Salam Sejahtera Appoy,

Aku sudah menonton sebuah filem bertajuk JAGAT yang menceritakan kisah hidup kau di tahun 1991 dahulu. Secara kiraan kasar, tahun ini 2015 umur kau sudah menjangkau 36 tahun. Kau apa khabar bro?

Kau nak tahu?

"Cantiknya! Cantiknya! Cantiknya!"

Berulang-kali aku berbisik kepada diri sendiri di sepanjang tontonan filem itu. Ya! Memang cantik-cantik gambaran latar lokasi yang dipaparkan. Namun sesudah habis tayangan, aku akur bahawa kisah watak-watak yang menghuni kecantikan kulit dunia hidup kau, keluarga kau dan orang-orang sekeliling kau, begitu kontras sarat dengan konflik dalaman masing-masing. Itulah magis sebuah filem yang bagus karya Shanjhey Kumar Perumal itu. Aku sangat salut pada dia sebab berjaya bercerita dan menekap latar kehidupan kau dahulu.

Aku dapat rasa kepedihan perasaan kau masa kecil waktu itu, bila ayah kau tak pernah nak faham kehendak dan minat kau pada seni. Masa babak-babak awal, bila orang-ramai berarak menyambut Thaipusam yang lalu di depan rumah kau, aku nampak kau menjenguk riang dari dalam di pagar pintu. Masa itu aku dapat rasakan tubuh kau seolah-olah terpenjara tetapi jiwa kau bebas dan bibir kau masih tersenyum gembira melihat pesta di luar. Aku teka itulah antara petanda bahawa filem itu akan membawa aku untuk memahami lebih dalam mengenai kehidupan kau yang terpencil dan terhad setiap hari.

Aku pun rasa sesak nafas bersama kau bila kau tekup kepala kau dengan plastik. Ya! Macam rasa tak adil sangat dunia ini kan? Kita dah penat-penat berusaha sendiri berdikari untuk jadi diri kita sendiri, tetapi orang tak faham. Hey! Baju rekaan kau tu memang cantik bro! Begitu juga dengan lukisan kau. Macam mana pun, bila kita dah sama-sama dewasa baru kita faham kenapa ayah kita macam itu reaksi dia.

Kau dah berkahwin bro? Kalau sudah, mesti kau sudah mula mengerti bagaimana rasanya sebagai seorang ayah yang sebenarnya dia sangat sayangkan kau. Dia mahu hidup kita lebih baik dari dia. Pada pandangan dia, untuk berjaya dalam hidup kita mesti berjaya dahulu dalam pelajaran. Memang betul pun kan? Ya! Pelajaran. Aku yakin kau memang seorang budak yang sangat cerdik dan kreatif. Aku rasa puas hati bila kau lepas geram pada Cikgu bila kau buktikan bahawa kau boleh hafal sampai sifir 19! Tetapi memang boleh tahan juga kau menyakat Cikgu bila kau kenakan dia satu kampung itu. Haha!

Lagi satu, serius bro aku kasihan pada kau kerana selalu berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Bukan! Bukan! Aku tak maksudkan pakcik-pakcik kau yang bersalah, atau ayah kau juga bersalah? Dalam usia dewasa sekarang, bila kau fikir balik, mereka semua tidak bersalah apa-apa pun pada kau. Mereka juga terdesak dan terperangkap dalam konflik mereka waktu itu. Masalah mereka lebih besar dari masalah kau. Mereka sudah mencuba sedaya-upaya untuk menaik taraf hidup mereka atau mahu mengubah nasib hidup mereka. Tetapi waktu itu, memang susah serba-serbinya. Tekanan keperluan untuk memenuhi kehendak materialistik keduniaan untuk kehidupan seharian yang lebih baik, hari demi hari, menyebabkan mereka bertindak dan melakukan apa yang mereka rasakan patut dilakukan waktu itu. Kau perasan tak? Semua orang sayangkan dan mahu melindungi kau dengan cara mereka tersendiri.   

Eh! Sorry bro! Aku dah melalut macam berfalsafah pasal kehidupan pulak!

Oklah. Aku rasa cukup sampai di sini sahaja. Nanti kalau aku ada masa terluang, aku akan menonton sekali lagi dan lagi filem JAGAT untuk melihat dan mendengar apa-apa lagi yang aku mungkin tertinggal mengenai hidup kau dalam filem itu.

Akhir kata, aku harap hidup kau sekarang lebih bahagia dari dahulu. Kalau kau sudi, kau balaslah surat aku ini kerana aku hendak tahu juga apa yang berlaku pada kau selepas lepak di kawasan sampah itu?

Jaga diri bro. Sekian.

Ajami Hashim.