Sabtu, 11 Jun 2011

KL GANGSTER (2011) ~ dunia lelaki-lelaki jahat?

Salaam..

KL Gangster jujur dengan tajuknya. Walaupun tidak sekejam dan seganas filem-filem mafia Hollywood atau kongsi gelap Hong Kong, tetapi ia bercerita tentang dunia gelap kelompok sosial berbahaya sebegitu. Ia sememangnya wujud di mana-mana jua tanpa perlu dipedulikan sangat selagi saya tidak mendekati atau buat pasal dengan mereka. Itulah kisahnya filem ini. Garapan penceritaannya diberikan sedikit kemanusiaan dan rasa kekeluargaan yang diselang-seli dengan aksi pergaduhan demi pergaduhan. Kemanusiaannya ialah dari pelbagai perwatakan dalam hirarki gangsterisme manakala kekeluargaan yakni konflik masing-masing dalaman keluarga Malek dan keluarga Shark.

Filem ini tidak monotoni untuk mentafsirkan perwatakan penjahat kerana setiap watak ada lebih-kurangnya perangai masing-masing yang berdiri sendiri. Ada penjahat yang saya benci dan ada penjahat yang saya suka serta ada penjahat yang saya ketawa bersamanya. Mereka ialah sekumpulan anti-hero yang berkonflik sesama sendiri kerana perebutan kuasa dan kawasan. Di antara kedua-dua kumpulan penjahat King-Dragon diletakkan seorang watak bekas penjahat yang hendak insaf iaitu Malek sebagai orang/mangsa tengah.

Di samping perwatakan penjahat yang berwarna-warni latarnya, filem ini juga dipenuhi dengan dialog-dialog bersahaja yang ada ketikanya kedengaran kelakar dan ada juga yang naik menyampah serta mengada-ngada. Tapi siapa yang peduli kan? Lokasi-lokasi wajib sesebuah filem gangster tempatan iaitu disco untuk gadis-gadis sehati berdansa dan bilik khasnya juga ada tetapi tidak diperpanjangkan setakat untuk memuakkan paksaan seperti filem gangster terdahulu yang kebiasaan. Malahan saya cukup tertarik dengan latar set kelab malam yang dipilih sebagai sarang King dan Dragon yang juga gelanggang untuk showdown di akhir cerita. Kegiatan haram gangsterisme filem ini juga tidak perlu berlebih-lebihan seperti selalu. Aktiviti pelacuran, jual dadah dan along hanya dipaparkan sambil lalu sahaja. Dan ia sudah memadai untuk difahami bahawa kawasan itu bermakna semua kegiatan yang jahat-jahat...(isi tempat kosong) maka itulah perniagaanya sehingga pasar borong pun ialah jajahannya juga (dan ia fakta sebenarnya kan?).

Naratif filem ini juga tidak meleret-leret dengan plot konflik yang pendek-pendek dan segera diselesaikan untuk menumpukan perhatian kepada aksi pergaduhan. Misalnya konflik Malek dengan ibu dan adik-beradiknya hanya dijelaskan melalui dialog tanpa sebarang flashback. Begitu juga masalah peribadi Shark dengan ayah tirinya King mengenai ibunya. Saya lekas mengerti kenapa Jai dan Zati jadi begitu semasa Malek dalam penjara. Samalah juga saya memahami kenapa Shark sentiasa baran kepada King ayah tirinya hanya dijelaskan di saat-saat terakhir. Walaupun konflik Malek-Jai sememangnya sangat jelas ketara berunsur ala filem Hindi tetapi ia masih boleh saya terima.

Secara teknikal, tangkapan gambar filem ini kelihatan kemas dan sesuai dengan genre aksinya. Begitu juga sulaman muzik latar yang membantu menaikkan keaksian setiap babaknya. Paparan aksi-aksi pergaduhan yang menjadi persembahan utama filem ini juga kelihatan sedaya-upaya untuk nampak realistik dengan tangkapan gambar yang berdurasi panjang satu sudut penuh wide shot sahaja. Rasanya tiada penggunaan wire stunt untuk aksi melompat-lompat kot? Dalam ertikata lain, filem ini ialah show bertumbuk sesuka-hati koranglah seboleh-bolehnya.

Soalan lazim kepada saya oleh kawan-kawan twitter & FB ialah "Ok tak?"..dan jawapan saya untuk filem ini ialah "Oklah!..pegilah tonton di pawagam! huhu!"

KL GANGSTER ~ filem jantan maskulin berebutkan kuasa kejantanan dalam dunia gelap lelaki-lelaki jahat *4/5 star* ☺ ~ twitter.com/ajamiha

*aku menonton KL Gangster dengan 'Ajib' (Shoffi Jikan) malam tadi dimana beliau akan muncul sebagai anti-hero dalam filem arahan Syamsul Yusof juga akan datang berjudul BOHSIA II: JALAN KEMBALI

6 ulasan:

afrohead berkata...

lakonan syamsul yusof mesti hebat kan? keh keh keh.

Rollo De Pelicula berkata...

wah...
menonton dengan sofi Jikan ke?
kirim salam dkt dia yer
suka tgok lakonan dia dan lakonan dia dlm film KL Gangster memang terbaik. Kalau sudi sila baca review filem saya

Review Filem KL Gangster

ROHAIFI berkata...

Shamsul Yusof menemui karakter yang sesuai dengan dirinya dalam KL Gangster... Watak antagonis amat sesuai untuk anak DY Haslam ini kerana penjiwaan Shamsul untuk watak hero dan jiwang selalunye 'kurenggg' kena... :)

Tanpa Nama berkata...

suke lakonan ajib(sofi jikan)...trbaik bro...

-mamamia- berkata...

filem ini keluar tepat pada masanya selepas aaron aziz hot dgn Nora Elena. sy pun pegi tengok sebab nak tgk aaron sangat2 sebenarnya. yg best this film needs no heroin atau pelakon2 wanita gedik. lagi satu saya pelik, kenapa skop suka sgt ambik halimah jongang tu berlakon. penonton nak jugak tgk pompuan2 lain kan. dan minta juga skop cari mekap artist yg power mcm Nurul Shukor tu ke kasi simen tebal sikit kat mana2 pelakon yg muka byk lubang2 bekas jerawat sama ada lelaki atau wanita. bukan menghina pelakon tapi biarlah proper... sebab kami terkejut bila tengok. kami org biasa ni pun kalau nak masuk TV 30 saat pun mekap tebal2 nak tutup semua kawah2 ni.

LilyNrman.Com berkata...

maskulin weh cerita nih! Best gilak! Wa suka! Semua dialog k.l gangster masih terngiang2 di telinga...