FACEBOOK 'FENOMENA SENI RTM'

Tajuk: FILEM KITA PRIMITIF
Tarikh: Sabtu, 27 Feb 2010, 2.00 ptg (live)
Saluran: RTM1, Pengacara: Rosyam Nor
Para Panel:
Edry Abd Halim, Prof. Madya A.Razak Mohaideen,
dan Md. Jamil Hashim (Ajami Hashim)


Salaam..

Ruang dan peluang saya ke rancangan Fenomena Seni TV1 dengan tajuk Filem Kita Primitif? pada hari Sabtu, 27 Februari 2010, jam 2 petang yang lalu ialah titik-tolak besar untuk saya ‘bersuara’ kepada lebih ramai khalayak dari pendapat peribadi selain laman blog ini. Sebenarnya bukan mudah untuk ‘bertikam-lidah’ secara langsung dengan panel-panel lain yang terbukti berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Prof. Madya A. Razak Mohaideen, Edry Abdul Halim dan pengacaranya Rosyam Nor. Di belakang tabir, sebelum ke set sudah dimulakan ‘perbincangan kecil’ hala-tuju topik itu sebelum ‘on-air’ di antara kami. Namun begitu, semasa siaran langsung apa sahaja boleh terpacul dan tersasul malahan terbabas dari topik asalnya? Bagaimanapun, secara peribadi saya merasakan bahawa program itu sekurang-kurangnya berjaya mendebatkan topik itu secara terbuka di hadapan penonton TV1 yang menontonnya. Saya tidak akan mengulas semula apa yang telah diutarakan oleh para panel lain kerana ia adalah hak peribadi mereka samada semuanya betul atau sebaliknya terpulang kepada penonton untuk menilaikannya. Terima kasih kepada penerbit Nor Ashidah Abd Hamid serta penolong penerbit Muhaji Abd Karim dan Nor Azlily Aziz. Berikut ialah pendapat peribadi saya berkaitan dengan topik ini yang mungkin tak sempat saya luahkan semasa rancangan itu.

‘Primitif’ dalam filem bergantung dari sudut mana ia dilihat dan dicari oleh khalayak. Kalau berpaksikan sepenuhnya kepada nilai komersialisme dan hiburan total sahaja mungkin ada benarnya? Kalau di internet dengan kerasnya filem-filem sebegitu sampai dapat jolokan filem sampah malahan digelar filem jamban! Secara peribadi, saya katakan yang kerap diwar-warkan di media, primitifnya filem kita selalunya merujuk kepada sudut PENCERITAAN (storytelling) iaitu end-product yang ditayangkan di pawagam. IDEA asas/asal sesebuah filem boleh saja dari apa jua pun GENRE, TEMA, SUBJEK, ERA kalau dibikin dengan STRUKTUR yang KEMAS masih boleh menjadi sebuah filem yang dianggap baik. Ia boleh jadi nampak primitif apabila berlakunya 'KESILAPAN' dalam rantaian sebelum-semasa-selepas proses pembikinannya bermula dari penulisan skrip - tapisan panel skrip - pemilihan pengarah / pelakon / pekerja filemnya - di lokasi - pra/pasca pembikinan - proses suntingan – pemasaran – akhir sekali tayangannya.

Saya juga merasakan soal KLISE-nya subjek/tema naratif perfileman kita kerana kadangkala ada rumah produksi yang UNDER-ESTIMATE atau sekadar meneka kehendak dan pemikiran khalayak hari ini yang merasakan bahawa mungkin ITU yang dikehendaki oleh sebahagian besar penonton? Maksud saya cerita yang remeh-temeh dan ringan sahaja? Sebenarnya penonton pawagam kini sudah jauh dan banyak terdedah dengan naratif dan teknologi lambakan perfileman luar yang lebih kompleks dan canggih. Jadi saya sarankan kepada pembikin filem kita di luar sana untuk menganalisa dengan teliti APAKAH sebenarnya yang ditonton oleh khalayak selain dari filem kita sahaja? Banyakkan lagi garapan cerita yang lebih KEMAS dan TIDAK MEMPERBODOHKAN penonton. Kata kuncinya ialah LAKONLAYAR yang mesti di-polish berkali-kali sebelum di bawa ke lokasi!

Dari sudut ‘primitif’ skrip filem/lakonlayar pula, saya berpendapat bahawa rumah produksi kena betul-betul menganalisa, memilih dan menggilap berkali-kali sesebuah karya oleh seseorang penulis skrip sehingga ia benar-benar berkualiti jalan ceritanya supaya TIDAK mengulang KLISE permasalahan dan imej busuk masyarakat sahaja berkali-kali! Jadi industri perfileman terutamanya SWAM kena bantu, berikan perhatian penuh dan naikkan taraf penulisan skrip dahulu sebelum apa-apa cadangan pembikinannya.

Saya rasa kurang adil untuk membanding beberapa buah filem TERBAIK dari luar negara dengan KESEMUA SEKALI filem Melayu secara pukal. Ini macamlah membandingkan beberapa biji epal impot yang berkualiti tinggi dengan SEBAKUL buah-buahan tempatan analoginya! Filem kita juga ada yang berkualiti hebat dari lambakan semuanya sekali. Pernahkah kita terfikir bahawa perihal yang sama juga berlaku dalam industri filem luar, di negara mereka mempunyai filem-filem yang dikatakan masih primitif?

Bagaimanakah untuk mengangkat filem kita ke luar negara? Mungkin sebelum bersaing dengan negara jiran, kita kena bersaing sengit secara sihat sesama produksi dahulu dalam negara. Selepas itu bekerjasama dan bersatu pula untuk membikin beberapa buah filem setiap tahun gabungan kepakaran pekerja filem masing-masing dan perkongsian dana dari SEMUA produksi!. Hantar melalui FINAS ke festival filem antarabangsa!. Tak mustahil kan?

Sebagai seorang pengkritik filem bebas melalui laman blog, dimana saya lebih ambil pendekatan mengulas secara santai, memang adakalanya pembikin filem kita cepat melatah dan defensif bila dikritik samada di media cetak rasmi apatah lagi di internet. Sampai ada yang memberikan komen ‘tanpa bernama’ @ ‘anonymous’ mempertahankan habis-habisan filem mereka seperti menegakkan benang basah, termasuk juga mencabar semula si penulis kritikan supaya membikin sendiri filem! Sewajarnya setiap kritikan itu perlu dibaca dan dianalisa semula samada ada betulnya atau sekadar omongan kosong si penulis? Sebenarnya nak tak nak si pembikin kena berfikiran terbuka untuk ambil teladan dan iktibar dari kritikan-kritikan itu untuk memperbaiki lagi karya mereka di masa akan datang. Anggaplah kritikan filem sebagai ‘check & balance’ kerana mereka boleh dikatakan sebagai mewakili khalayak/penonton.

Mengenai ‘primitif’nya kualiti lakonan dalam filem kita, ia bergantung kepada latar-belakang dan asal-usul dari mana seseorang pelakon itu? Sebenarnya kita mempunyai barisan pelakon yang bagus selalunya dari kelompok pelakon veteran, penggiat teater dan sekolah filem. Mungkin yang ‘primitif’ itu dari kelompok pelakon TANPA asas dahulu lalu terus terjun ke dunia lakonan hanya berbekalkan populariti bidang sebelumnya seperti dari program tv realiti, artis majalah, modeling, penyanyi atau saudara-mara dalam sesebuah produksi? Tetapi saya tak nafikan juga kadangkala ada pelakon dari kelompok itu yang sememangnya berbakat semulajadi sebagai pelakon cuma perlu diasah lagi bakat mereka. Lagi ramai lagi bagus kan?..hahaha!

Dari pengalaman saya menonton filem-filem pendek di Puncak Perdana, UiTM baru-baru ini pelajar perfileman kita semakin bagus. Kalaulah saya boleh mencadangkan sesuatu kepada FINAS ialah dengan memilih graduan-graduan yang diiktiraf oleh universiti sebagai yang terbaik, bila mereka habis belajar apakata FINAS taja mereka untuk sambung pengajian di sekolah-sekolah filem luar negara yang terbaik. Lepas itu bila mereka balik semula ke sini, berikan dana khas pula untuk pembikinan filem arahan atau tulisan lakonlayar dari karya mereka.

Khalayak juga masih ‘primitif’ dalam memilih filem yang hendak ditonton di pawagam. Saya mencadangkan supaya didik masyarakat ikut pepatah “melentur buluh biar dari rebungnya!” Maksud saya dengan menyarankan kepada Kementerian Pendidikan untuk memasukkan silibus kecil subjek apresiasi filem dan bidang seni lain di sekolah macam juga subjek lukisan. Kalau itu direalisasikan, tak mustahil pada suatu hari nanti generasi akan datang samada yang jadi penonton atau pembikin filem akan seiring dan membangunkan lagi industri perfileman kita.

Sekian, terima kasih.

Ajami Hashim
1 Mac 2010

*ulasan Maizura M.Ederis * bukansepet

PART 1


PART 2


PART 3


PART 4


PART 5


PART 6


PART 7


PART 8