Filem apa genre sekali pun yang dibikin pasti ada sesuatu yang hendak diceritakan. Bermula dengan mungkin sekecil-kecil idea di benak seorang penulis skrip atau seseorang yang akan menceritakannya kepada seorang penulis skrip, maka akhirnya akan terhasillah sebuah filem. Kebanyakan filem hanya 'memberi' secara terus sehala - apa yang dipapar dan diperdengarkan, itulah juga yang dilihat dan didengari oleh si penonton. Reaksi umum filem-filem sebegitu cuma seronok atau tidak ceritanya selepas habis ditonton, mungkin mudah dilupakan.

Kemudian, akan ada sesekali filem yang 'memberi dan menerima' secara dua hala - apa yang dipapar dan diperdengarkan, menerima reaksi dan tafsiran yang berbagai tentang apa yang dilihat dan didengari oleh si penonton. Saya menggelar ia sejenis filem 'blind men and an elephant' iaitu cerita yang mampu menimbulkan polemik di kalangan orang yang sudah atau belum menontonnya. Malahan mungkin mencetus pemahaman cerita yang langsung tidak terfikir dan tidak dijangka oleh si penulis skrip dan pengarah filemnya. Itulah magis filem-filem sebegitu yang kadangkala menimbulkan persoalan benar atau salah, betul atau bohong? Oh! Filem macam itu juga tidak menjanjikan untung atau rugi, suka atau benci kepadanya.

Lelaki Harapan Dunia arahan dan skrip oleh Liew Seng Tat pada pendapat saya ialah sebuah filem yang sangat mudah difahami penceritaannnya secara kasar tetapi dikatakan mengandungi banyak 'unmensi' perihal masyarakat secara halus. Benarkah? Anda kena tonton sendirilah di pawagam berdekatan rumah anda untuk mendapat jawapan! Hagitu!

ULASAN SETERUSNYA MUNGKIN MENGANDUNGI 'SPOILER'

Filem ini sebenarnya mengenai persaingan projek dan berbagai syarikat! Saya rasalah..haha!

Asas ceritanya mengenai Pak Awang (lakonan hebat Wan Hanafi Su) yang hendak memindahkan sebuah rumah buruk dari dalam hutan ke kawasan perkampungannya dengan bantuan gotong-royong orang kampung untuk dijadikan hadiah perkahwinan anak perempuannya. Projek kitar semula yang kedengaran bagus dan menjimatkan belanja Pak Awang tetapi merepek kerana awal-awal lagi sudah diberi petanda bahawa rumah itu sudah terlalu usang dengan lantai yang mudah pecah bila dipijak. Tetapi Pak Awang beriya-iya mahu melakukan program 'angkat rumah' itu kerana semua orang kampung masih waras membantu kerana menghormatinya sebagai salah seorang warga emas di kampung itu. Bila difikirkan semula, misi itu ialah untuk kepentingan peribadi Pak Awang sdn bhd sahaja.

Di waktu yang sama, ada satu lagi projek mega yang berlangsung serentak untuk manfaat seluruh penduduk kampung iaitu program korban unta yang didermakan oleh Encik Juta Seri (Othman Hafsham). Sudah tentu ia didahulukan oleh Tok Penghulu (Roslan Salleh) berbanding projek Pak Awang. Lagi pun projek unta lebih menguntungkan kepada pihak yang menguruskan dan dagingnya pasti dibahagikan kepada semua orang kampung. Kalau saya jadi Tok Penghulu pun saya akan utamakan projek unta.

Dalam mana-mana persaingan kontrak projek pasti akan ada yang menang dan kalah. Pasti ada yang cuba mengambil kesempatan. Dalam filem ini, watak Wan (Soffi Jikan) yang asalnya dipinggirkan dalam projek unta dipaparkan babak dihalau dari majlis penyerahan unta, Wan cuba pula buat-buat membantu dalam projek 'angkat rumah' Pak Awang yang sebenarnya menjadi parasit kerana menggunakan rumah itu sebagai sarang barunya untuk menghisap dadah.

Tanpa disedari, Wan juga akhirnya berjaya meraih kepercayaan orang kampung dari cerita 'orang minyak' yang kononnya dia nampak. Dari situ, Wan sdn bhd walaupun secara tektik kotor berjaya kembali diterima sebagai sebahagian syarikat penting kepada projek mega unta. Bukan itu sahaja, Wan menjadi sumber maklumat yang sahih kepada seluruh kampung! Nampak?

Campur tangan Wan tidak berakhir di situ, malahan membuka peluang kepada orang lain untuk turut serta meraih keuntungan iaitu Tok Bomoh (Hishamuddin Rais) untuk menjual tangkal dengan harga diskaun kepada semua penduduk kampung. Tok Bomoh sdn bhd ialah umpama syarikat 'penasihat' R&D yang dipercayai dianggap berkaliber dalam bidang menghalau hantu-hanti.   

Di samping itu, berbagai syarikat lain yang sedia ada tetap beroperasi seiring dengan projek mega unta. Tok Bilal (Jalil Hamid) ialah umpama syarikat jujur dan selalu bersangka baik yang tidak pedulikan (buta) kepada penipuan Solomon (Khalid Mboyelwa Hussein) umpama pelabur luar negara yang meraih keuntungan tanpa disedari. Tok Bilal cuba menjadi orang tengah di antara Pak Awang dan Tok Penghulu tetapi gagal kerana sudah tentu keputusan pihak pengurusan kampung lebih diutamakan.

Cina (Azhan Rani) pula ialah syarikat kecil yang baru hendak naik tetapi sentiasa menyalahkan benda lain dan merengek meminta bantuan walaupun mempunyai kepakaran sendiri untuk maju - babak teori mata sepet siap dengan gambarajah ya! Manakala, anak Tok Penghulu (Rykal Iskandar) ialah seumpama anak syarikat yang merasakan bahawa projek mega unta tidak perlu diteruskan kerana merasakan bahawa ia akan merugikan pembaziran aset (unta) yang perlu dilepaskan untuk pengembangan projek lain (unta beranak-pinak secara semulajadi).

Habis? Bagaimana pula dengan babak-babak orang kampung yang menyamar sebagai 'wanita' untuk mengelirukan 'orang minyak', apa penerangannya? Bagi saya, untuk bersaing dengan syarikat yang kita tidak pasti kuat atau lemahnya mereka (orang minyak) kita mesti mencuba 'go beyond' kreativiti untuk berdaya saing sambil berjaga-jaga.       

Nota serius: Filem ini mempunyai nilai produksi yang sangat bagus dimana suntingan, paparan visual dan runut bunyi yang sangat berkualiti tinggi dan terjaga. Misalnya babak-babak malam yang sangat terkawal pencahayaan walaupun dalam suasana seakan gelap semulajadi.

Mungkin Lelaki Harapan Dunia sejenis filem 'blind men and an elephant' dan ulasan filem ini ialah 'gajah' yang saya rasa. Entah betul, entah tidak. Sudah tentu anda mempunyai penerangan 'gajah' versi lain. Seperti pengakhiran watak Pak Awang dimana dia sendiri menyamar sebagai 'orang minyak' untuk meyakinkan atau 'make-believe' kepada orang kampung yang mahu percaya ia wujud, saya juga harap ulasan ini 'make-believe' kepada anda yang habis membacanya! Terima kasih.     

*SAYA BERIKAN 4 BIJI ROTIKAYA!!!