rebiu@awani

Artikel Terkini

Selasa, Januari 3

RELATIONSHIP STATUS (2012) ~ warga digital jaringan sosial?


Di ruang Basic Info laman sosial facebook selain Birthday, Sex, Religious Views dan Political Views; Relationship Status ialah identiti empunya akaun rakan-rakan dan keluarga yang wajib diambiltahu setiap saat setiap kali penggunanya log in. Filem ini cuba mengamati status yang tertera itu dari dalam dunia alam siber ke luar dunia nyata. Ia tidak pergi lebih jauh misalnya kesan facebook kepada dunia politik, agama, isu masyarakat atau ledakan informasi berguna (atau tak berguna).

Filem Relationship Status cuma bercerita tentang hubungan kelamin dan/atau kekeluargaan yang berlegar di kalangan warga digital jaringan sosial masakini yang berpunca dari facebook. Dalam ertikata mudah filem ini ialah pasal permasalahan dan/atau penyelesaian seksualiti moden masyarakat urban. Mungkin seabad yang lalu perkenalan, berkasih-kasihan, pertunangan, pernikahan, perkahwinan juga perceraian hanya dalam cakap-cakap mulut di kalangan orang yang terdekat, namun kini ia semudah tagging gambar/events/groups/pages dan status update "What's on your mind?" di facebook. Filem ini saya sarankan kepada pelajar yang mengambil subjek Sains Sosial untuk menontonnya sebagai kajian asas walaupun mungkin ia sekadar fiksyen dan mimikan realiti sahaja.

Struktur penceritaan filem ini secara ensemble seperti juga filem Love Actually (2003) dan Cinta (2006) tetapi ia tidak berpecah-pecah mengikut giliran seperti Berbagi Suami (2006). Ia berlegar dan berpusing serta berkaitan langsung dengan setiap watak. Titik mula filem ini berpusat di pejabat penerbitan milik Selina (Susan Lankester) dimana Dave (Gavin Yap) ditugaskan untuk menulis artikel sulungnya berkaitan dengan social networking di Malaysia. Seterusnya naratif filem ini berkembang melalui kronologi kisah-kisah hubungan (dan flashback) orang-orang di sekeliling Dave yang dipaparkan seolah-olah kajiannya untuk isikandung artikel itu. Walaupun saya merasakan bahawa kaitan kesemua watak seakan sangat-sangat 'kebetulan' tetapi ia masih boleh diikuti kerana lakonan bagus setiap pelakonnya (yelah! aku punya ulasan macam klise sangat kan? tapi betul hokeh!)

Terus-terang untuk sebahagian besar durasi awal filem ini, saya rasakan ia agak klise dan nampak amatur (dan macam nak bosan hahaha!) tetapi lama-kelamaan ia perlahan-lahan menjadi masuk akal kenapa dibikin sebegitu. Maksud saya, mungkin dengan cara suntingannya yang hanya intercut babak-babak ber-FB, perbualan telefon bimbit dan flashback yang menyumbat semua exposition untuk memperkenalkan isu pokok hubungan masing-masing; percintaan, break off, rumahtangga, cerai-berai dan kematian. Maka apabila fasa cerita di pertengahan mula menghurai dan mencari resolusinya ke penghujung, ia semakin menyeronokkan.

Produksi kecil (aku lebih suka sebut kecil dari sebut indie) filem ini telah mencuba sedaya-upaya dan sebaik-baiknya untuk membikin karya filem yang ditulis, diarahkan dan disunting sendiri oleh Khairil M. Bahar (aku akan tunggu filem-filem seterusnya dari dia!) Saya rasakan ia sudah cukup besar dan bagus untuk diberikan tahniah. Filem ini tidak menuntut kemestian nilai komersial yang mesti pecah panggung tetapi ia berdikari sendiri dan tak mustahil menjadi rujukan di masa akan datang untuk filem-filem tempatan yang mengambil latar social network sebagai idea asasnya. Mungkin telefilem tempatan juga sudah ada naratif berkaitan facebook (ada ker?) seperti juga filem Klip 3GP (2011) tahun lepas tetapi menyorot kesan teknologi/thriller dari internet. Filem ini ialah dramanya khusus kepada facebook. Muzik latarnya pun sedap-sedap tau! Sejujurnya saya menyukai filem ini. Kau tontonlah sendiri mulai 5 Jan 2012 di pawagam digital TGV yang terhad yer! Kau sebarkanlah dalam facebook/twitter/myspace/friendster/tumblr/hi5 dan mface! hah!

Ringkasnya, filem arahan menceritakan post-FB yg mula mempengaruhi pola hubungan dlm masyarakat urban? ~ @ajamiha



*ulasan2 lain:
tontonfilem
dramaticdurian
baca lagi...

Selasa, Disember 27

KASINO oleh Saifullizan Tahir ~ hari-hari pu**ek seorang antihero



SINOPSIS: FACEBOOK

ms.268

Setiap perbuatan, setiap pergerakan bagai simbol kepada sesuatu yang lain. Sesuatu yang suci dan keramat tetapi tidak berapa difahami. Ikut saja, kau akan bahagia, dunia akhirat. Amin.

Novel ini ialah political satire. Ceritanya tentang 14 hari mengekori diari kehidupan Dato' Mohd Narcissus Yussof. Macam program tv realiti dengan lensa-lensa kamera dan perakam bunyi memaparkan kesemua sudut 360 darjah luar-dalam kisah tertekan (dan nikmat) hidupnya beliau untuk mengumpul RM3.8 juta supaya dipulangkan semula kepada empunyanya, MB negeri Tualang. Dia ialah antihero yang melakukan setiap apa yang mungkin tidak elok kepada diri pembaca tetapi benar-benar menyeronokkan sebenarnya. Malahan begitu gentleman dan macho?

Narcissus seperti mitologi Greek begitu taksub dengan kemuliaan diri sendiri yang saya rasakan sememangnya berhak untuk melabelkan dirinya sendiri sebagai hampir-hampir sempurna secara berdikari. Walaupun selalunya orang sekeliling sering juga mengambil kesempatan kepadanya, namun dia tetap sebagai dominan yang menguasai setiap permainan kehidupan sehariannya. Datin X, isterinya (ntah aku lupa samada ada ditulis namanya atau tidak) memang watak tempelan yang tidak penting lagi seperti juga hubungan kelamin mereka. Tetapi watak-watak Dolly, Salmah dan Mageedah ialah warna-warni sensual yang masih terlekat dalam bayangan pembaca selepas habis dibaca.

Kalaulah ada info/wikipedia hidup orang kaya-raya yang hendak dipelajari dari novel ini ialah jenama-jenama alkohol dan permainan baccarat yang mengasyikkan walaupun kita sedar insaf ia harammm! Tidak! Saya tidak mengatakan novel ini 'mengajar' sesuatu yang tidak baik tetapi ia seperti juga menonton filem-filem perjudian Hollywood tetapi dalam versi 1Malaysia gitu! (baca: pulp fiction FIXI berjaya dalam novel ini!) Ia sebuah novel yang mencabar pemikiran dan pemberitahuan perihal yang mungkin kita tak mahu ambil tahu tetapi begitu menghiburkan bila mengetahuinya. Saya sesekali berhenti bacaan semata-mata hendak meng-google fakta-fakta yang disumbat dalam penceritaan novel ini untuk lebih mengetahui lebih dalam yer!

Yang paling mengujakan sekali ialah kisah-kisah dalam kain dunia politik yang ditelanjangkan begitu terperinci seolah-olah ia merujuk kepada apa yang telah, sedang dan akan berlaku di negeri kita..maksud saya negeri Tualang! huhuhu! Hey! Semua itu fiksyen! Sudah tentu dunia politik sebenar di mana-mana negara tidaklah 'sekeji' itu kan? kan? kan?

Kemampuan Saifullizan Tahir bercerita dalam versi 1st person point of view (pov) - 'Aku' ialah Narcissus memang berjaya dan tidak membosankan. Walaupun naratifnya bergerak secara linear tetapi sesekali flashback yang dituliskan sambil lalu cukup memadai untuk menghurai exposition setiap watak baru yang dijumpainya serta subplot-subplot selain pengejaran masa mengumpul duit RM3.8 juta itu. Penulis begitu details dengan setiap jenama kelengkapan diri dari hujung rambut sampai hujung kaki untuk lelaki mahupun wanita. Selain baccarat, novel ini juga seumpama basic introduction kepada menu-menu sedap restoran mewah, kereta-kereta, cerut-merut, hotel-hotel, golf, dunia F1 dan perempuan yang sedap-sedap! Hah! Saifullizan juga menekap kesemua pengalaman dan ilmu arkitek landskap bertauliah serta pengurusan acara beliau yang dicerap ke dalam naratif novel ini dengan betul dan tepat. Mungkin novel ini seolah-olah fiksyen dunia si penulis yang berlatarkan realiti beliau sendiri..gamaknya? Dan ia begitu menyeronokkan!

Saya boleh beritahu 'kebaikan' novel ini yang betul-betul mengesankan kepada diri saya sendiri secara peribadi iaitu - jangan tinggal solat 5 waktu selagi hayat di kandung badan ok! (baca: walaupun Narcissus selalu tertinggal solat Subuh kalau aku tak silap lah!)

Kasino ditamatkan dengan eskapisme Dato' Narcissus yang halal setelah rentetan hari-hari yang macam haram..dan pun**ek! Dapatkan novel ini di pasaran yer kawan-kawan! xoxo

"aku mengharapkan kesejahteraan hidup Dato' Narcissus Yussof utk hari2 mendatang beliau!" @ajamiha
baca lagi...

Isnin, Disember 19

SONGLAP (2011) ~ Ad punya pasal lah ni!

Filem ini menganggap bahawa khalayak wayang kini sudah pandai memahami penceritaan secara subtle tanpa perlu membentangkan kronologi asal-usulnya satu-persatu A, B, C.. Warnanya dipudarkan beradun dengan muzik latar chaotic dan tangkapan kamera seringkali berjarak dekat/ganjil dengan suntingan liar sudah mendesak bersesuaian dengan penceritaan realisme yang berpecah-pecah berkecamuk. Siapa-siapa perwatakannya pula dikenali dari wajah/identiti dan isikandung pertuturan keras serta paparan situasi/emosi yang dikembangkan tanpa perlukan introduksi berlebihan. Ringkasnya filem ini 'bijak' semasa bercerita.

Kisahnya berlegar-legar di antara kelompok-kelompok keluarga/geng yang berkompromi/berkonflik sesama mereka. Semuanya kerana duit dan/atau nafsu. Walaupun dunia bahaya/jijik yang menjadi pentasnya, ia mempunyai sistem kuasa hirarki yang tersusun dan terkawal selagi ketua-ketuanya Abang Mat (Hasnul) , bapa Hawa (Omar), Chipun (Fauzi) berfungsi secara rutin dengan betul/lancar selama ini.

Sehinggalah 2 insiden/trigger point utama yang mengkucar-kacirkan semuanya:
1. Razak mati overdose
2. Hawa lari dari rumah

Ad (Syafie) ialah watak penting yang bertindak seperti seketul batu dicampak ke air tenang untuk mengoncang dan mengocak ketenangan pengulangan sistem komuniti ini dan menggabungkannya: kisah konflik keluarga Hawa, sindiket penjualan bayi & wanita serta merumit/mengungkit/membongkar semula masalah dalaman keluarganya sendiri: Ad-Am, Ad/Am-ibunya Rita (Normah).

Kisah-kisah asas filem ini sebenarnya sangat klise dari segala gejala songsang dan jahanam yang berlaku dalam masyarakat yang tak pernah berkesudahan. Saya tak pedulipun seandainya mereka semua dalam kelompok Abang Mat mati katak dalam hukum karma dunia mereka. Yang kasihannya ialah watak Ad dan Hawa (Sara) sahaja yang menimbulkan simpati kerana berada di tempat dan waktu yang salah. Adakah mereka mangsa? Mungkin ya mungkin tidak. Apa-apa pun mereka ke Kuantan untuk meneruskan kehidupan yang fana ini.

Am (Sam) berada di tengah-tengah kemelut semua orang. Watak ini yang lebih saya kasihankan kerana kecukupan hidup sehariannya sudah memadai untuk sementara waktu ini sehinggalah Ad adiknya ada plan sendiri pula. Am sebenarnya sudah bercita-cita untuk keluar dari dunia gelap itu dengan penabungan duit upah setiap jualan bayi dan/atau perjudiannya. Saya rasalah. Dan saya rasalah juga tindakan Ad yang menghuru-harakan semua perancangan masa depan Am. Tapi kalau Ad tak buat apa-apa maka filem ini akan bergerak dalam bulatan sahaja. Jadi saya akui desakan Ad mencuri duit Am dan melarikan diri dengan Hawa boleh mempercepatkan lagi apa yang sepatutnya Am lakukan di kemudian hari iaitu 'get a life!'.

Filem ini secara dasarnya ialah kisah family tree yang beracun dari akar-umbi hingga melarat ke pucuknya. 2 keluarga yang jahanam berpunca dari ibubapa/penjaga kepada generasi seterusnya: ibu Ad/Am yang membuang anak-anak mereka dari kecil kerana desakan hidup sebagai pelacur dan bapa Hawa yang bernafsu binatang sehingga membuntingkan Hawa. Ibu Ad/Am memang dah tak peduli dan sudah lupa kewujudan anak-anak dia sebab itulah babak Ad merengek-rengek meminta belaian kasih sayang dari ibunya itu tidak berfungsi apa-apa. Filem ini bukannya kisah jejak kasih doh! Kerana itulah dialog Am kepada Hawa di babak dapur bila difikirkan semula ialah keputusan/cadangan yang paling terbaik dari situasi yang terburuk untuk menyerahkan bayinya (baca: generasi seterusnya) kepada yang lebih mampu untuk membesarkan dalam keluarga yang mewah. Babak itu juga ialah flashback kehidupan Am bersama ibunya dahulu. Mungkin juga situasi sebegitu kenapa gadis-gadis bohsia membuang bayi ke dalam tong sampah atau surau samada kerana dia tak mahu bayinya menderita maka lebih baik dimatikan (baca: pemikiran akal pendek) atau meninggalkan di surau (baca: pemikiran akal panjang sikit). Tapi dalam filem ini masa depan bayi yang terbuang di-upgrade lebih tinggi iaitu dijual kepada pasangan yang mandul dan kaya.

Adakah filem ini happy ending? Ya! Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ini Ad dan Hawa akan ke Kuantan dan Am pula sudah bebas dari kematian di parang oleh apek yang berparut di mukanya itu. Kau nak happy ending apa lagi? Nak tengok babak Ad-Hawa di atas kapal layar mewah dan Am bermain layang-layang di bendang ker? Huhuhu!
baca lagi...

Rabu, November 30

OMBAK RINDU (2011) ~ mengasyikkan!

Salaam..

Sebuah penceritaan filem yang bagus bagi saya ialah apabila ia mampu menjemput saya ke dalam dunia ceritanya, lalu berjaya menahan saya untuk tinggal sebentar di situ bagi mengenali setiap watak fantasi serta merasai emosi di setiap sudut terang dan gelap kehidupan fiksyennya, kemudian saya keluar meninggalkannya dengan kepuasan..dan Ombak Rindu telah memberikan saya semuanya itu.

Permulaan filem ini bertanya soalan paling asas iaitu sesebuah kebahagiaan sepasang kekasih bermula dari nafsu atau cinta? Ia tentang bermulanya sesebuah perhubungan Adam-Hawa dan mampukah tapak strata paling terkebawah sesebuah masyarakat kebendaan iaitu kemiskinan keluarga bapa saudaranya Pak Taha (Kamarool Yusof) yang menyara Izzah (Maya Karin) untuk menghidupkan kehidupannya di masa akan datang?

Ia kenyataan awal yang sangat ketara bahawa ini ialah cerita dari sebuah novel (karya Fauziah Ashari) yang dipersilakan dengan paparan luas kekampungan nelayan yang kononnya cantik di mata pelancong tetapi hodoh kalau diselidiki dengan dekat-dekat penghuninya. Namun begitu saya pasti bahawa pengakhiran klise sesebuah novel cinta akan berpenghujung dengan kegembiraan maksima. Dalam filem ini, kisah Izzah bermula di sekitar perahu buruk milik Pak Taha dan berakhir di atas bot mewah miliknya dan Haris! Persoalan paling besar dalam minda saya ialah bagaimanakah perjalanan panjang filem ini akan mampu meyakinkan saya bahawa ia sebuah cerita yang betul-betul saya boleh percayai?

Babak Izzah memandikan makciknya Hajar (Delimawati) di pinggir sebuah tempayan ialah antara tandatangan Osman Ali sendiri selaku pengarah dari pembukaan filem Malaikat Di Jendela (2001) dimana Hamidah (Ning Baizura) memandikan suaminya (Soffi Jikan).



Pantai, perkampungan sawah padi/nelayan, layang-layang, kemban dan haiwan pekerja (gajah dalam Ombak Rindu, kerbau dalam Cun!) seakan prop-prop wajib untuk Osman? Saya hanya meneka bahawa seawal filem Bukak Api (2000) arahan beliau memang suka memilih (atau tidak sengaja) mengetengahkan kisah golongan masyarakat bawahan/terpinggir yang seakan cuba menyatakan/memperjuangkan bahawa mereka lebih beruntung (dari segi harta kegembiraan) berbanding harta duniawi golongan atasan/kaya-kaya?

Bayangkan seandainya filem ini ditaja oleh ubat tradisional kacip fatima? Fasa awal pertemuan dan pengalaman Haris (Aaron Aziz) 'bersama' dengan Izzah itu ialah bukti yang paling kukuh keberkesanannya kerana mengakibatkan ketagihan gelodak, gejolak dan gelojohnya nafsu Haris yang jijik? Tetapi ia meneutralkan kehendak seksual itu kepada sesuatu yang lebih baik, malah terbaik untuk Haris bekalkan di akhirat-nya.

Berapa banyak filem dan telefilem yang memaparkan babak 'rogol'? Mangsa selalunya digambarkan hanyalah sisa yang trauma, meratap, kecewa dan memarahi si perogol. Dalam filem ini, situasi Izzah memanglah tidak sekali-kali merelakan tetapi menjurus ke jalan keinsafan dan bertaubat dengan lekasnya mengajak Haris menikahinya secara sah kerana itulah sahaja cadangan yang paling baik (dan bijak) untuk ditiduri secara halal. Kehendak liar Haris mampu dijinakkan dengan cinta, walaupun saya tidak nafikan ia bermula dengan nafsu. Bertepatankah saranan Izzah kepada Haris untuk menjadi 'hamba' yang sah? Ia bukan beberapa pilihan yang tepat tetapi satu-satunya pilihan yang ada untuk Izzah. Cubalah letakkan diri anda di tempat Izzah?

Fasa kedua perhubungan kelamin Haris-Izzah ialah alam perkahwinan yang seakan terpaksa tetapi bila difikirkan kembali, situasi yang serupa juga berlaku dalam alam perkahwinan yang suka sama suka atau pilihan keluarga. Ia adalah asam-garam mengenali pasangan masing-masing yang berkembang matang melalui main tarik tali salah-faham dan konflik rumahtangga yang tipikal. Secara tidak sedar, Haris memahami dan merasai bahawa tarikannya kepada Izzah bukan sekadar nafsu semata-mata tetapi cinta sejati yang berputik dari kejujuran Izzah sebagai seorang isteri mithali (dan ulasan aku ni dah berbunyi macam plot novel kannnn?). Namun ia adalah realiti, anda tanyalah mana-mana pasangan suami-isteri bahawa betapa benarnya kenyataan bahawa setiap hari si suami atau si isteri akan mempelajari perihal 'baru' luar-dalam pasangan masing-masing?

Fasa seterusnya ialah dugaan dalam dunia percintaan atau perkahwinan iaitu orang ke-3 dan perasaan cemburu. Maka muncullah Mila Amylia (Lisa Surihani) yang juga berhak ke atas Haris. Seperti lazimnya sebuah novel, kisah cinta 3-segi ini adalah wajib. Khalayak akan berbelah-bagi untuk memihak kepada Izzah atau Mila kerana kedua-duanya mempunyai kehendak yang sama kepada Haris sebagai suami/kekasih. Tiada siapa yang bersalah atau jahat di antara kedua-duanya. Di pertengahan ialah Haris yang sentiasa dikelilingi keputusannya oleh ibunya sendiri Datuk Sufiah (Azizah Mahzan) yang juga berhak atas status ibu-anak. Bahagia atau derita terpulang kepada Hariz sendiri untuk memilih, memiliki dan merasainya.

Begitu juga harapan Mail (Bront Palarae) kepada Izzah menambahkan lagi zig-zag cinta yang bersegi-segi. Babak Mail menyelam lalu menyerahkan semula jam tangan milik Haris yang tenggelam ialah tanda Mail menyerah kalah kepada cinta sejati Izzah-Haris juga melepaskan apa yang bukan miliknya, merestui dan berkorban untuk orang yang disayangi. Biarlah Izzah di atas perahu (bahagia) walaupun Mail terpaksa berendam dalam air (airmata?). Cinta sejati tidak semestinya bersatu namun kekal sepanjang hari, di dalam hati! fuyooo!!!

Filem ini agaknyalah seakan homage/tribute kepada filem-filem Melayu 80-an dan Hindi yang meleret-leret tetapi berjaya menyerap ke dalam ceritanya. Ia ada menyediakan latar hijau luas kebun perbukitan teh yang sesuai sangat untuk dijadikan lokasi sebuah lagu Hindustan dengan tarian dan muzik yang menyedihkan tetapi ia tidak berlaku kerana lagu temanya sudah memadai diadun berkali-kali. Watak-watak sampingannya, Pak Dollah (Zaidi Omar), Mak Jah (Normah Damanhuri) dan Wafiah (Julia Ziegler) walaupun sekadar muncul sesekali namun wujudnya mereka berjaya menambah simpang-siur cerita yang akan menghuru-hara juga menjadi aras-tanda titik-titik sendi naratifnya untuk kembali ke pangkal jalan menjadi sebuah bulatan penceritaan yang berakhir dengan kesempurnaan sebuah kisah cinta.

melodrama yg aku sukai setelah sekian lama tak menonton penceritaan filem tempatan yg mengasyikkan! ♥ tahniah!
~ twitter.com/ajamiha

Sejujurnya filem Ombak Rindu 'mengasyikkan' bagai melihat air menitik perlahan-lahan ke atas batu hingga ia berlekuk meninggalkan kesan tanpa disedari..begitulah kot! huhu!
baca lagi...