Khamis, 28 Oktober 2010

2 ALAM (2010) ~ kisah kemaluan transeksual?

pengarah: Zarith Lokman & Hairie Othman
penulis skrip: Imran Hj Ismail
cerita asal: Rozmey & Imran Hj Ismail
genre: drama

Strukturnya non-linear. 2 cerita yang berselang-seli bercantum di hujungnya mengenai hidup dan mati Adam @ Amy, seorang lelaki yang melakukan pembedahan jantina menjadi seorang 'wanita'. Ia benar-benar menghukum secara prejudis keterlaluan kepada perwatakan utamanya melalui kacamata luaran tanpa memberikan apa-apa ruang kenapa ia dilakukan? Dalam waktu yang sama filem ini cuba bersyarah (atau membebel) seolah-olah ia suatu perihal yang sangat penting untuk diceritakan. Mungkin lebih ke depan dari isu bunuh, buang bayi, dadah, rasuah dan jenayah lain yang lebih berat? Ia seumpama tahi yang lebih penting dari jambannya? Maka kita semua mesti melihat dan mengkaji dengan teliti warna, bentuk, bau, rupa, keras atau cirit dari hasil pembuangan air besar di takungan najis?

Filem ini ialah kecelaruan tujuan kenapa cerita ini begitu perlu dan penting diceritakan? Samada hendak menunjuk untuk menginsafkan (didactic) atau mempromosikan kejahilan (glorify)? Oklah! Mungkin dengan menjalin selang-seli cerita tentang kematian yang hina (balasan) dan kehidupan mungkar maksiat (perbuatan) ialah naratif yang paling berkesan untuk memberikan teladan? Tunjuk. Jangan buat! Tetapi itulah bahananya apabila sebuah filem hendak mencampur-adukkan kedua-duanya serentak dalam satu penayangan sekaligus. Khalayak akan merasa lebih menjauhi daripada mengikuti perjalanan naratifnya.

Sejujurnya kisah keazaban untuk mengkebumikan mayat Amy/Adam di kampung masih boleh diikuti dan dramatik. Namun begitu setiap kali khalayak dipaparkan kisah Amy semasa hayatnya begitu jahanam dari segi suntingan dan pemilihan kronologi plot yang hendak diceritakan tanpa tujuan yang jelas.

Perlakonan perwatakan Amy oleh seorang pelakon wanita asli iaitu Suhailah Salam juga telah merumitkan lagi 'make believe' dalam filem ini. Penonton secara sedar bahawa dia ialah seorang wanita sejati walaupun dia berlakon sebagai seorang transeksual watak Amy. Maka setiap adegan sundal dan seksual dalam filem ini ialah secara zahirnya adalah sensual dan lucah. Kerana itulah filem ini diklasifikasikan 18. Oklah! Betul! Adegan sebegitu mungkin mampu memancing penonton lelaki yang kerakusan visual wanita seksi, tetapi adakah perwatakan itu berkesan untuk mengisi keperluan watak Amy untuk bercerita? Tidak!

Meletakkan pelakon wanita sebagai Amy juga menimbulkan satu lagi persoalan 'make believe' filem ini. Di pertengahan cerita, identiti sebenar Amy yakni dia seorang transeksual yang telah melakukan pembedahan alat kelamin lelaki kepada pembentukan seperti alat kemaluan wanita dibongkar oleh akhbar. Maka barulah kekasihnya, Juan 'mengetahui' bahawa selama ini dia melakukan seks dengan seorang transeksual! Plot ini paling-paling membuat saya ketawa terbahak-bahak! Sebelum itu, Amy juga telah dirogol secara beramai-ramai oleh beberapa orang lelaki setelah merompak Amy-Juan di tepi tasik. Lelaki-lelaki itu begitu seronok dan puas dengan kehebatan melakukan seks dengan Amy. Baiklah! Mungkin saya terlebih fikir, tetapi secara logiknya rupa fizikal kemaluan seorang transeksual melalui pembedahan plastik sudah pasti berbeza berbanding dengan yang asli kan?

Saya sudah tentu faham tema filem ini dibikin untuk mengatakan bahawa penukaran jantina itu adalah haram dan berdosa besar. Namun begitu dek kerana terlalu kasar dan beriya-iya untuk memaparkan kejahilan kehidupan Amy, menjadikan filem ini sebaliknya mendewa-dewikan budaya hidup sebegitu dengan lebih tinggi. Ia memberikan gambaran negatif tanpa bersebab dan memburukkan golongan transeksual secara pukal. Secara tidak sedar, filem ini juga ialah satu penghinaan bukan sahaja kepada kaum lelaki yang 'buta' kepada perbezaan seksualiti pasangan mereka malahan kepada semua kaum wanita kerana seolah-olah mengatakan bahawa bersenggama dengan seorang transeksual lebih nikmat ya amat? O.M.G.!!!

Jumaat, 22 Oktober 2010

FFM23: Tema 1Malaysia - Peluang Cerah Buat Estet

*pautan asal: MURAI

Teks oleh Haswari Ali

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER 2010: Semangat 1 Malaysia yang dilaungkan pucuk pimpinan negara mungkin bakal memberi peluang cerah buat filem Estet untuk dinobatkan sebagai filem terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) pada 24 Oktober ini.

Estet di bawah arahan Mamat Khalid bukan saja dilihat mempunyai ciri-ciri yang menepati tema berkenaan, malahan juga dikatakan sebagai sebuah filem yang berkualiti tinggi selain punyai mesej yang kuat.

Editor Hiburan Astro Awani, Syazwan Zakariah berkata usaha yang ditunjukkan Mamat Khalid di dalam Estet wajar diberi pengiktirafan kerana mempersembahkan filem bercitarasa Malaysia dan boleh dibanggakan jika berpeluang di bawa ke peringkat antarabangsa.

"Memang kalau diikutkan, pengitirafan juga sepatutnya diberikan kepada Muallaf. Bagaimanapun ianya tidak tercalon dalam FFM 23 kali ini. Tapi itu tidak bermakna, Estet perlu kecundang sebelum bertanding kerana ianya sebuah filem yang sangat bagus," katanya kepada portal murai.com.my.

Perkara sama turut disokong oleh pengkritik filem bebas dan blogger popular, Ajami Hashim yang menyifatkan Estet miliki segala kriteria diperlukan sebagai filem terbaik sekiranya tema serta unsur 1 Malaysia menjadi batu pengukur penjurian FFM 23.

Bagaimanapun dia tidak menafikan bahawa kehadiran Magika terbitan KRU Studios akan memberi saingan sengit kerana filem muzikal komedi itu turut mengetengahkan dongeng serta cerita rakyat di negara ini.

"Sesuai dengan objektif FFM23 dalam memperkenalkan filem Malaysia ke mata dunia, saya berpendapat Magika punyai kelebihannya tersendiri. Manakala Estet pula menggabungkan budaya masyarakat India dan Melayu dengan cukup baik," katanya.

Namun, bagi Penolong Editor Hiburan Berita Harian, Nurul Hisham Abdul Latif berpendapat, kejayaan Magika memenangi untuk beberapa kategori teknikal pada pencapaian awal 20 Oktober lalu, sedikit sebanyak memberi isyarat bahawa filem berkenaan akan membolot anugerah utama.

Bagaimanapun dia percaya, tumpuan pada FFM kali ini juga akan turut memberi fokus kepada kategori 'favourite' iaitu Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik yang mungkin akan menyebelahi Bront Palarae dan Lisa Surihani.

"Saya percaya, permainan emosi yang pelbagai oleh Bront di dalam filem Belukar akan memberi kelebihan buatnya berbanding empat lagi calon akhir kategori ini. Mungkin kita mahu melihat wajah yang 'fresh' untuk memenangi kategori ini nanti. Jawapannya ialah Bront.

"Manakala Lisa, saya melihatnya sebagai seorang pelakon yang semakin menunjukan perkembangan terutama dalam filem lagenda Budak Setan. Saingan Lisa tidak lain tidak bukan ialah Mislina Mustaffa yang sudah tiba masanya untuk diberikan pengtirafan," jelas Nurul Hisham.

Keberkesanan watak Bront sebagai lelaki tidak berguna di awal lakonan dan kemudian berubah kepada seorang yang pintar di dalam Belukar, telah menarik minat Ajami untuk memilihnya sebagai pembawa trofi Pelakon Lelaki Terbaik .

Sementara Maya Karin menjadi pilihan Ajami dan Syazwan untuk menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak mengada-ngada pelakon berkenaan di dalam Pisau Cukur.

"Sebelum ini Maya sangat sinonim dengan wanita yang baik, lemah-lembut, positif dan dramatik. Tetapi menerusi Pisau Cukur, dia sama-sekali berbeza dan lari dari kebiasaan. Sudah tentu saingan Maya ialah Lisa yang saya perhatikan lebih dewasa dalam permainan emosi serta pelbagai dimensi,"kata Syazwan.

Sebanyak 12 trofi disediakan dalam kategori Anugerah Cipta, 13 trofi untuk Anugerah Perdana, 5 Anugerah Khas Juri dan 4 bagi kategori Anugerah Khas.

Penganjurannya kali ini dijangka akan mendapat liputan meluas apabila 3 stesen TV iaitu RTM, Astro Prima dan Astro Citra telah bertindak selaku penyiar rasmi sepanjang berlangsungnya acara yang dinanti-nantikan itu.

Astro Prima (saluran 105) akan menayangkan acara permaidani merah bermula jam 8 malam pada malam anugerah diikuti siaran langsung pada jam 8.30 malam dan acara selepas berlangsungnya FFM23. Manakala Astro Citra (saluran 131) akan menyiarkan siaran ulangan FFM23 pada jam 12 malam, pada hari berkenaan.

RTM menerusi saluran RTM 2 juga tidak ketinggalan akan menyiarkan siaran secara langsung FFM23 bermula jam 8.30 malam, pada hari yang sama.

Berikut adalah senarai pencalonan yang bakal dipertandingkan pada malam kemuncal FFM23 nanti:-

Pelakon Lelaki Terbaik
1. Bront Palarae (Belukar)
2. Esma Daniel (Santau)
3. Farid Kamil (Lagenda Budak Setan)
4. Shamsul Datuk Yusof (Evolusi KL Drift 2)
5. Zul Huzaimy (Haq)

Pelakon Wanita Terbaik
1. Jasmine Micheal (Estet)
2. Lisa Surihani (Lagenda Budak Setan)
3. Maya Karin (Pisau Cukur)
4. Mislina Mustaffa (Karaoke)
5. Putri Mardiana (Santau)

Lakon Layar Terbaik
1. Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Niyang Rapik)
2. Azahari Mohd Zain (Santau)
3. Jason Chong Chia Shien (Belukar)
4. Jumaatun Azmi (Haq)
5. Mamat Khalid (Estet)

Cerita Asal Terbaik
1. Ahadiat Akashah (Lagenda Budak Setan)
2. Brian Iskandar Zulkarim (Haq)
3. Edry Abd Halim (Magika)
4. Mamat Khalid (Estet)
5. Uttam Kumar Thangiah (pulau Asmara)

Sinematografi Terbaik
1. Indra Che Muda (Estet)
2. Indra Che Muda (Santau)
3. Mohd Noor Kassim (Magika)
4. Raja Mukhriz (Niyang Rapik)
5. Ramli A Bakar (Belukar)

Penyunting Terbaik
1. Ahmad Mustadha (Niyang Rapik)
2. Brian Ng (Santau)
3. Brian Ng (V3: Samseng Jalanan)
4. Hisham Jupri (Evolusi KL Drift 2)
5. Lim Sheu Fen (Belukar)

Skor Muzik Asal Terbaik
1. Brian Ng (Santau)
2. Brian Ng (Niyang Rapik)
3. Brian Ng (V3: Samseng Jalanan)
4. Edry Abd Halim (Magika)
5. James Baum (Evolusi KL Drift 2)

Filem Animasi Terbaik
1. Atok Poei Pekan
2. Buas
3. Chellup
4. Ramadhan Mat Jo
5. A Day in A Life of Mr Teddy

Anugerah Perdana
1. Hargai Sejarah Keluarga Anda
2. Srok
3. Sub Rosa
4. Projek Genex
5. The Five Rules

Dokumentari Ilmiah/ Sejarah Terbaik
1. Malaysia's Royal Rites
2. Al Maunah: The Malaysian Arms Heist
3. Sepandai pandai Tupai Melompat
4. The Malayan Emergency
5. Lascar Senoi

Dokumentari Kesenian/Kebudayaan Terbaik
1. Fight Master: Silat
2. The Seasmith
3. The Heroes of Chingay
4. Windchucker
5. The Cradle

Dokumentari Alam Semulajadi/ Pelancongan Terbaik
1. Into The Wild
2. Among The Great Apes With Michelle Yeoh
3. Sea of Lives
4. Honey Hunters
5. Across The Sea

Dokumentari Isu Semasa/Kemasyarakatan Terbaik
1. 19 Hari Di Belantara
2. Tebusan Monorel
3. Emergency
4. Secupak Jadi Segantang
5. Spellbound

Pengarah Terbaik
1. Justin Ong (Fight Master:Silat)
2. Johari Hamid (Laskar Senoi)
3. Harun Rahman (Among The Great Apes With Michelle Yeoh)
4. David Moggie (Malaysia's Royal Rites)
5. Abdul Hamid Abdullah (Honey Hunters)

Skrip Terbaik
1. Jalaluddin Jamal (Sepandai pandai Tupai Melompat)
2. Chris Hale(The Malayan Emergency)
3. Razlan Hanifah (1975: Serangan Tentera Merah)
4. Azlina Ahmad(Bangunan Sultan Abdul Samad)
5. Idzham Hadi Sidik (Jaring Jaring Rezeki)

Skor Muzik Terbaik
1. Fatul Ghazali (Siapa Sybil)
2. Farul Farid (The Malayan Emergency)
3. Peter Wong (The Seasmiths)
4. Hafizi Hamid (Mak Yong: Warisan Dunia)
5. Nor Ezafirah Ujang (From The Eyes of The Beholder)

Sinematografi Terbaik
1. Brad Dillon (Among The Great Apes With Michelle Yeoh)
2. Azizan Atan (Siapa Sybil)
3. Norazam Yusoff & Shukri Hassan (Malaysia's Royal Rites)
4. Azizan Atan (lascar Senoi)
5. Noor Akmar Aziz (Beret Hijau)

Penyunting Terbaik
1. Mohd Zaidi Husin (Sepandai pandai Tupai Melompat)
2. Lara Ariffin & Harun Rahman (The Malayan Emergency)
3. Micheal Young (Fight Master: Silat)
4. Mohd Zaidi Husin (Laskar Senoi)
5. Daniel Sheire (Among The Great Apes With Michelle Yeoh)

Rabu, 13 Oktober 2010

MAGIKA (2010) ~ pujian secara tebuk-tebuk?

pengarah & penulis skrip: Edry Abdul Halim
genre: drama fantasi muzikal
http://www.krustudios.com/magika

Magika memberikan keperluan wajib elemen penceritaan yang paling konservatif iaitu muzikal di atas tapak teknologi terkini yakni kecanggihan CGI. Siapa hendak menafikan bahawa kewajipan babak bergurindam dalam pembikinan awal filem-filem Melayu dahulu yang menekap sepenuhnya identiti filem Tamil? Filem ini seolah menyatakan "nah!" kami persembahkan pementasan besar-besaran warna-warni terlebih-lebih kemustahilan dunia fantasi ke layar perak, tetapi isinya adalah adaptasi dongeng klasik Melayu yang telah di-remix! Walaupun tak sehebat dunia filem epik atau science fiction dari Hollywood tetapi pembikin filem berbajet kecil di Malaysia juga mampu sekurang-kurangnya membikin sesuatu yang merealisasikan dunia khayalan. Adakah kita patut merasa bangga? Sudah tentu!

Itu dari sudut idea asas rangka-bina pembikinan what if yang sejujurnya saya salut. Bagaimana pula dari sudut kualiti isi cerita dan pemilihan pelakonnya?

Berikut ialah tekaan saya..setiap orang penonton yang keluar dari panggung selepas menyaksikan Magika akan sekurang-kurangnya gembira dengan kemampuan filem ini menghiburkan dari berbagai sebab. Mungkin kerana kelakarnya watak lakonan si-polan atau romantisnya watak si-anu dengan si-dia. Barangkali juga ada khalayak yang seronok dengan kemunculan seseorang pelakon yang diminati dari segerombolan bintang ternama di dalamnya. Agaknya juga kerana kebagusan special effect pada babak-babak tertentu. Eh! Sedapnya suara nyanyian si penyanyi yang itu atau yang ini. Yay! Dia pun berlakon juga dalam filem ini walaupun cameo?..atau "tak sukalah lakonan si-mamat atau si-minah tu yang kayu atau gedik!" dan lain-lain komentar. Maksud saya filem ini berjaya menimbulkan pujian (atau sebaliknya) serta berbagai reaksi dan respons hasil penontonannya secara tebuk-tebuk, bukannya secara keseluruhan.

Ya! Kalau magis dalam filem ini sudah mampu dibikin dengan bantuan teknologi, mungkin di masa akan datang KRU Studios mampu melabur pula dari sudut human capital untuk mengemaskan lagi sehabisnya naratif filem seterusnya serta betul-betul ketat membuat ujibakat untuk pemilihan pelakon utama yang terbaik ya amat! Tetapi mampukah mereka mengetepikan keperluan nafsu komersialisme?

Namun begitu Magika sesuatu yang sudah hampir sangat bagus. Hampir!

*Berikut ialah e-mail dari Norman Abdul Halim setelah saya forward ulasan ini kepada beliau:

Abd Halim to me show details 10:11 AM
from: Norman Abd Halim to Ajami Hashim <ajamihashim@gmail.com>
date: Wed, Oct 13, 2010 at 10:11 AM
subject: Re: MAGIKA (2010) ~ pujian secara tebuk-tebuk?

OK thanks, Ajami - tapi sememangnya kepakaran kat Malaysia ni belum sampai ke tahap Hollywood lagi. Tugas bikin filem ini bukan bergantung harap kepada 3 orang (Norman, Yusry dan Edry) semata-mata tapi memerlukan antara 250-300 orang yang pakar didalam bidang masing-masing.
Insya'allah bila dah lebih ramai kepakaran ini di Malaysia baru KRU Studios mampu meningkatkan lagi mutu filem terbitan kami setaraf filem Hollywood. Apa pun, kami sudah lakukan yang terbaik dan yakin KRU Studios adalah antara beberapa syarikat penerbitan filem yang terbaik di rantau ASEAN ini.
Salam perkenalan.

Jumaat, 1 Oktober 2010

CHARLIE ST. CLOUD (2010) ~ garis halus di antara ajaib dan gila?

pengarah: Burr Steers
penulis skrip: Craig Pearce
cerita asal: novel The Death and Life of Charlie St. Cloud oleh Ben Sherwood
genre: drama fantasi supernatural
http://www.charliestcloud.com/

Filem ini mengadun kisah romantis dan kekeluargaan. Pahit dan manis. Ia mengundang rasa kasihan dan bertanya erti peluang ke-2 samada hendak digunakan untuk bergerak ke masa hadapan atau masih terperangkap dengan kenangan silam? Semuanya kerana kehilangan seseorang kesayangan yang tidak mampu dikembalikan dalam bentuk yang asal.

Plot asasnya sangat mudah. Charlie St. Cloud (Zac Efron) tidak dapat menerima kenyataan bahawa adiknya Sam St. Cloud (Charlie Tahan) sudah mati kerana kemalangan jalanraya melibatkan mereka. Lantas setiap hari dia berhalusinasi (atau mungkin benar) untuk bermain baseball dan bersembang dengan roh Sam di belukar yang dijanjikan semasa hayat adiknya. Rutin itu adalah kewajiban setiap kali selepas tembakan meriam menandakan waktu senja sudah tiba.

Ritual itu sahaja yang menjadikan kehidupan Charlie mampu diteruskan sepanjang 5 tahun berikutnya. Dia meninggalkan segala kewarasan, kepakaran meluncur kapal layar dan peluang pilihan karier lain. Charlie sanggup bekerja sebagai penjaga kubur yang berdekatan dengan belukar tempat permainannya dengan Sam.

Persoalannya adakah kita percaya?

Didatangkan pula watak Tess Carroll (Amanda Crew) gadis yang menjadi orang ke-3 di antara hubungan adik-beradik Charlie-Sam yang aneh itu. Begitu juga dengan kemunculan semula watak Florio Ferrente (Ray Liotta) ahli paramedik yang menyelamatkan nyawanya semasa kemalangan jalanraya dahulu. Florio yang sedang sakit seakan meyakinkan Charlie bahawa apa yang berlaku kepadanya ada tujuan tertentu. Segalanya akan dibuktikan dan diselesaikan apabila Charlie mula menyayangi Tess selain daripada Sam.

Filem ini boleh saya katakan sebagai sebuah melodrama yang agak menyayat hati. Penceritaanya terasa perlahan tetapi boleh diikuti dengan tekun. Ia mampu mengundang sebak setiap kali momen Charlie dan Sam bertemu untuk bercerita tentang apa saja. Naratifnya menyadurkan rasa kasih-sayang kekeluargaan yang mustahil tetapi sangat meyakinkan. Semuanya berlaku kerana keperluan untuk meneruskan pendirian hidup dari dasar sebuah kematian? Sejujurnya saya percaya, walaupun Charlie St. Cloud adalah sebuah kisah tentang remaja yang berada di atas garis halus di antara ajaib dan gila.