Ahad, 28 Februari 2010

Ajami Hashim @ Fenomena Seni ~ Filem Kita Primitif? [FB-video]

FACEBOOK 'FENOMENA SENI RTM'

Tajuk: FILEM KITA PRIMITIF
Tarikh: Sabtu, 27 Feb 2010, 2.00 ptg (live)
Saluran: RTM1, Pengacara: Rosyam Nor
Para Panel:
Edry Abd Halim, Prof. Madya A.Razak Mohaideen,
dan Md. Jamil Hashim (Ajami Hashim)


Salaam..

Ruang dan peluang saya ke rancangan Fenomena Seni TV1 dengan tajuk Filem Kita Primitif? pada hari Sabtu, 27 Februari 2010, jam 2 petang yang lalu ialah titik-tolak besar untuk saya ‘bersuara’ kepada lebih ramai khalayak dari pendapat peribadi selain laman blog ini. Sebenarnya bukan mudah untuk ‘bertikam-lidah’ secara langsung dengan panel-panel lain yang terbukti berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Prof. Madya A. Razak Mohaideen, Edry Abdul Halim dan pengacaranya Rosyam Nor. Di belakang tabir, sebelum ke set sudah dimulakan ‘perbincangan kecil’ hala-tuju topik itu sebelum ‘on-air’ di antara kami. Namun begitu, semasa siaran langsung apa sahaja boleh terpacul dan tersasul malahan terbabas dari topik asalnya? Bagaimanapun, secara peribadi saya merasakan bahawa program itu sekurang-kurangnya berjaya mendebatkan topik itu secara terbuka di hadapan penonton TV1 yang menontonnya. Saya tidak akan mengulas semula apa yang telah diutarakan oleh para panel lain kerana ia adalah hak peribadi mereka samada semuanya betul atau sebaliknya terpulang kepada penonton untuk menilaikannya. Terima kasih kepada penerbit Nor Ashidah Abd Hamid serta penolong penerbit Muhaji Abd Karim dan Nor Azlily Aziz. Berikut ialah pendapat peribadi saya berkaitan dengan topik ini yang mungkin tak sempat saya luahkan semasa rancangan itu.

‘Primitif’ dalam filem bergantung dari sudut mana ia dilihat dan dicari oleh khalayak. Kalau berpaksikan sepenuhnya kepada nilai komersialisme dan hiburan total sahaja mungkin ada benarnya? Kalau di internet dengan kerasnya filem-filem sebegitu sampai dapat jolokan filem sampah malahan digelar filem jamban! Secara peribadi, saya katakan yang kerap diwar-warkan di media, primitifnya filem kita selalunya merujuk kepada sudut PENCERITAAN (storytelling) iaitu end-product yang ditayangkan di pawagam. IDEA asas/asal sesebuah filem boleh saja dari apa jua pun GENRE, TEMA, SUBJEK, ERA kalau dibikin dengan STRUKTUR yang KEMAS masih boleh menjadi sebuah filem yang dianggap baik. Ia boleh jadi nampak primitif apabila berlakunya 'KESILAPAN' dalam rantaian sebelum-semasa-selepas proses pembikinannya bermula dari penulisan skrip - tapisan panel skrip - pemilihan pengarah / pelakon / pekerja filemnya - di lokasi - pra/pasca pembikinan - proses suntingan – pemasaran – akhir sekali tayangannya.

Saya juga merasakan soal KLISE-nya subjek/tema naratif perfileman kita kerana kadangkala ada rumah produksi yang UNDER-ESTIMATE atau sekadar meneka kehendak dan pemikiran khalayak hari ini yang merasakan bahawa mungkin ITU yang dikehendaki oleh sebahagian besar penonton? Maksud saya cerita yang remeh-temeh dan ringan sahaja? Sebenarnya penonton pawagam kini sudah jauh dan banyak terdedah dengan naratif dan teknologi lambakan perfileman luar yang lebih kompleks dan canggih. Jadi saya sarankan kepada pembikin filem kita di luar sana untuk menganalisa dengan teliti APAKAH sebenarnya yang ditonton oleh khalayak selain dari filem kita sahaja? Banyakkan lagi garapan cerita yang lebih KEMAS dan TIDAK MEMPERBODOHKAN penonton. Kata kuncinya ialah LAKONLAYAR yang mesti di-polish berkali-kali sebelum di bawa ke lokasi!

Dari sudut ‘primitif’ skrip filem/lakonlayar pula, saya berpendapat bahawa rumah produksi kena betul-betul menganalisa, memilih dan menggilap berkali-kali sesebuah karya oleh seseorang penulis skrip sehingga ia benar-benar berkualiti jalan ceritanya supaya TIDAK mengulang KLISE permasalahan dan imej busuk masyarakat sahaja berkali-kali! Jadi industri perfileman terutamanya SWAM kena bantu, berikan perhatian penuh dan naikkan taraf penulisan skrip dahulu sebelum apa-apa cadangan pembikinannya.

Saya rasa kurang adil untuk membanding beberapa buah filem TERBAIK dari luar negara dengan KESEMUA SEKALI filem Melayu secara pukal. Ini macamlah membandingkan beberapa biji epal impot yang berkualiti tinggi dengan SEBAKUL buah-buahan tempatan analoginya! Filem kita juga ada yang berkualiti hebat dari lambakan semuanya sekali. Pernahkah kita terfikir bahawa perihal yang sama juga berlaku dalam industri filem luar, di negara mereka mempunyai filem-filem yang dikatakan masih primitif?

Bagaimanakah untuk mengangkat filem kita ke luar negara? Mungkin sebelum bersaing dengan negara jiran, kita kena bersaing sengit secara sihat sesama produksi dahulu dalam negara. Selepas itu bekerjasama dan bersatu pula untuk membikin beberapa buah filem setiap tahun gabungan kepakaran pekerja filem masing-masing dan perkongsian dana dari SEMUA produksi!. Hantar melalui FINAS ke festival filem antarabangsa!. Tak mustahil kan?

Sebagai seorang pengkritik filem bebas melalui laman blog, dimana saya lebih ambil pendekatan mengulas secara santai, memang adakalanya pembikin filem kita cepat melatah dan defensif bila dikritik samada di media cetak rasmi apatah lagi di internet. Sampai ada yang memberikan komen ‘tanpa bernama’ @ ‘anonymous’ mempertahankan habis-habisan filem mereka seperti menegakkan benang basah, termasuk juga mencabar semula si penulis kritikan supaya membikin sendiri filem! Sewajarnya setiap kritikan itu perlu dibaca dan dianalisa semula samada ada betulnya atau sekadar omongan kosong si penulis? Sebenarnya nak tak nak si pembikin kena berfikiran terbuka untuk ambil teladan dan iktibar dari kritikan-kritikan itu untuk memperbaiki lagi karya mereka di masa akan datang. Anggaplah kritikan filem sebagai ‘check & balance’ kerana mereka boleh dikatakan sebagai mewakili khalayak/penonton.

Mengenai ‘primitif’nya kualiti lakonan dalam filem kita, ia bergantung kepada latar-belakang dan asal-usul dari mana seseorang pelakon itu? Sebenarnya kita mempunyai barisan pelakon yang bagus selalunya dari kelompok pelakon veteran, penggiat teater dan sekolah filem. Mungkin yang ‘primitif’ itu dari kelompok pelakon TANPA asas dahulu lalu terus terjun ke dunia lakonan hanya berbekalkan populariti bidang sebelumnya seperti dari program tv realiti, artis majalah, modeling, penyanyi atau saudara-mara dalam sesebuah produksi? Tetapi saya tak nafikan juga kadangkala ada pelakon dari kelompok itu yang sememangnya berbakat semulajadi sebagai pelakon cuma perlu diasah lagi bakat mereka. Lagi ramai lagi bagus kan?..hahaha!

Dari pengalaman saya menonton filem-filem pendek di Puncak Perdana, UiTM baru-baru ini pelajar perfileman kita semakin bagus. Kalaulah saya boleh mencadangkan sesuatu kepada FINAS ialah dengan memilih graduan-graduan yang diiktiraf oleh universiti sebagai yang terbaik, bila mereka habis belajar apakata FINAS taja mereka untuk sambung pengajian di sekolah-sekolah filem luar negara yang terbaik. Lepas itu bila mereka balik semula ke sini, berikan dana khas pula untuk pembikinan filem arahan atau tulisan lakonlayar dari karya mereka.

Khalayak juga masih ‘primitif’ dalam memilih filem yang hendak ditonton di pawagam. Saya mencadangkan supaya didik masyarakat ikut pepatah “melentur buluh biar dari rebungnya!” Maksud saya dengan menyarankan kepada Kementerian Pendidikan untuk memasukkan silibus kecil subjek apresiasi filem dan bidang seni lain di sekolah macam juga subjek lukisan. Kalau itu direalisasikan, tak mustahil pada suatu hari nanti generasi akan datang samada yang jadi penonton atau pembikin filem akan seiring dan membangunkan lagi industri perfileman kita.

Sekian, terima kasih.

Ajami Hashim
1 Mac 2010

*ulasan Maizura M.Ederis * bukansepet

PART 1


PART 2


PART 3


PART 4


PART 5


PART 6


PART 7


PART 8

Khamis, 18 Februari 2010

LU PIKIRLAH SENDIRI DE MOVIE ~ naratif yang berterabur!



Salaam..

Pertama sekali poster filem ini mengelirukan kerana Nabil (Nabil Raja Lawak 2) dan Aisyah (Mila AF5) tidak bercinta tetapi mereka adik-beradik. Sepatutnya gambar Natasya (Puteri Sarah Liyana) iaitu pelakon wanita utama yang sewajarnya digandingkan dengan Nabil. Tambahan pula Mila hanya sekadar cameo sahaja. Namun begitu, siapa peduli kalau poster filem ini hanya letakkan gambar kucing sekalipun kerana ia hanya sekadar poster yang kononnya mampu memancing khalayak untuk menyerbu panggung seramai yang boleh!..boleh?..hahaha!

Filem ini mempunyai barisan pelakon yang sederhana, baik dan profesional tetapi dibazirkan oleh naratif yang berterabur. Kisah hidup Nabil itu sendiri ialah rentetan klise dari seorang yang zero kepada hero yang sepatutnya dikronologikan dengan lebih mendalam serta menarik. Tetapi dek kerana pencemaran plot kisah cinta Nabil-Natasya yang dibuat-buat dan dipaksa-paksa menjadikan filem ini kehilangan hala tuju penceritaan. Bukan saya mengatakan bahawa ia patut dibuang tetapi penampilan kisah hidup Natasya seakan berebut dengan kisah hidup Nabil. Kombinasi 2 cerita yang seakan bergerak sendirian menyebabkan jalan ceritanya terkejar-kejar dan bercampur-aduk.

Oklah. Katakan bahawa memang itu tujuan penulis skrip dan pembikin filem ini untuk bercerita melalui 2 parallel storylines (Nabil vs. Natasya) dimana kedua-dua watak dipertembungkan di kafetaria, ia mesti dibikin dengan betul-betul meyakinkan! Maksud saya, pembikin mesti menjual idea itu melalui promosi poster dan trailer bahawa ia kisah 2 watak utama yang saling berbeza latar perwatakan yang dilawankan tetapi jatuh cinta sesama mereka. Tetapi apabila filem ini diwar-warkan sebagai berdasarkan kisah hidup Nabil dimana namanya lebih gah dari Sarah, maka saya menganggap bahawa filem ini tidak jujur. Dengan itu, saya akan menapis untuk memilih kisah Nabil sahaja sebagai jalan cerita utama dan kisah Natasya sebagai subplot. Secara jujurnya juga saya katakan bahawa kisah konflik hidup Nabil sangat menarik untuk diikuti. Maka apabila kisah Natasya yang berkisar tentang kehidupannya di UiTM diselang-seli menjadikan tumpuan saya terganggu. Perlu diingat juga bahawa tagline 'Lu Pikirlah Sendiri' itu ialah kepunyaan dan dipopularkan oleh Nabil Raja Lawak 2 bukannya perkongsian dengan Puteri Sarah Liyana!..kannn? (baca semula perenggan pertama mengenai poster di atas)

Sebenarnya ia berpotensi untuk menjadi sebuah filem yang menarik untuk ditonton seandainya paparan kisah hidup Nabil lebih didalami, dikreatifkan dan diberikan lebihan durasi berbanding kisah Natasya. Sekarang baru saya faham kenapa Nabil berani mengatakan apa yang disuarakannya di media. Filem ini pujiannya cuma untuk..errr! kualiti rakaman video dan audio yang baik. Selainnya?..tak perlu lu nak fikirlah yer!..hahaha!

ref: sinemamalaysia * lufikirlahsendiri.com
rev: thatmoviebloggerfella * tontonfilem * cinema.com.my * moviewritings

SUDAH-SUDAHLAH TU ANONYMOUS KALAU KAU TAK PUAS HATI DENGAN REBIU AKU, SILA DAFTAR BLOG SENDIRI DAN REBIULAH IKUT SUKA HATI KAU! LEPAS TU KAU BAGI LINK KAT KOTAK KOMEN DAN KAMI AKAN BACA! :)





Rabu, 10 Februari 2010

KEABADIAN CINTA ~ telefilem 3 cerita cinta dari Kabir Bhatia & Mira Mustaffa

"Cinta tak perlukan mata..tak perlukan telinga..cinta cuma perlukan hati.."

Astro Citra (saluran 131), Ahad, 14 Feb 2010, 9 malam
arahan Kabir Bhatia, skrip Mira Mustaffa





Rabu, 3 Februari 2010

TANDA ~ dunia empatsegi yang sangat best!

*NOTA: teater ini diharamkan oleh pihak ASWARA pada hari ke-4 pementasannya, 5 Feb 2010..ia akan dipindahkan ke lokasi baru:
PJ Live Arts Sdn Bhd, 2A-3, Block K, Jaya One, Section 13, No.72A, Jalan Universiti
Tarikh pementasan:
25-27 Feb 2010 (8.30pm)
27 & 28 Feb 2010 (3pm)

sila rujuk FB-group: TANDA
Salaam..

Ia empatsegi! Melihat kali pertama poster teater TANDA di laman blog RAT saya seakan menjangka bahawa ia mungkin kusam? Betul! Tiada rupa komersialisme yang dipertandakan? Betul! Namun setelah menghabiskan penontonan persembahan devised theatre tersebut saya mengerti bahawa kekusaman dan kurang glamour seluruh persembahannya itulah menjadi keunikan dan kehebatan teater ini. Betul! Maksud saya ia benar-benar bagus! Agaknya juga kerana saya terlalu kekenyangan dengan hiburan yang terlebih bergula-gula di tv dan wayang. Maka sesekali menonton suatu persembahan yang sebegini memberikan impak sangat terkesan dan mendalam sebagai jamuan untuk kelaparan minda saya. Benar juga ia adalah hiburan dalam bentuk yang lain.

Secara mudah untuk diterangkan, ia merupakan kombinasi aksi sekumpulan pelakon dengan latar muzik langsung macam band rock, bunyi-bunyian, tayangan visual dan pentas empatsegi menceritakan kisah yang berkecamuk tetapi berstruktur. Setiap watak yang beraksi atau berdialog atau bermonolog atau mendeklamasikan sajak akan sentiasa dibauri oleh para pelakon lain yang bergerak di sudut atau kawasan pentas lain. Semua pelakon akan sentiasa ada gerakan tubuh; berlari, berjalan, melompat, merangkak dan sebagainya malah sekecil-kecil pergerakan jari mengetuk lantai pentas! Non-stop! Mungkin ada sesekali mereka kejung kaku tetapi sangat-sangat sekejap. Naratifnya yang bersegmen-segmen tanpa sempadan yang jelas walaupun sebenarnya ada 6 buah sekuen cerita berjaya dijalinkan menjadi satu persembahan besar tanpa henti. Kalau saya sendiri sebagai khalayak seakan merasa kepenatan, apatah lagi semua pelakon yang berharmoni sama-rata untuk menjayakan persembahan ini. Dan mereka ada 6 kali persembahan!

Pembukaan dan penutup teater melalui gerakan para pelakon yang sangat-sangat perlahan dan tenang dalam 2 latar yang berbeza - mula yang cukup, akhir yang musnah. Ia dimulakan dengan asas sebuah keluarga dengan naratif melodrama berloghat utara yang tipikal tetapi dalam gerakan aksi yang janggal dan berkeliaran. Visual kabur interpretasi 'ikan paus' menjadi subjek tumpuan semua pelakon di 2 bahagian depan dan belakang. Itu baru segmen pertama!..hahaha!

..BERSAMBUNG!

DATANGLAH MERAMAI-RAMAI MENYAKSIKAN TEATER 'TANDA'..MAKLUMAT LANJUT, SILA KLIK LAMAN WEB rumahanakteater.blogspot.com ..TIKET BERHARGA RM30 & RM15 (PELAJAR) MEMANG BERBALOI! :)