SRI MERSING @ IB ~ berjaya mengangkat rasa filem purbawara yang klasik dalam sebuah persembahan pentas yang moden :) via twitter.com/ajami_hashim

Salaam..

Adaptasi sebuah karya dari filem ke pentas rasanya agak berisiko tinggi untuk menjadi sebuah persembahan yang menghiburkan kerana khalayak sudah tahu jalan ceritanya lantas pasti membandingkan mana yang lebih baik atau sebaliknya? Medium filem punyai kelebihan dari segi lakonan para pelakon yang dirakam dalam durasi masa berhari-hari tanpa mengikut sekuen sebenar jalan cerita..action dan cut! Tambahan juga filem mampu menggunakan sebuah kampung sebagai lokasi dan set. Audio dan visual pula disunting dengan kemas untuk susunan naratif yang betul. Maka bagaimanakah teater Sri Mersing ini hendak bercerita semula dengan hanya sebuah pementasan non-linear storytelling yang berpusing-pusing? Inilah yang saya hendak ulaskan sedikit mana yang mampu di sini selepas menontonya malam tadi, 15 Mac 2010, 8.30 malam di Istana Budaya.

Pertama sekali, secara keseluruhannya seperti yang saya 'tweet'-kan di atas bahawa teater ini berjaya mengangkat rasa filem purbawara yang klasik dalam sebuah persembahan pentas yang moden. Rentetan kronologi cerita walaupun dipecahkan kepada 2 time-frame atau zaman di tahun 1870 dan 1900 diselang-seli dengan lancar melalui penggunaan sepenuhnya pentas (darat/kampung) dan binaan set 'jeti sungai' di hadapan pentas secara berganti-ganti. Kawalan penataan cahaya sangat khusus untuk menjuruskan serta mengalihkan tumpuan penonton kepada kemunculan watak-watak yang menghuni setiap zaman. Kisah purba sebegini dimana kostum tradisional kampung kedua-dua era tidak banyak berbeza kerana masih berkisar di lokasi yang sama di atas tanah Sri Mersing yang serupa. Maka penampilan identiti kelompok masyarakat kedua-dua zaman itulah yang mesti mampu membezakan di tahun yang mana satu sedang penonton saksikan. Muzik iringan yang melatari setiap babak juga begitu sama dengan skor muzik filem purba Melayu. Secara peribadi, saya nyatakan bahawa ia berjaya!

Antara perihal yang mengujakan saya mengenai pementasan ini ialah kedudukan 'rumah Sri Mersing' semasa lakonan Datin Rosnani (1900) dan lakonan Elly (1870) yang menyerlahkan 2 posisi yang berlainan kepada penonton iaitu dari pandangan depan dan pandangan sisi bertandakan sebuah 'telaga'. Satu lagi ialah permainan teknik lampu yang khas untuk mengarahkan tumpuan penonton kepada perbualan Sri Mersing (Elly) dengan Siti Payung (Mardiana) semasa majlis perkahwinannya dengan Awang Sulong (Yus) - waktu itu semua keraian di luar rumah masih berlangsung dengan tarian orang kampung dan sebagainya walaupun muzik latar sudah di-mute-kan. Ada juga alienation-effect yang disumbat dalam persembahan ini apabila Deli (Mutaliff) bertemu dengan Tok Batin (Bohari) dan pengikutnya yang seakan-akan kumpulan orang asli di Afrika? Sebenarnya banyak lagi elemen persembahan dalam teater ini yang menarik tidak dapat saya jelaskan semuanya.

Dari segi kualiti lakonan boleh dikatakan kesemuanya bagus-bagus terutama sekali penjiwaan watak oleh Elly Mazlein, Adi Putra, Melissa, Taiyuddin, A.Galak dan Yus. Cuma secara peribadi saya tak begitu 'percaya' dengan usia dan kematangan lakonan untuk kedua-dua watak ibu iaitu Mak Tanjung (Rozilawati) dan Mak Banang (Norhabsah). Bagi lakonan veteran Datin Rosnani memang sediada hebat manakala lakonan Dato' Mustapha Maarof seakan-akan 'mengingat' dialog yang hendak dipertuturkan? Penampilan Shuib dan Jeff Raja Lawak seperti biasa adalah kelakar. Manakala Leez, Hairi, Rusdi, Othman, Mutaliff, Azizah, Abu Bakar, Mohd Nor dan lain-lain cameo adalah ok!

Jalan cerita kedua-dua zaman juga sangat berkait dimana sejarah berulangan semula. Namun ada perbezaan kecil yang dapat saya simpulkan apabila membandingkan keduanya. Pegangan gila kuasa dan korupsi oleh Penghulu Baru Mersing (Abu Bakar) dan anaknya Bentayan (Rusdi) di tahun 1900 adalah lebih buruk berbanding Penghulu Lanchang Kuning (Othman) dan anaknya Awang Sulong (Yus) di tahun 1870 - Puteh (Taiyuddin) dan Orang Kaya (Mohd Nor) adalah sebenar-benarnya 'puppet-master' untuk pemerintahan di Sri Mersing (1900). Perwatakan Merah-1900 (Hairi) adalah lebih sabar dan berilmu berbanding dengan Damak-1870 (Adi) yang panas baran. Perkembangan sosial dalaman kedua-dua kumpulan masyarakat di 2 zaman itu seolah-olah menyatakan bahawa pihak yang jahat (keturunan pemerintah/Penghulu) itu semakin lemah dimana ia diperkotak-katikkan oleh kuasa luar yang lebih jahat manakala pihak yang benar (keturunan rakyat/Damak) pula semakin baik tetapi masih juga ditindas?

Secara mudahnya, pementasan teater ini seakan mahu menyerlahkan (dan mungkin menyedarkan) khalayak bahawa pengulangan sejarah hitam politik dalam masyarakat Melayu telah, sedang dan akan berlaku lagi di masa akan datang. Berbagai perwakilan watak kotor ditampilkan misalnya melalui watak-watak Sri Siantan (Melissa) yang sanggup memfitnah Damak demi kepentingan peribadi seksualnya, kedua-dua Penghulu yang gila kuasa veto melalui kroni anak masing-masing, Jalak Lenteng (Jeff) dan Tambak (Shuib) para pengampu dan pengendali kejahatan yang sanggup berbohong sebagai kuli kerajaan korup, Orang Kaya yang menggunakan harta untuk merasuah serta Puteh iaitu gunting dalam lipatan yang menunggu masa untuk merampas kuasa dari kerajaan yang semakin lemah.

Ajami Hashim
16 Mac 2010

*tempahan tiket: Ticket2U
*facebook: Sri Mersing
*laman web: Istana Budaya
*filem Seri Mersing: sinemamalaysia