watak Brian apabila dipertemukan dengan watak Rohani melalui watak Rohana. Ia bermula apabila Brian ambil kisah dengan insiden Mrs. Siva menyebat Rohana hanya kerana lukisannya ialah gambar bunga sedangkan tugasan yang sepatutnya ialah gambar gajah. Mungkinkah Brian sekadar memuaskan hatinya sendiri untuk 'menghalang' Mrs. Siva dari melakukan 'hukuman' yang sama seperti bapanya dahulu dimana kali ini dia mampu untuk bertindak balas? Maksud saya, secara luarannya tindakan Brian itu seperti seorang 'pembela' kepada Rohana namun begitu secara psikologinya dia mempertahankan dirinya sendiri? (Mrs. Siva ialah 'kejam' serupa bapanya). Saya tidak yakin Brian benar-benar ikhlas kerana insiden dia membunyikan hon kereta apabila skuter tunggangan Rohani dan Rohana memotong keretanya di babak sebelum itu menunjukkan bahawa Brian ialah seorang yang tidak pedulikan orang lain. Cuma kali ini, insiden itu bakal mengubah haluan nasib kehidupannya di masa akan datang tanpa diduga.

Cerita Rohani dan Rohana

Seperti juga kisah Brian, Rohani dan Rohana sedang berdepan bukan sahaja 'puaka' (ayahnya seorang pemabuk dan mungkin mendera ibunya) yang masih menghantui hidup mereka sehingga kini malahan sedang diburu oleh bala-petaka yang bakal datang dari bapa mereka sendiri. Ia konflik penjaga-anak juga. Bahkan Rohani baru sahaja melalui trauma yang lagi perit berbanding kisah Brian semasa kecil. Sebab itulah watak Rohani lebih 'gila' dari Brian (Rohani makan bunga dari pasu di depan rumah mereka! Rohani juga menasihatkan pengunjung bar untuk memesan air mineral berbanding minuman beralkohol - moralis?). Namun begitu, Rohani dan Rohana masih mampu meneruskan hidup dengan tenang walaupun Rohani tahu mereka sentiasa dalam bahaya sekiranya ditemui oleh kuncu-kuncu bapanya. Rohani ambil langkah berhati-hati kononnya dengan bekerja sebagai pelayan bar di waktu malam sahaja dan berkurung di dalam rumah di waktu siang untuk menonton Danger Mouse kecuali untuk menghantar dan mengambil Rohana dari sekolah. Sebenarnya ada sedikit kecelaruan plot apabila Rohani dan Rohana juga pergi ke hospital untuk melawat Mei Ling yang koma dan merayau ke kolej-kolej untuk memohon kemasukan di pekan. Dan apa bezanya menyorok di waktu siang berbanding waktu malam ekkk? Oh! Saya lupa! Rohani memang sedikit kurang siuman (tingtong!)

Bagaimanapun, Rohani dan Rohana masih mampu meneruskan kehidupan yang tertekan itu kerana pegangan agama yang kuat hasil dari penjagaan dan khazanah buku-buku peninggalan arwah ibu mereka. Cuma kini minda Rohani dan Rohana melimpah-ruah dengan pengetahuan dan ilmuan semua agama dan fahaman seluruh dunia tanpa guru yang sewajarnya membimbing mereka setelah kematian ibu. Situasi ini menjadikan mereka seperti perpustakaan rujukan dan koleksi ensiklopedia ilmu agama yang bergerak tanpa kawalan. Ini TIDAK bermaksud bahawa mereka telah menyamaratakan atau mencampur-adukkan semua agama menurut pemahaman sendiri. Pada pendapat saya, mereka lebih beruntung dari orang lain yang cetek perihal agama kerana pernah mempunyai seorang ibu dan guru yang benar-benar faham tentang semua latarbelakang agama (arwah ibu mereka ialah seorang pensyarah dalam bidang itu). Malahan mereka lebih jelas tahu bahawa Islam itu adalah yang terbaik sebagai pegangan mereka dan pada waktu yang sama menghormati anutan agama orang lain. Sebab itulah Rohani hendak memohon kursus universiti/kolej dalam bidang theology - dia hendak mencari guru yang betul selepas ibunya.

Rohani akur bahawa pengetahuannya seperti sekerat jalan manakala adiknya Rohana pula seumpama burung kakak tua yang hanya pandai mengingat dan mengkaitkan dengan nombor surah atau ayat-ayat dari Al-Quran, Kitab Injil dan Tao Te Ching secara teori hafalan dan situasi sahaja. Adakah kepandaian atau kelebihan mereka itu sesuatu yang disalahgunakan? Persoalan itu dihuraikan dalam babak semasa Rohani bersembang dengan Rohana di atas katil sebelum tidur. Sebab itulah Rohani menasihatkan Rohana supaya tidak menyebut nombor-nombor itu di khalayak ramai kerana boleh menimbulkan berbagai syak wasangka fitnah yang bukan-bukan dan ketakutan kepada orang yang tidak faham situasi mereka. Lalu dijawab oleh Rohana bahawa "I am just a child.." yang menyimpulkan bahawa mereka perlukan pembimbing yang betul. Ironi kerana bapa mereka pula yang semakin sesat sedangkan kurniaan zuriatnya yang se-genius mereka?

Cerita Brian dan Rohani

Pertembungan naratif Brian dan Rohani bermula kerana Brian sudi menghantar Rohana pulang ke rumah tumpangan mereka milik Aunty Gloria. Pada pendapat saya, Brian makin serius untuk lebih mengenali Rohani kerana melihatnya memakai telekung pada malam dia datang dengan Brother Anthony? Oklah! Ini cuma tafsiran peribadi saya sahaja - Brian masih kuat dengan fantasi fetish-nya terhadap wanita berpakaian ala biarawati? Adakah ia sesuatu yang lucah terhadap pakaian beribadat dan melampau? Bergantung kepada sejauh mana interpretasi kamu kerana bagi saya ia telah mencetuskan perihal yang lebih baik selepas itu kepada Rohani dan Brian sendiri. Brian mula berubah sikap kepada seorang yang jujur prihatin kepada orang lain iaitu Rohani dan Rohana. Brian juga akhirnya memaafkan dan kembali kepada ibunya atas nasihat Rohani yang berjaya melembutkan hatinya. Rohani pula mendapat seorang boyfriend yang hensem dan boleh diharap seperti buku bertemu ruas! Yay!

Perkenalan Brian-Rohani lebih banyak impak kepada diri Brian secara peribadi. Kerana itulah saya melihat filem Muallaf ialah cerita Brian. Babak-babak semasa Brian menjaga rumah Aunty Gloria dan membeli makanan kucing banyak memperlihatkan perkembangan kematangan watak Brian. Dia digambarkan sebagai seorang yang percayakan tahyul hantu 'Uncle' (kucing) di dalam rumah itu dimana setiap kali kucing itu mendekatinya Brian akan kekalutan. Babak Brian mengisikan makanan kucing/Uncle diulang beberapa kali dimana akhirnya makanan itu tidak langsung dijamah oleh Uncle. Pada pendapat saya, babak itu ialah subtext dan semiotik bahawa 'puaka' di dalam hidup Brian sudah hilang atau berakhir dimana penggunaan warna baju Brian daripada biru-tua bertukar kepada biru-muda. Brian juga sudah tidak kedekut apabila membeli makanan kucing yang mahal dan berkualiti berbanding yang murah di pasaraya. Paling ketara ialah babak dimana Brian memecut keretanya dengan sangat amat laju menuju ke rumah Aunty Gloria di babak penamat filem ini!

Rohani juga berjaya melembutkan hati Brian terhadap ibunya. Hubungan anak-ibu oleh Rohani berbanding Brian-ibunya menyedarkan Brian bahawa dia lebih beruntung dari Rohani kerana masih memiliki seorang ibu. Akhirnya Brian kembali ke pangkuan ibunya sebagai tanda bahawa perwatakan Brian sudah sepenuhnya bulat balik ke titik asal-usulnya. Begitu juga ayah Rohani yang mendapat bala dari kekejaman lampaunya dimana Rohani sendiri yang diperlukan untuk menjaganya di hospital.

Kesimpulan

Filem Muallaf seperti sebuah lukisan yang penuh dengan warna-warni dan bentuk-bentuk abstrak yang perlu dihayati beberapa kali untuk memahami maksud tersiratnya. Ia bergantung dari sudut mana kamu berdiri untuk memerhatikan lukisan itu. Muallaf juga dinilai atas dasar nawaitu penontonan kamu. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa filem ini seumpama wasiat karya arwah Yasmin Ahmad yang terakhir untuk saya ulas dan belajar sedikit perihal bahawa hidup ini terlalu singkat dan amat berharga untuk disia-siakan. Al-Fatihah untuk Kak Min.

NOTA:
1. selepas menonton filem Muallaf di tgv klcc pada hari Khamis 24 Dis 2009 yang lalu, seperti biasa saya hendak sms dia tapi..
2. TIADA SEBARANG PEMOTONGAN BABAK (VIDEO) oleh LPF untuk penayangan filem Muallaf di Malaysia! cuma ada 2 babak dimana dialog (AUDIO) di-mute-kan sahaja! sila rujuk blog Amir Muhammad: babak 1 & babak 2

ULASAN LAIN:
* abdul wahab hamzah (must read) * sultanmuzaffar * megateusofe * misisitukangtulis * thesilentandtheloud * jompopcorn * shrineofserenity * solehin89 * vivanews (indonesia) * hairieusoff * que23 * malaysia-update * ijoie86 * koishiemerah * anutshellreview * kesahdunialelaki * akubimbo * klubbkidd * adiluqman * iazrie * momoek * knitfreakcrab * damnfamous * orange4k * sitinurizyanjumaat * charity1313 * ajememang * louisyap * brightsidelass * darimejastarbux *