Sabtu, 29 Disember 2012

PESONA…TER ARAHAN KHIR RAHMAN: TERBALIKNYA MALAYSIA! oleh Hassan Abd Muthalib



Yang sosial, yang moral, yang politikal. Itulah apa yang perlu dibawa oleh sesebuah filem yang baik. Seperti kata Pi kepada penulis yang mengunjunginya dalam filem Life of Pi arahan Ang Lee: “Ia seakan satu cerminan. Membuatkan kita melihat kepada diri kita sendiri.” Kata Andre Bazin, filasuf filem era 1950-an: “Skrin sinema itu seakan satu jendela, di mana kita mengintip kehidupan orang lain. Yang mencerminkan diri kita sendiri.” Samada kita ini golongan marhaen, kelas pertengahan, golongan ‘aristokrat’ atau pemimpin, kesemua watak, perwatakan dan kerenah dapat dilihat di layar di tangan karyawan filem yang bijaksana lagi jauhari.
                Tuhan sebenarnya sudah pun menetapkan senario sedemikian pada manusia dengan kata-kataNya di dalam al-Qur’an: “Aku menjadikan engkau serta perbuatan engkau.” Sri Rama tidak akan menjadi manusia yang jahat. Rawana tidak akan menjadi seorang yang baik. Siti Dewi tetap akan setia pada Sri Rama. Tuhan sudah pun meletakkan segala peraturan bagi alam dan penghuninya dan mereka mesti akur kepadanya. Manusia-manusia Khir Rahman dalam Pesona…Ter semuanya ada peranan masing-masing. Cerita berkisar pada kumpulan kompang  di sebuah kampong. Kesemua yang terlibat mempunyai pendapat masing-masing. Hanya pasal kompang! Ya, hanya pasal kompang! Perlu disebutkan lagi: Hanya pasal kompang! Betapa sedihnya keadaan orang-orang Melayu ini. Seperti kata-kata dalam bahasa penjajah: ‘The writing on the wall is clear.’ Hanya mereka tidak terlihatnya
Ada yang di antara mereka menyamar sebagai seorang yang memimpin kumpulan dengan meletakkan tangan di bahu (‘Aku tolong engkau, engkau tolong aku’). Ada yang mengajak supaya bertindak secara berhemah dan dengan “diplomasi.” Ada yang filosofik (menerima keadaan buruk yang sudah melanda). Ada yang hanya menjadi perakam peristiwa. Ada pula yang bertindak ganas sehingga tindakannya membawa kepada kecelakaan. Setiap watak seakan menurut sebuah skrip. Dan hanya pasal kompang! Kompang yang menjadi salah satu elemen yang begitu integral di dalam budaya Melayu. Yang tidak memerlukan minda yang hebat untuk menguasai ilmu untuk memalukannya (mungkin juga program Maharaja Lawak menjadi rujukan Khir! Mungkin!).
               Lihatlah latar manusia dan isu kompang mereka – tepian sungai yang lapok yang sudah ketinggalan zaman. Inikah keadaan manusia Melayu di alaf baru? Dan yang menyanyi dan menggoyangkan jari dengan ‘menjanjikan’ sesuatu di akhir cerita adalah badut-badut yang menjadi pemandu masyarakat mereka! Inilah senario sosial, moral dan politik masakini. Ianya juga senario sinema Malaysia yang bernafas seperti seekor ikan haruan di atas darat.
               Dan Khir Rahman, Sang Penglipur Lara, menyampaikan kisah ini dengan hanya menggunakan kompang. Inilah benda yang manusia-manusia di dalam Pesona…Ter sudah ‘Terpesona’! Tanpa sedar tentang penipuan yang dibuat oleh badut-badut yang menyamar, yang menyeleweng, yang menentukan apa yang patut dilihat, didengar, dijadikan pegangan, difikir dan diikuti.
               Karyawan-karyawan muda seperti Khir Rahman dan Jasmina Ibrahim tidak mudah dikelentong!

Filem pendek Pesona…Ter arahan Khir Rahman ditayangkan di Urban Village, Bangsar malam tadi. Skrip oleh Jasmina Ibrahim & Khir Rahman.

Tiada ulasan: