"KALAU TAHU ERTINYA RINDU, JANGAN LUPA ERTINYA SEKSA"


 

FACEBOOK: RATNA KADHAL
FACEBOOK: REVOLUTION STAGE

RATNA KHADAL ialah sebuah karya/arahan oleh Khairunazwan Rodzy yang dipersembahkan dalam  dwi-bahasa Melayu dan Tamil. Sekali dengar, mungkin teater ini mengingatkan saya kepada filem ESTET (2010) karya/arahan Mamat Khalid. Asas/latar naratifnya mengenai percintaan/konflik sepasang kekasih yang terpisah/terhalang di antara 2 bangsa dan 2 agama mungkin kedengaran klise. Namun begitu, Ratna Kadhal berjaya mempersembahkan dari sudut pandang kisah seumpamanya, tanpa menyentuh sensitiviti 'perbezaan' di antara hero-heroinnya.

Struktur penceritaan Ratna Kadhal dibingkaikan melalui penceritaan semula oleh watak Krisnan lakonan Aloy Paradoks (lakonan terbaik beliau setakat ini dalam teater yang pernah saya tonton) kepada watak Ustazah Nurkamisah lakonan Fazleena Hishamuddin. Melalui watak Ratna lakonan Dynna Zainal, kronologi penceritaannya dibawa ke 2 era dahulu dan sekarang (non-linear) dengan baik. Diselang-seli dengan cerita verbal oleh Krisnan, khalayak mendalami dan memahami apakah konflik-konflik yang telah berlaku.

Secara peribadi, walaupun kisah Ratna seakan menjadi tunjang cerita, tetapi penceritaan oleh Krisnan mengenai 'pencarian' makna seorang isteri kepada seorang suami melengkapkan pemahaman khalayak tentang kisah Ratna. Krisnan mendalami erti kasih-sayang Ratna melalui ilmu yang dicarinya dari buku-buku agama kepunyaan Ustazah Nurkamisah yang dipinjamnya.

Kisah besar imbas kembali kehidupan Ratna sebagai penari, juga adik kepada watak Siva lakonan Azman Hassan diceritakan sebaik mungkin, lengkap dengan dialog dalam bahasa Tamil kedua-dua watak. Sementara itu, watak Nasir lakonan Hariry Jalil yang menjadi dalang/batu api utama kepada watak Lokman lakonan Azrul Azizi dikembangkan secara ironi. Maksud saya, Nasir yang pada mulanya beriya menghasut Lokman untuk memusuhi Siva akhirnya Nasir jugalah yang telah jatuh cinta kepada Ratna.

Ratna Kadhal secara halusnya cuba menyentuh polemik di antara 2 bangsa, tetapi ditangani dengan kronologi penceritaan yang bersebab dan berhati-hati. Malahan teater Ratna Kadhal lebih memberi persepsi untuk 'menyatukan' kedua-duanya ke zon neutral. Babak pergaduhan fizikal memanglah berlaku dalam teater ini namun ia lebih kepada masalah peribadi terpencil di antara Siva-Nasir dimana Ratna tersepit di antara keduanya. Teater ini bukan konflik anti-bangsa sesama mereka tetapi lebih kepada isu salah faham yang cuba dikupas secara jujur untuk memahami apakah 'kemungkinan' ia berlaku?

Watak bapa Lokman (offscreen) yang sebenarnya tidak pernah memusuhi Siva malahan memberi 'pentas' untuk Ratna membuat persembahan tarian. Cuma Lokman jadi pendengki kerana hasutan Nasir, orangnya sendiri. Siva pula bersikap defensif kepada Nasir selepas itu hanya kerana mahu melindungi adiknya sendiri, Ratna. Setelah Nasir sendiri jatuh cinta kepada Ratna yang juga membalas cintanya, barulah Nasir memahami bahawa kasih-sayang mampu mengubah persepsinya selama ini untuk lebih terbuka kepada perbezaan mereka selama ini.

Manakala kronologi babak perkenalan/perbincangan Krisnan-Nurkamisah pula ialah kisah jujur di antara 2 orang manusia yang saling cuba memahami sesama sendiri. Krisnan sedang mencari matlamat dirinya sendiri yang seakan 'kehilangan' arah. Nurkamisah pula yang awalnya cuma eskapisme kepada Krisnan, akhirnya mengerti konflik dalaman Krisnan lalu timbul rasa cinta. Sekali lagi pengulangan hubungan di antara 2 bangsa berlaku. Namun kali ini pertemuan keduanya seakan hubungan yang akan menyimpul semula kisah Ratna-Nasir yang telah terlerai sebelum ini.

Persoalan awal tentang siapakah Krisnan dalam hidup Ratna dijawab dengan kemas dan menusuk perasaan saya semasa babak terakhir teater ini. Di babak itulah, Aloy Paradoks melalui watak Krisnan benar-benar mengejutkan saya dengan penjelasan terakhirnya. Tahniah kepada semua ahli produksi Revolution Stage kerana memberikan suatu persembahan yang kecil tetapi hebat!

NOTA:
Pementasan teater Ratna Kadhal masih berlangsung di Kompleks Kraf, Jalan Conlay - Ahad, 21 Oktober, 3.00 petang dan 8.30 malam.
Info lanjut Ratna Kadhal, sila klik FACEBOOK RATNA KADHAL