ihsan gambar: SINAGANAGA

Salaam..
'ceritanya tak best!' ialah salah satu sajak di dalam buku ini, mukasurat 166 iaitu komen seorang 'kutu' kepada seorang penerbit filem apabila diajukan soalan "apasal lu tak tonton lu punya 'star' berlakon?". Sajak itu ditulis oleh seniman Pyanhabib pada Januari 1993, Kuala Lumpur. Siapakah 'star' itu? siapakah penerbit filem itu? dan apakah filem yang dimaksudkan? Mungkin suatu hari nanti saya akan dapat jawapannya apabila berjumpa dengan abang Pyanhabib sendiri..haha!

Buku ini semacam kronologi kehidupan seorang 'kutu' sejak Disember 1975 sehingga 14 Januari 2011 yang kini saya sanjungi sebagai salah seorang seniman tanah air yang sangat dihormati iaitu Pyanhabib. Membaca setiap mukasurat sajak secara rentetan tahun ia ditulis yang digandingkan bersebelahan mukasurat dengan karikatur atau gambar-gambar nostalgia beliau, seolah-olah mengikuti perjalanan susah-senang hidupnya.

Saya teringat filem Kembara Seniman Jalanan (1986) Pyanhabib sebagai Osman Tikus itu umpama gambaran sebenar kehidupannya sebagai seniman jalanan secara fiksyen. Manakala buku ini pula gambaran dalam pengkisahan sebenar dari sajak-sajak beliau. Pengalaman membaca buku ini secara berterusan hanya satu malam sahaja, mampu menjadi sebuah penceritaan yang agak intim ke dalam diri dan hidup Pyanhabib.

Setiap sajak ialah luahan perasaan peribadi beliau kepada sekitarannya. Sesiapa atau apa saja yang melintas di depan mata atau terlintas di fikirannya dirasai, dijadikan sajak yang kadangkala mudah difahami atau perlu dibaca berkali-kali untuk memahami betapa indah atau gundah cerita di sebaliknya. Setiap sajaknya seawal Disember 1975 ialah rakaman diari harian, pendek atau panjang.

Namun saya cuba meneka bahawa selepas beliau berkahwin 1989, sajak-sajaknya berubah dari yang bersifat luahan kehidupan peribadi yang berbagai-bagai rasa kepada lebih 'gembira' dan persepsinya kepada permasalahan masyarakat (berdasarkan buku ini). Tulisan beliau selepas itu lebih kepada catatan panjang atau cerpen atau sajak yang lebih menyentuh perihal kedewasaan dan kritikan politik serta sosial.

Ada beberapa sajak yang bersiri iaitu catatan sebelum tidur i ii iii yang begitu indah sulaman bahasa dan maknanya manakala semadi i & ii yang begitu pendek tetapi padat isinya. Sajak dan catatan iaitu bapakku seorang YB, hello malaysia apa khabar? mukadimah mandeliar, di gurun pasir, apabila itu tandanya dan surat kepada tuan pee emm ialah antara perubahan ketara dalam penulisan beliau yang menegur secara berlapik dalam nada jenaka tetapi begitu pedas. Di samping itu, beberapa sajak juga menyentuh perihal peribadi beliau dengan Tuhan seperti siri catatan sebelum tidur i ii iii, gua, pengabadian, puisi-puisi luka, doa, kuku jari, sebermula, bilah pilu, kalau ia, direnung maut, bilah-bilah dinihari dan berahi abadi (tudiaa! aku dah senaraikan semuanya!)

Ok..so kalau saya dah beriya gigih mengulas buku ini, maknanya ia sebuah buku yang best giler yer! Sila beli buku ini harganya RM25 di kinokuniya atau mph atau secara online di laman ITBM atau beli terus dari Pyanhabib seperti catatan di blognya:

Sunday, May 13, 2012

Balada Pyanhabib

ASSALAM.

Kepada anda yang berminat membeli buku puisi Balada Pyanhabib terbitan Institiut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), banking RM30 ke akaun Maybank: 1122-0428-0928 (Zurina i/t Ahmad). Setelah banking, sila SMS: 012-9254-527. Sertakan nama penuh dan alamat lengkap untuk kiriman pos. Terima kasih.


Selamat membeli dan membaca!

NOTA: cuma saya tak pasti kenapa sajak SELUAR DALAM tiada dalam buku ini eh?