contagion

Salaam. Filem ni aku tahu kewujudannya di festival filem antarabangsa venice ke-68 sehari sebelum tayangannya seluruh dunia mulai 9 September yang lalu dari penontonan 'tak sengaja' Galatv @ Astro Awani. Menonton trailernya di youtube, aku tidaklah terlalu taksub untuk menonton kecuali kerana tarikan barisan para pelakon gred A. Aku sudah jangka filem ini mesti berstruktur ensemble film/cast yang banyak plot cerita dan ramai pelakon. Ini yang berlaku selepas keluar panggung, aku rasa tidak ada apa-apa yang terlalu istimewa tentang filem ini selain dari mimikan dan tekapan dari kisah wabak penyakit yang lebih hebat dari SARS atau H1N1. Itu sahaja! Tetapi hari demi hari gambaran semula penceritaan filem ini seakan menghantui fikiran aku? Sebab tu aku tergerak hati tulis entri ini...agaknyalah?

Contagion ialah filem tentang hukum karma alam semulajadi kepada manusia? Susunan penceritaannya bergerak ke depan secara mudah linear dibuka di Day-2 wabak penyakit yang digelar MEV-1 mula menular. Mangsa pertamanya ialah Beth Emhoff (Gwyneth Paltrow) dengan paparan simptom yang biasa sahaja untuk seseorang yang demam panas dan selsema.

**untuk sinopsis (dan spoiler) sila klik wikipedia**

Seterusnya filem ini seperti juga satu wabak penyakit, plotnya 'merebak' kepada semua orang satu dunia yang berkaitan kerana diserang atau untuk mengenali penyakit itu dan mencari penawarnya. Itulah 'keseronokan' penontonan aku kepada filem ini. Ia seumpama sebuah dokumentari kisah benar yang berselang-seli dengan drama fiksyen tentang manusia dan kemanusiaan. Pada peringkat awal filem ini seolah penayangan semula montaj dari berita betul dari seluruh dunia kesan dari penyebaran virus tersebut (yang sebenarnya ialah filmmaking yang gigih untuk memfilemkan fotej-fotej pendek sebegitu!).

Mungkin aku suka dengan garapan cerita ala realisme filem ini? Ia memberikan aku pendedahan tentang bagaimana Standard Operating Procedure (SOP) apabila sesuatu wabak penyakit diisytiharkan mula berlaku? Apakah maksud R-naught? Rupa-rupanya sampel virus tu cuma dikaji oleh 2 orang saintis jer kat makmal untuk membuat analisa dan kesimpulan. Lagi satu baru aku tau cara nak masukkan vaksin ke dalam badan manusia paling afdal ialah melalui sedutan dalam lubang hidung. Haaa! lepas ni kalau ada orang tanya "ada ker filem yang memberi ilmu?" aku akan jawab filem Contagion ni ada beberapa ilmu sains yang aku dah belajar! Bagus kannn?

Maklumlah filem ini juga dikembangkan oleh penceritaan semua pelakon yang bagus-bagus. Tiada seorang pun yang antagonis walaupun pertentangan pendapat di antara Dr. Ellis Cheever (Laurence Fishburne) vs. Alan Krumwiede (Jude Law) sesekali seakan merayu aku untuk memihak kepada salah seorang dari mereka. Kedua-duanya sama tujuan untuk mencari penawar dari pendekatan yang berbeza.

Kemudian aku dicampakkan pula dengan watak-watak feminisme yang gigih bekerja kerana kepakaran mereka. Kalau aku ditanya untuk menyukai satu watak dari filem ini sudah tentulah Dr. Erin Mears (Kate Winslet) ialah pilihanku. Dialah yang sanggup turun padang di barisan paling depan untuk bertemu dengan mangsa-mangsa terawal. Entahlah aku terbayang kegigihannya seperti Florence Nightingale? Begitu juga dengan watak-watak Dr. Ally Hextall (Jennifer Ehle) dan Dr. Leonora Orantes (Marion Cotillard).

Watak Mitch Emhoff (Matt Damon) yang imun kepada wabak itu ialah wakil orang yang menjadi mangsa keadaan dan kononnya anugerah kekebalan kerana dia terlalu jujur kepada isterinya. Mitch ialah perwatakan klise yang seangkatan dengan para bapa dalam filem Hollywood yang mampu menagih simpati dari penonton dalam bentuk drama kekeluargaan sebagai penjaga. Agaknyalah kalau semua orang di dunia ini mati, dialah satu-satunya 'the one' yang bakal meneruskan zuriat manusia dengan sesiapa wanita yang juga suci dari wabak itu? Dia juga 'bapa contoh' yang begitu menjaga kesihatan (dan kesucian dara) anaknya Jory Emhoff (Anna Jacoby-Heron). Hubungan bapa tunggal-anak dara sebegitu diangkat sebagai sandaran ala drama tipikal siritv untuk menimbulkan momen-momen dramatik yang mampu memancing perasaan manis kepada penonton.

Satu lagi yang aku suka tentang filem ini dengan kemunculan watak video-blogger Alan Krumwiede (Jude Law) yang mampu 'bersuara' dari dunia internet terhadap isu wabak itu. Aku suka keberaniannya membongkar banyak isu dan kerenah birokrasi kerajaan (CDC) dalam menangani masalah sebesar itu. Beberapa kali dia begitu bangga dengan jutaan 'followers' blognya. Cuma aku tak berapa berkenan dengan penampilan imej Alan yang nampak agak selekeh ala internet-geek walaupun aku suka mulutnya selancang pendedahan di blognya.

Untuk watak Dr. Ellis Cheever (Laurence Fishburne) aku rasalah cuma copycat Dr. Raymond 'Ray' Langston dari siri CSI Las Vegas? Walaupun dia nampak berkaliber dan beriya-iya tetapi watak itu cuma versi lain dari Ray CSI tu ajerlah! huhu!

Mungkin mungkin mungkin cuma watak Beth Emhoff (Gwyneth Paltrow) yang jahat kerana dia seorang isteri yang curang? Tetapi bagi aku Beth ialah 'carrier' yang akan menjahanamkan semua manusia sekitarnya kerana berkongsi dosa dengan kilang yang diwakilinya dek menjahanamkan alam sekitar yakni habitat kelawar! (jawapan ada dalam babak terakhir filem ini iaitu Day-1). Sebab itulah aku katakan filem ini seakan hukum karma dari pembalasan dendam alam sekitar kepada manusia! Best kannn?

Kesimpulannya..sila basuh tangan dengan sabun untuk membunuh kuman yek!