Skip to main content

Asal bertemu urat, daging bertemu jasad!

Siang tadi 25 Januari 2020 - hari terakhir penggambaran Talbis Iblis. Berikut alkisah asal-usulnya datang dari mana? 

1. Tahun 2016 - Idea mula-mula cerita ni berpunca dari perbualan aku dengan senior manager yang sedang hamil anak sulung beliau. Aku cakap nak buat proposal deck, genre seram pasal 'gadis mengandung' kiranya tribute aku kepada beliau. Masa tu tak ada pun apa-apa cerita lagi - baru ada 1 watak sahaja.

2. Malam tu, aku pun duduklah mengelamun memandang skrin laptop yang kosong.. dan bermulalah sesi 'bersoal-jawab' aku dan diri aku sendiri gitu. Jika ada watak 'gadis mengandung' mestilah ada kisah pasal anaknya. Aku teringat berita-berita menyedihkan mengenai kes pembuangan bayi. Aku cuba berfikir, apakah konflik di sebalik punca gadis-gadis malang itu bertindak seteruk itu? Dari situlah kisah asas seorang 'gadis bunting' anak luar nikah yang berniat membuang bayinya selepas dilahirkan, tapi aku nak dia sedar last sekali bahawa zuriatnya adalah anugerah paling berharga dari Tuhan.

3. Bila ada ibu dan anak, cerita tu dah boleh berlegar dalam dunia keluarganya sebagai 'domestic horror' (horror that comes from within the family). Tapi apa punca seorang ibu nak buang bayi dia? Aku undur ke belakang keturunan dia iaitu ibu kepada si 'gadis hamil' dimana setiap kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang ibu adalah 'doa' yang tiada hijabnya. Jadi sekiranya seorang ibu asyik 'menyumpah-seranah' dan bencikan anak sendiri, kemungkinan masa depan anaknya itu akan membesar menjadi seorang manusia yang 'disumpah' hidupnya jadi buruk? Itulah backstory 'gadis mengandung' itu - puncanya dari hierarki di atasnya. Balik kepada point nombor 2 - 'gadis bunting' itu kena berhentikan pengulangan 'kebencian' kepada keturunan dia. Dia kena kontras dengan apa yang ibunya pernah buat pada dia iaitu betulkan balik - dia mesti sayangkan anak dia. 

4. Ok. Aku dah ada gadis itu sebagai protagonist, tapi siapa pula antagonist? What if lawan kepada 'gadis mengandung' ialah seorang lagi watak 'wanita pernah mengandung' yang lebih teruk kisahnya? So secara asasnya ia mengenai cerita 2 orang perempuan yang berebutkan 'kuasa' sebagai seorang ibu. 

5. Aku teringat 3 filem slasher/seram yang aku suka iaitu Rumah Dara dan À l'intérieur (perempuan vs perempuan) serta Rosemary's Baby (perempuan vs pengikut kultus iblis). Ketiga-tiga filem pasal keberanian bermati-matian seorang wanita untuk mempertahankan diri dan haknya, selepas melalui fasa yang sangat susah di pertengahan cerita. Wow!

6. Dari inspirasi ketiga-tiga filem itu, aku mula mengembangkan what if ia kisah mengenai 'seorang gadis disahkan hamil anak luar nikah kerana salahnya sendiri sebagai individu yang kurang berakhlak' dan kerana ibunya sangat marah dan menyalahkan dia sebab dari dulu tidak menyukai perangainya (mungkin membencinya). Sudah tentu ibunya menyuruh untuk bernikah dengan lelaki yang bertanggungjawab membuntingkannya secepat mungkin sebelum diketahui orang bila kiraan bulan dia melahirkan nanti 'kurang' 9 bulan. Tapi kerana gadis itu memang liar dan ditiduri oleh ramai lelaki, siapakah ayah bayi itu sebenarnya? Satu cara sahaja - cari 'pak sanggup berbayar' di antara bekas-bekas kekasih gadis itu untuk menjadi 'suami kontrak bersyarat'. Maka untuk menutup aib keluarga, ibunya mencadangkan (mungkin memaksa) dia bersalin jauh di luar bandar yang orang tak tahu.    
      
7. Kesian dia. Wataknya bermula dengan 'kotor' hingga merasakan dia memang tidak layak untuk menjadi seorang ibu. Jadi beberapa bulan fasa awal dia mengandung, dia cuba 'menggugurkan' kandungannya dengan melanggar berbagai 'pantang-larang' semasa hamil - tapi nak jadi cerita, bayinya masih hidup sihat-walafiat. Maka tercetuslah tajuk cadangan 'Pantang' yang bunyinya macam 'heavy drama' kan, bukan filem seram? haha..   

8. Kemudian, aku mula mengembangkan watak antagonist seorang lagi 'wanita yang pernah mengandung' tapi anaknya mati semasa dilahirkan. Sekiranya mereka dipertembungkan - seorang nak 'buang' dan seorang lagi nak ‘ambil' - nampak dah selesai masalah kan? Tapi apakata kalau antagonist ialah seorang ibu yang ekstrem 'nak hidupkan balik' anak dia tu? Dia nak buat apa dengan bayi yang gadis tu akan lahirkan nanti? Dan sekiranya gadis itu membatalkan niat untuk membuang dan nak besarkan anak dia - maka akan meletuslah konflik perebutan anak yang maha dahsyat di antara 2 orang 'ibu'.. dan what if di antara mereka ada benda ke-3 iaitu 'entiti kuasa gelap yang jahat ya amat' juga mahukan bayi itu? Ok sekarang baru cerita ni mula masuk ke fasa filem seram! 

BERSAMBUNG.. 

Nota gambar di atas: Babak 53 antara benda aku 'pecah kepala' nak tulis mantera ni. Kebiasaan ukuran liang digunakan di negara kita adalah 3 x 7 kaki. So.. kalau aku nak 'hidupkan' balik anak, kena seru dari dalam kubur merangkak naik ke atas.. ok done!

Comments