Rabu, 8 Jun 2011

THE STONING OF SORAYA M. (2008)

http://www.thestoning.com/

Salaam..

Sebuah filem berunsurkan dakwah yang baik bagi saya ialah sewajarnya ia tidak memaksa untuk berceramah kepada khalayak tetapi secara halus mencetuskan sesuatu perasaan yang mampu difikirkan semula selepas menontonnya. The Stoning of Soraya M. adalah salah satu filem yang saya boleh katakan berjaya menggarap cerita yang hanya berlatarkan keagamaan tetapi masih berlegar dalam sebuah kelompok masyarakat setempat yang terpencil. Secara peribadi, saya tidak melihat filem ini sebagai sebuah penceritaan yang memperlekehkan hukum Islam tetapi kerakusan manusia yang memperalatkan agama untuk kepentingan diri sendiri.

Agama ialah asas cara hidup yang terbaik dan bekalan mati selepasnya. Selamanya ia adalah untuk perihal yang baik-baik. Namun apabila manusia yang mempunyai kuasa dan kelebihan dalam sesebuah komuniti sosial, maka tak mustahil agama pun boleh dimanipulasikan sebagai senjata dan perisai untuk mencapai keperluan nafsu walaupun sehingga mengorbankan nyawa orang lain.

Zahra dan Freidoune Sahebjam ialah mata dan telinga yang akhirnya menyampaikan kisah ini kepada kita semua. Samada ia betul-betul kisah benar yang dijadikan novel La Femme Lapidee (1990) @ The Stoning of Soraya M. A True Story oleh Sahebjam sendiri sehingga diadaptasi menjadi filem ini oleh tulisan skrip Betsy Giffen Nowrasteh dan Cyrus Nowrasteh yang juga pengarahnya, saya tidak kisah kerana ia sebuah filem yang mencabar rasa prejudis dan persepsi saya semasa menontonnya.

Adakah filem ini peperangan gender antara keutamaan lelaki melawan kelemahan wanita? Secara luarannya saya berfikir semula, tragedi itu kerana kedegilan Soraya sendiri yang tidak mahu melepaskan suaminya, Ali untuk bercerai adalah titik mula musibah yang bakal menimpanya sendiri. Soraya juga membuka peluang untuk Ali mencari helah untuk mengenakannya sedangkan makciknya, Zahra sudah memberikan amaran berkali-kali. Ok, benar juga Soraya sanggup bekerja di rumah si duda Hashem kerana hendak mengumpulkan wang sebelum meninggalkan Ali tetapi Soraya terlalu yakin dia akan berjaya suatu hari nanti. Tambahan pula itulah satu-satunya pilihan Soraya untuk meneruskan kehidupan berdikari walaupun berisiko tinggi. Adakah Soraya mahu buktikan bahawa dia akan survive?

Ali ialah seorang opurtunis yang sangat licik hanya kerana mengejar nafsu semata-mata. Ali ialah dalang dan syaitan yang bertopengkan manusia untuk menghasut semua orang..dan dia berjaya! Sheik Hassan sebagai mullah/imam pula tidak mewakili orang alim secara umum tetapi manusia yang terpaksa menjaga nama baiknya sendiri kerana hendak menyelindungkan aibnya di masa lampau. Ebrahim ialah ketua kampung yang berkuasa menjalankan tanggungjawabnya dengan betul secara luaran tetapi terlalu naif untuk mebuat keputusan. Hashem ialah mangsa seperti Soraya tetapi pada waktu yang sama menjadi umpan yang terbaik untuk plot jahat Ali dengan menggunakan ugutan halus kepada anak kandung Hashem. Secara ringkasnya Ali, Sheik Hassan dan Ebrahim malahan ayah Soraya sendiri seumpama sekumpulan pengamal ajaran sesat yang secara dalaman memporak-perandakan masyarakat dengan motif masing-masing di atas nama agama.

Babak Soraya direjam sampai mati secara jelas dan ngerinya memaparkan worst-case scenario seandainya kejahatan (syaitan) memenangi peperangan menentang kebaikan (agama). Babak itu juga mengingatkan saya kepada hari hukuman dek fitnah kepada lagenda Mahsuri di hari dia dihukum bunuh. Kedua-dua situasi membuktikan bahawa kononnya keadilan di tangan orang-orang yang berkuasa tinggi ialah keputusan yang mutlak dan sentiasa betul?..dan ia masih berlaku dalam politik semasa di mana juga ceruk dunia? hahaha!

Filem ini dengan beraninya seakan 'mengetawakan' keputusan hukuman yang tidak adil kepada Soraya dengan menampilkan kejutan sekumpulan ahli sarkis ala funfair yang datang berpesta ke kampung itu secara mendadak. Dalam ertikata lain upacara merejam Soraya itu yang hanya berdasarkan gosip/umpatan orang sahaja tanpa bukti yang kukuh it's a joke? Sekali lagi saya tekankan bahawa filem ini tidak memperlekehkan hukum Islam tetapi mempersoalkankan pengamalnya yang 'menunggang' agama untuk kepentingan peribadi.

Ironiknya cerita ini adalah kerana ia berpunca dari nafsu syahwat Ali kepada seorang gadis lain bernama Mehri yang menggalang-gantikan nyawa isterinya sendiri bernama Soraya. Ironiknya juga kisah ini kerana punca fitnah datangnya dari seorang lelaki iaitu Ali lalu akhirnya diperjuangkan juga untuk keadilan oleh seorang jurnalis lelaki bernama Freidoune Sahebjam. Kesimpulanya, filem ini bukan persepsi buruk tentang kekejaman agama tetapi kisah keburukan sebahagian pengamalnya yang tidak berperikemanusiaan dan barbaric.

*sesuatu yang menakjubkan kerana filem ini boleh ditonton di youtube dalam satu fail yang panjang berdurasi hampir 2 jam dengan lancar! klik sini >> YOUTUBE
*terima kasih kepada Megat yang memperkenalkan saya kepada filem ini beberapa bulan yang lalu :)

5 ulasan:

Muhammad berkata...

Walau ada pihak,mengatakan filem ini memburukan islam.Tapi pada pendapat saya.Filem ini,membawa dakwah yang sangat besar mesejnya.

Babak akhir,bila Zahra berhujah kepada orang-orang kampung.Memberi satu kenyataan.Yang dia sebenarnya,yang menegakan keadilan.

Dia membela kematian soraya.
Dia tak goyah iman,kepada islam.
Dan ini,menjadikan filem ini..sangat luhur untuk difahami mesejnya.

ryann berkata...

jadi perdebatan filem ni. sblm ni memang ada kawan beritahu tentang filem ni. harap keluar int screens tapi takkan ade kot. tengok youtube je la.

afrohead berkata...

looking forward to this movie.

pesot azzallee berkata...

Citer ni double meaning..aku x suka..aku x nampak tauladan pon dalam citer ni..citer ni buat agama islam dikecam sebagai agama yg zalim..aku x rasa citer ni based on true story,tapi konspirasi jahat musuh islam yg cakap ni based on true story..dan org islam yg tgk pon percaya bulat2..zzz
Astafirullah al azim..ya Allah ampunkan hamba2 mu ini..yg silap dari diri ini,yg benar hanya darimu...sesungguhnya kau maha mengetahui

Tanpa Nama berkata...

filem ini mempunyai satu mesej yg halus iaitu utk menghina islam....
filem ini ada positif dan negatifnya...
positifnya filem ini menunjukkan kejahatan manusia menurut nafsu dan
kejahatan ulama yg jahat....
negatifya orang kafir akan berkata islam ini zalim sebenarnya bukan begitu...