Salaam..

Sebuah penceritaan filem yang bagus bagi saya ialah apabila ia mampu menjemput saya ke dalam dunia ceritanya, lalu berjaya menahan saya untuk tinggal sebentar di situ bagi mengenali setiap watak fantasi serta merasai emosi di setiap sudut terang dan gelap kehidupan fiksyennya, kemudian saya keluar meninggalkannya dengan kepuasan..dan Ombak Rindu telah memberikan saya semuanya itu.

Permulaan filem ini bertanya soalan paling asas iaitu sesebuah kebahagiaan sepasang kekasih bermula dari nafsu atau cinta? Ia tentang bermulanya sesebuah perhubungan Adam-Hawa dan mampukah tapak strata paling terkebawah sesebuah masyarakat kebendaan iaitu kemiskinan keluarga bapa saudaranya Pak Taha (Kamarool Yusof) yang menyara Izzah (Maya Karin) untuk menghidupkan kehidupannya di masa akan datang?

Ia kenyataan awal yang sangat ketara bahawa ini ialah cerita dari sebuah novel (karya Fauziah Ashari) yang dipersilakan dengan paparan luas kekampungan nelayan yang kononnya cantik di mata pelancong tetapi hodoh kalau diselidiki dengan dekat-dekat penghuninya. Namun begitu saya pasti bahawa pengakhiran klise sesebuah novel cinta akan berpenghujung dengan kegembiraan maksima. Dalam filem ini, kisah Izzah bermula di sekitar perahu buruk milik Pak Taha dan berakhir di atas bot mewah miliknya dan Haris! Persoalan paling besar dalam minda saya ialah bagaimanakah perjalanan panjang filem ini akan mampu meyakinkan saya bahawa ia sebuah cerita yang betul-betul saya boleh percayai?

Babak Izzah memandikan makciknya Hajar (Delimawati) di pinggir sebuah tempayan ialah antara tandatangan Osman Ali sendiri selaku pengarah dari pembukaan filem Malaikat Di Jendela (2001) dimana Hamidah (Ning Baizura) memandikan suaminya (Soffi Jikan).



Pantai, perkampungan sawah padi/nelayan, layang-layang, kemban dan haiwan pekerja (gajah dalam Ombak Rindu, kerbau dalam Cun!) seakan prop-prop wajib untuk Osman? Saya hanya meneka bahawa seawal filem Bukak Api (2000) arahan beliau memang suka memilih (atau tidak sengaja) mengetengahkan kisah golongan masyarakat bawahan/terpinggir yang seakan cuba menyatakan/memperjuangkan bahawa mereka lebih beruntung (dari segi harta kegembiraan) berbanding harta duniawi golongan atasan/kaya-kaya?

Bayangkan seandainya filem ini ditaja oleh ubat tradisional kacip fatima? Fasa awal pertemuan dan pengalaman Haris (Aaron Aziz) 'bersama' dengan Izzah itu ialah bukti yang paling kukuh keberkesanannya kerana mengakibatkan ketagihan gelodak, gejolak dan gelojohnya nafsu Haris yang jijik? Tetapi ia meneutralkan kehendak seksual itu kepada sesuatu yang lebih baik, malah terbaik untuk Haris bekalkan di akhirat-nya.

Berapa banyak filem dan telefilem yang memaparkan babak 'rogol'? Mangsa selalunya digambarkan hanyalah sisa yang trauma, meratap, kecewa dan memarahi si perogol. Dalam filem ini, situasi Izzah memanglah tidak sekali-kali merelakan tetapi menjurus ke jalan keinsafan dan bertaubat dengan lekasnya mengajak Haris menikahinya secara sah kerana itulah sahaja cadangan yang paling baik (dan bijak) untuk ditiduri secara halal. Kehendak liar Haris mampu dijinakkan dengan cinta, walaupun saya tidak nafikan ia bermula dengan nafsu. Bertepatankah saranan Izzah kepada Haris untuk menjadi 'hamba' yang sah? Ia bukan beberapa pilihan yang tepat tetapi satu-satunya pilihan yang ada untuk Izzah. Cubalah letakkan diri anda di tempat Izzah?

Fasa kedua perhubungan kelamin Haris-Izzah ialah alam perkahwinan yang seakan terpaksa tetapi bila difikirkan kembali, situasi yang serupa juga berlaku dalam alam perkahwinan yang suka sama suka atau pilihan keluarga. Ia adalah asam-garam mengenali pasangan masing-masing yang berkembang matang melalui main tarik tali salah-faham dan konflik rumahtangga yang tipikal. Secara tidak sedar, Haris memahami dan merasai bahawa tarikannya kepada Izzah bukan sekadar nafsu semata-mata tetapi cinta sejati yang berputik dari kejujuran Izzah sebagai seorang isteri mithali (dan ulasan aku ni dah berbunyi macam plot novel kannnn?). Namun ia adalah realiti, anda tanyalah mana-mana pasangan suami-isteri bahawa betapa benarnya kenyataan bahawa setiap hari si suami atau si isteri akan mempelajari perihal 'baru' luar-dalam pasangan masing-masing?

Fasa seterusnya ialah dugaan dalam dunia percintaan atau perkahwinan iaitu orang ke-3 dan perasaan cemburu. Maka muncullah Mila Amylia (Lisa Surihani) yang juga berhak ke atas Haris. Seperti lazimnya sebuah novel, kisah cinta 3-segi ini adalah wajib. Khalayak akan berbelah-bagi untuk memihak kepada Izzah atau Mila kerana kedua-duanya mempunyai kehendak yang sama kepada Haris sebagai suami/kekasih. Tiada siapa yang bersalah atau jahat di antara kedua-duanya. Di pertengahan ialah Haris yang sentiasa dikelilingi keputusannya oleh ibunya sendiri Datuk Sufiah (Azizah Mahzan) yang juga berhak atas status ibu-anak. Bahagia atau derita terpulang kepada Hariz sendiri untuk memilih, memiliki dan merasainya.

Begitu juga harapan Mail (Bront Palarae) kepada Izzah menambahkan lagi zig-zag cinta yang bersegi-segi. Babak Mail menyelam lalu menyerahkan semula jam tangan milik Haris yang tenggelam ialah tanda Mail menyerah kalah kepada cinta sejati Izzah-Haris juga melepaskan apa yang bukan miliknya, merestui dan berkorban untuk orang yang disayangi. Biarlah Izzah di atas perahu (bahagia) walaupun Mail terpaksa berendam dalam air (airmata?). Cinta sejati tidak semestinya bersatu namun kekal sepanjang hari, di dalam hati! fuyooo!!!

Filem ini agaknyalah seakan homage/tribute kepada filem-filem Melayu 80-an dan Hindi yang meleret-leret tetapi berjaya menyerap ke dalam ceritanya. Ia ada menyediakan latar hijau luas kebun perbukitan teh yang sesuai sangat untuk dijadikan lokasi sebuah lagu Hindustan dengan tarian dan muzik yang menyedihkan tetapi ia tidak berlaku kerana lagu temanya sudah memadai diadun berkali-kali. Watak-watak sampingannya, Pak Dollah (Zaidi Omar), Mak Jah (Normah Damanhuri) dan Wafiah (Julia Ziegler) walaupun sekadar muncul sesekali namun wujudnya mereka berjaya menambah simpang-siur cerita yang akan menghuru-hara juga menjadi aras-tanda titik-titik sendi naratifnya untuk kembali ke pangkal jalan menjadi sebuah bulatan penceritaan yang berakhir dengan kesempurnaan sebuah kisah cinta.

melodrama yg aku sukai setelah sekian lama tak menonton penceritaan filem tempatan yg mengasyikkan! ♥ tahniah!
~ twitter.com/ajamiha

Sejujurnya filem Ombak Rindu 'mengasyikkan' bagai melihat air menitik perlahan-lahan ke atas batu hingga ia berlekuk meninggalkan kesan tanpa disedari..begitulah kot! huhu!