Amir Muhammad semakin dikenali ramai apabila filem-filem dokumentari arahannya yang berjudul Lelaki Komunis Terakhir (2006) dan Apa Khabar Orang Kampung (2007) diharamkan untuk tontonan awam di pawagam Malaysia. Walhal sebelum itu beliau sudah lama berkecimpung dalam pembikinan filem-filem alternatif (juga digelar filem indie) sejak tahun 2000.




Beliau juga berkolaborasi dengan Naeim Ghalili menghasilkan filem arus perdana berjudul Susuk (2008) yang mempopularkan lagi nama dan karya beliau. Pada tahun 2007, beliau menubuhkan syarikat penerbitan buku Matahari Books untuk menerbitkan buku-buku bukan-fiksyen dan berkaitan filem. Sehingga kini beliau telah berjaya menerbitkan berbagai judul dan tema buku samada tulisan beliau sendiri atau penulis-penulis yang sesuai dengan halatuju syarikat penerbitan tersebut.




Terkini, beliau telah menulis dan menerbitkan buku 120 MALAY MOVIES ini ialah buku koleksi ulasan ringkas, padat, seksi, sinis, humor juga kadangkala serius tentang filem-filem Melayu yang beliau tonton secara kronologi mengikut tahun penerbitannya sejak 1948 hingga 1972 melalui vcd serta mengikut ‘kegemaran’ beliau sahaja. Saya berpeluang membeli sebuah buku tersebut di majlis pelancarannya di The Annexe Gallery, Central Market pada hari Jumaat, 6 Ogos 2010 yang lalu.



Di mukasurat 13 dan 14 buku ini beliau menulis:

“Why 120? Well, it’s my sarcastic way of saying that watching so many Malay movies in a row would be akin to one of the tortures in the Marquis de Sade book ‘120 Days of Sodom’. Luckily, I was proven wrong. Many of these films were so fun that it was with some reluctance that I emerged from the experience of being submerged in them. Even the ones that weren’t so great were often ‘interesting’ in some way or other. Perhaps I could have extended the book to 150 or even 160 titles. But then, what would the divide Marquis say?”

Hey! Berbunyi menarik bukan? Sebenarnya saya masih belum lagi habis membaca keseluruhan isi kandungan buku ini. Mungkin saya akan mengulasnya lebih lanjut lagi di masa akan datang. Walaubagaimanapun, dengan hanya menyelak dan membacanya secara rawak, ia memang sebuah buku yang bagus dan ‘menghiburkan’ untuk dibaca!


INFO BUKU:
Kulit keras: 432 mukasurat
Penerbit: Matahari Books; edisi pertama
Bahasa: Inggeris
ISBN-13: 978-9834484545
Harga: RM60 (termasuk harga kiriman pos berdaftar)

NOTA: Buku ini TIDAK dijual di kedai-kedai buku tempatan untuk edisi pertamanya sehingga diberitahu kelak oleh Matahari Books sendiri. Anda boleh membeli secara pembelian peribadi terus kepada Amir Muhammad seperti info di bawah:

1. masukkan bayaran RM60 ke akaun Maybank 014105120512 (Amir Muhammad)
2. email-kan butiran alamat penghantaran dan permintaan autograf (sekiranya mahu) kepada info@mataharibooks.com
3. atau anda boleh membelinya terus di sesi pembacaan bersama beliau di kedai buku Silverfish Books, 58-1 Jalan Telawi, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur pada Sabtu, 21 Ogos 2010, 5.00-6.30 petang

NOTA: artikel ini juga boleh dibaca @ MEOW.MY hehe..