Salaam..
Kelebihan sesebuah novel berbanding medium lain seperti penglipurlara lisan, televisyen, filem atau komik ialah penceritaan dalam minda si penceritanya yang ditulis dan dibaca. Kelebihan utama novel Karipap Karipap Cinta karya Nazri M. Annuar ini pula ialah watak protagonist Ali yakni si pencerita dan ceritanya yang bagus seolah-olah menggabungkan kesemua medium di atas untuk digambarkan dalam minda si pembaca. Sejujurnya memang ia sebuah karya penulisan fiksyen pop yang baik dan mungkin sudah tentu popular di kalangan pembaca remaja. Saya rasalah..
Naratif asas novel Karipap Karipap Cinta ialah kisah konflik seorang lelaki bernama Ali dalam meraih cinta dari seorang gadis bertudung bernama Sarah yang secara zahirnya adalah mustahil. Nazri mempertembungkan 2 perwatakan yang sangat kontras dimana dia sering menterbalikkan latar perwatakan di antara lelaki dan perempuan yang 'sepatutnya' dimiliki oleh jantina masing-masing. Itulah umpan pencirian watak-watak yang mungkin kurang klise berbanding kisah-kisah cinta remaja dalam sebuah novel. Saya kata mungkin..
Sarah ialah watak maskuliniti lengkap dengan ilmu silat dan agama, manakala Ali ialah watak naif dan berjiwa feminin secara dalamannya. Namun begitu, Sarah masih seorang gadis yang bercirikan ketimuran walaupun berfikiran kental mewakili era wanita besi katanya. Ali pula masih berwatak klise lelaki kasar kosong seakan 'loser' yang perlu diselamatkan di awal-awal cerita. Barangkali Ali adalah watak fantasi si penulisnya yang hendak mengangkat perwatakan lelaki yang sebegitu untuk dijadikan hero di akhir cerita kerana ia mudah dikembangkan dan kebiasaan dalam sebuah novel. Saya agak barangkali..
Novel ini juga cuba berpolitik dan berceramah motivasi sosial secara sambil lalu dengan sinisnya. Malahan ia sempat menyumbat sedikit elemen seram, jenayah dan aksi sebagai sub-plot untuk mewarnakan naratifnya. Bagaimanapun, kisah konflik cinta Ali-Sarah tetap menjadi tunjang utama jalan cerita yang ke depan diselang-seli dengan situasi komedi dan serius. Nazri seakan sentiasa berhati-hati dengan penceritaannya dimana setiap kronologi plot mengikut bab pastinya akan di-twist-kan setelah pembaca diberikan jangkaan dan sangkaan yang 'sepatutnya' akan berlaku, tetapi disudahkan dengan kejadian yang lain atau lebih sukar dan buruk kepada watak Ali. Saya sudah jangkakanlah..
Karipap Karipap Cinta mungkin kedengaran seperti karya yang main-main dan terlalu bersahaja. Memang ditulis sebegitu gamaknya. Ia sebuah kisah cinta fiksyen yang santai tetapi dekat dengan cerita di sekeliling kita. Novel ini memberikan pinjaman acuan kisah-kisah, wajah-wajah atau watak-watak yang sering kita jumpa atau dengar seharian. Ia bercerita tentang sebuah harapan..dan karipap!