Khamis, 12 Ogos 2010

GENG SURAU ~ kisah 'Mayat' kembali ke pangkal jalan?


Salaam..

Pertama kali saya mendengar tajuk Geng Surau ini saya teringat Geng Bas Sekolah di Astro Ceria? Secara asasnya, siritv ini mengisahkan tentang watak Mayat/Razif (Beto Kusyairy) seorang budak setan yang kini menjadi lagenda (Lagenda Budak Setan?) yang pulang ke kampungnya semula setelah 3 tahun di pusat pemulihan akhlak. Diantara kejahatan (kenakalan) paling kejamnya iaitu meletupkan seekor kambing! kepunyaan Abang Abu salah seorang jiran yang juga penjaga surau di kampung itu (baca: Mayat pernah berwatak seakan pengganas?) Itu belum lagi termasuk beberapa aktiviti 'jahat'nya yang lain kepada orang kampung yang kini menghantui mereka sampai bila-bila. Sekali fikir watak anti-hero Razif sewajarnya ditakuti dan mungkin ironi untuk diangkat bagi sebuah siritv yang bertemakan keagamaan bertajuk Geng Surau? Mungkin ia berbunyi gelap ala-ala filem Castello atau Budak Kelantan?




Namun begitu setelah menonton episod pilot dan ke-2 siri ini saya merasakan bahawa siritv ini lebih 'alim' dari drama atau filem yang mengajak kepada kebaikan secara didaktik dan serius. Ia sebenarnya berat tetapi diberikan suntikan dark-comedy yang lebih ikhlas dan terbuka kepada khalayak untuk mencari 'kebaikan'nya tanpa disedari. Malahan rasanya kalau pergi ke pelusuk kampung manapun sudah tentu ada cerita atau watak 'budak setan' seperti Mayat/Razif masing-masing. Seandainya siritv ini diceritakan dalam keseriusan yang klise, pasti ia seperti kebanyakan drama yang sediada.




Siritv ini mengangkat persoalan kepada khalayak mengenai erti 'peluang ke-2' kepada orang lain yang pernah membuat kesilapan serta kisah orang kampung yang fobia kepada bayang-bayang sendiri. Ia membongkar sifat prejudis, politik kampung, erti persahabatan, percintaan sejati dan makna sebenar seorang 'stalker cinta' eh? melalui watak Uddy (Intan Nur Saina). Antara plotnya mungkin memang biasa sahaja masih berlegar tentang perebutan kekasih hati cinta 3-segi: Razif-Azreen-Lokman (Beto Kusyairy, Anita Baharom, Amran Ismail) tetapi diselitkan dengan kisah sinis kekalutan masyarakat secara bersahaja. Bagaimanapun watak Abang Abu lakonan Azhan Rani sangat menonjol untuk diikuti di awal cerita. Yalah! watak-watak lain juga perlu ditonton sehingga tamat siritv ini untuk melihat perkembangan watak mereka!




Geng Surau sedang ditayangkan di saluran Astro Oasis (saluran 106) mulai 10 Ogos 2010 yang lalu, setiap Selasa-Sabtu, 7.30 petang, ulangannnya 9.30 malam dan 4.30 pagi.

INFO PRODUKSI:
Produksi: PENA CREATIVE PICTURES & KL MOTION PICTURE (usahasama)
Penerbit: Puan Hajjah Ziela Jalil
Pengarah: Wan Hasliza Wan Zainuddin


PROMO


OPENING MONTAGE


CLOSING CREDIT


*ARTIKEL INI JUGA ADA DI MEOW.MY :)

Ahad, 8 Ogos 2010

120 MALAY MOVIES ~ buku terbaik Amir Muhammad?




Amir Muhammad semakin dikenali ramai apabila filem-filem dokumentari arahannya yang berjudul Lelaki Komunis Terakhir (2006) dan Apa Khabar Orang Kampung (2007) diharamkan untuk tontonan awam di pawagam Malaysia. Walhal sebelum itu beliau sudah lama berkecimpung dalam pembikinan filem-filem alternatif (juga digelar filem indie) sejak tahun 2000.




Beliau juga berkolaborasi dengan Naeim Ghalili menghasilkan filem arus perdana berjudul Susuk (2008) yang mempopularkan lagi nama dan karya beliau. Pada tahun 2007, beliau menubuhkan syarikat penerbitan buku Matahari Books untuk menerbitkan buku-buku bukan-fiksyen dan berkaitan filem. Sehingga kini beliau telah berjaya menerbitkan berbagai judul dan tema buku samada tulisan beliau sendiri atau penulis-penulis yang sesuai dengan halatuju syarikat penerbitan tersebut.




Terkini, beliau telah menulis dan menerbitkan buku 120 MALAY MOVIES ini ialah buku koleksi ulasan ringkas, padat, seksi, sinis, humor juga kadangkala serius tentang filem-filem Melayu yang beliau tonton secara kronologi mengikut tahun penerbitannya sejak 1948 hingga 1972 melalui vcd serta mengikut ‘kegemaran’ beliau sahaja. Saya berpeluang membeli sebuah buku tersebut di majlis pelancarannya di The Annexe Gallery, Central Market pada hari Jumaat, 6 Ogos 2010 yang lalu.



Di mukasurat 13 dan 14 buku ini beliau menulis:

“Why 120? Well, it’s my sarcastic way of saying that watching so many Malay movies in a row would be akin to one of the tortures in the Marquis de Sade book ‘120 Days of Sodom’. Luckily, I was proven wrong. Many of these films were so fun that it was with some reluctance that I emerged from the experience of being submerged in them. Even the ones that weren’t so great were often ‘interesting’ in some way or other. Perhaps I could have extended the book to 150 or even 160 titles. But then, what would the divide Marquis say?”

Hey! Berbunyi menarik bukan? Sebenarnya saya masih belum lagi habis membaca keseluruhan isi kandungan buku ini. Mungkin saya akan mengulasnya lebih lanjut lagi di masa akan datang. Walaubagaimanapun, dengan hanya menyelak dan membacanya secara rawak, ia memang sebuah buku yang bagus dan ‘menghiburkan’ untuk dibaca!


INFO BUKU:
Kulit keras: 432 mukasurat
Penerbit: Matahari Books; edisi pertama
Bahasa: Inggeris
ISBN-13: 978-9834484545
Harga: RM60 (termasuk harga kiriman pos berdaftar)

NOTA: Buku ini TIDAK dijual di kedai-kedai buku tempatan untuk edisi pertamanya sehingga diberitahu kelak oleh Matahari Books sendiri. Anda boleh membeli secara pembelian peribadi terus kepada Amir Muhammad seperti info di bawah:

1. masukkan bayaran RM60 ke akaun Maybank 014105120512 (Amir Muhammad)
2. email-kan butiran alamat penghantaran dan permintaan autograf (sekiranya mahu) kepada info@mataharibooks.com
3. atau anda boleh membelinya terus di sesi pembacaan bersama beliau di kedai buku Silverfish Books, 58-1 Jalan Telawi, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur pada Sabtu, 21 Ogos 2010, 5.00-6.30 petang

NOTA: artikel ini juga boleh dibaca @ MEOW.MY hehe..