Ahad, 16 Oktober 2011

REAL STEEL (2011) ~ heroisme seorang abah?


Salaam..Saya memasuki pawagam untuk menonton filem ini dengan spekulasi "ahhh! filem Transformers versi bajet kecil ajerlah ni!" Maklumlah, trailer dan posternya jelas menjual populariti pasaran filem-filem fiksyen sains robotic yang beraksi dalam dunia manusia. Seingat saya hanya filem A.I. (2001) yang betul-betul saya sukai dari berbagai filem robotic yang lain. Enthiran (2010) filem lakonan Rajinikanth juga saya ingati kerana comical dan cita-cita tinggi sinema Tamil. Namun setelah keluar dari panggung, saya terus men-tweet "REAL STEEL best gilerest! ★★★★" Dalam ertikata lain, kualiti hiburannya setimpal dengan penceritaan serta jalan cerita yang bagus. Ia menggabungkan genre fiksyen sains, sukan dan drama kekeluargaan yang bukanlah kali pertama filem sebegini dibikin di Hollywood, cuma kali ini resepinya berjaya dicampur-gaulkan menjadi hidangan sinema yang lazat! Fikirkan filem Rocky (1976) + Transformers (2007) + Finding Nemo (2003).

Charlie Kenton (Hugh Jackman) ialah seorang bekas peninju yang handal tetapi sudah tenggelam dek populariti sukan tinju yang kini digantikan dengan robot-robot sebagai peninju di masa akan datang. Dia adalah mantan ayam tambatan yang semakin dilupakan tetapi masih menyimpan kemahiran bertinju secara dalamannya. Kini Charlie bukan lagi mengejar kejayaan sebagai seorang juara tetapi hanya memperkudakan sukan itu untuk menyara hidup seharian sebagai seorang pengendali robot yang bertinju untuknya. Namun begitu dia cuma seorang lelaki yang semakin bermasalah dengan hutang-piutang keliling pinggang dari kegagalan setiap perlawanan robotnya yang semakin meruncing - loser!

Agaknya filem ini memang sesuai untuk ditayangkan semasa sambutan Hari Bapa. Kemunculan anak Charlie, Max Kenton (lakonan Dakota Goyo - pelakon kanak-kanak se-cool Edward Furlong - Terminator 2: Judgement Day (1991)) awalnya sekadar 'lombong emas' kepada Charlie kerana dia sangkakan hak penjagaan bapa mampu diperdagangkan kepada Debra dan Marvin untuk pembelian robot terbarunya, Noisy Boy. Dalam ertikata lain, Charlie tidak langsung peduli dengan kehadiran Max sebagai anak kandung dan hak penjagaan sementara itu hanyalah syarat sebelum menyerahkan sepenuhnya Max kepada Debra dan Marvin.

Hubungan renggang dan tegang di antara Charlie-Max inilah elemen dramatik kekeluargaan yang mampu menyentuh perasaan penonton dan menjadi latar cerita yang begitu bagus. Perkembangan plot hubungan kedua-duanya yang sama degil dan sama kental serta sama genius Charlie-Max menjadikan filem ini bukan sekadar kisah perlawanan robot sahaja malahan berjaya lari dari filem melodrama kebiasaan yang menyentuh pertalian bapa-anak. Saya teringat filem Kick-Ass (2010) dan Hanna (2011) dimana perfileman Hollywood dan Europe yang semakin kerap menampilkan perwatakan kanak-kanak yang lebih bersifat matang kerana dorongan 'father figure' bapa masing-masing. Max digambarkan seorang kanak-kanak yang mewarisi ciri-ciri kekuatan semangat Charlie malahan lebih cerdik dan berani mati. Saya sukakan satu babak dimana Max yang gigih menyeret robotnya, Atom lalu mendekati Charlie yang hanya menunggu di tepi jalanraya lantas 'menumbuk-numbuk' bapanya. Babak itu tanpa sebarang dialog menggambarkan pembuktian dari Max bahawa dia seorang anak yang mampu berdikari dan Charlie mesti 'percaya' dengan cita-citanya sekaligus meyakinkan bahawa "saya ni anak awak tau!"

Atom, robot yang menjadi watak tanpa dialog dan bergantung kepada Max dan Charlie untuk survival ialah watak pertengahan kemelut di antara kedua-duanya seperti 'binatang peliharaan' yang mendekatkan lagi kerenggangan dan kehilangan kasih-sayang hubungan Charlie-Max di masa yang lampau. Atom seumpama 'Charlie' hanyalah bekas robot pelatih sahaja yang dianggap tidak lagi dan tidak mungkin berfungsi sebagai pejuang. Bagi Max pula, Atom ialah alat dan harapannya yang mahukan pengiktirafan dari bapanya sendiri. Atom juga menjadi dorongan kepada Charlie untuk melonjakkan semula zaman kegemilangannya dahulu. Secara asasnya, Atom ialah semangat baru untuk Charlie-Max untuk bergerak serentak ke depan sebagai satu kumpulan (keluarga) yang secara tidak sedar akan mengeratkan lagi hubungan mereka. Waktu yang sama, subplot hubungan Charlie dan Bailey Tallet (Evangeline Lilly) juga berkembang dengan kemunculan Max dan Atom.

Dari sudut elemen sukan, dalam babak-babak gelanggang, filem ini berjaya menimbulkan kegemuruhan dan perasaan khalayak seumpama menonton pertandingan tinju/gusti yang sebenar. Ia secara tanpa sedar mengiyakan ketidaklogikan yang sepenuhnya dikaburi oleh teknik CGI dan robotic yang terkawal oleh produksi filem ini. Penonton 'percaya' bahawa perlawanan robot-robot itu seperti bermain games Street Fighter atau 'virtual games' yang dikawal oleh 'video games console'. Setiap peringkat 'tournament' yang dimenangi oleh Atom seumpama games level/stage yang akhirnya akan berdepan dengan Zeus, robot paling kuat! Kelebihan Atom ialah kerana ia adalah robot yang berlawan dengan teknik seperti 'manusia' yang ditekap dari gabungan kepakaran Charlie dan 'upgraded version' oleh Max yang berdepan dengan Zeus, teknologi canggih robot terkini ciptaan Mashido (Karl Yune). Perlawanan terakhir Atom-Zeus seolah menempelak francais filem Transformers yang lebih bersifat mesin semata-mata tanpa elemen 'kemanusiaan'.

Real Steel ialah sebuah filem kekeluargaan yang sangat bagus dalam latar yang sangat mengarut! Huhuhu!..

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

filem nih memang terbaik gila
saya pun suka

Review Filem Real Steel Disini

PerangFilem berkata...

aku tak suka terikut2 pesen anak muda zaman sekarang, tp inilah yg aku nak sebut.. "Terbaikkk!"

SM berkata...

aku cuma nak komen filem transformers je sebab belum tengok lagi filem ni. bagi aku transformers cumalah filem mesin robotik yang cuba memasukkan elemen kemanusiaan dengan cara yang lebih global (penyelamatan umat manusia) tapi semuanya nampak keterlaluan dan bullshit. berapa bintang kau nak bagi kat real steel ni?