CHARLIE ST. CLOUD (2010) ~ garis halus di antara ajaib dan gila?

pengarah: Burr Steers
penulis skrip: Craig Pearce
cerita asal: novel The Death and Life of Charlie St. Cloud oleh Ben Sherwood
genre: drama fantasi supernatural
http://www.charliestcloud.com/

Filem ini mengadun kisah romantis dan kekeluargaan. Pahit dan manis. Ia mengundang rasa kasihan dan bertanya erti peluang ke-2 samada hendak digunakan untuk bergerak ke masa hadapan atau masih terperangkap dengan kenangan silam? Semuanya kerana kehilangan seseorang kesayangan yang tidak mampu dikembalikan dalam bentuk yang asal.

Plot asasnya sangat mudah. Charlie St. Cloud (Zac Efron) tidak dapat menerima kenyataan bahawa adiknya Sam St. Cloud (Charlie Tahan) sudah mati kerana kemalangan jalanraya melibatkan mereka. Lantas setiap hari dia berhalusinasi (atau mungkin benar) untuk bermain baseball dan bersembang dengan roh Sam di belukar yang dijanjikan semasa hayat adiknya. Rutin itu adalah kewajiban setiap kali selepas tembakan meriam menandakan waktu senja sudah tiba.

Ritual itu sahaja yang menjadikan kehidupan Charlie mampu diteruskan sepanjang 5 tahun berikutnya. Dia meninggalkan segala kewarasan, kepakaran meluncur kapal layar dan peluang pilihan karier lain. Charlie sanggup bekerja sebagai penjaga kubur yang berdekatan dengan belukar tempat permainannya dengan Sam.

Persoalannya adakah kita percaya?

Didatangkan pula watak Tess Carroll (Amanda Crew) gadis yang menjadi orang ke-3 di antara hubungan adik-beradik Charlie-Sam yang aneh itu. Begitu juga dengan kemunculan semula watak Florio Ferrente (Ray Liotta) ahli paramedik yang menyelamatkan nyawanya semasa kemalangan jalanraya dahulu. Florio yang sedang sakit seakan meyakinkan Charlie bahawa apa yang berlaku kepadanya ada tujuan tertentu. Segalanya akan dibuktikan dan diselesaikan apabila Charlie mula menyayangi Tess selain daripada Sam.

Filem ini boleh saya katakan sebagai sebuah melodrama yang agak menyayat hati. Penceritaanya terasa perlahan tetapi boleh diikuti dengan tekun. Ia mampu mengundang sebak setiap kali momen Charlie dan Sam bertemu untuk bercerita tentang apa saja. Naratifnya menyadurkan rasa kasih-sayang kekeluargaan yang mustahil tetapi sangat meyakinkan. Semuanya berlaku kerana keperluan untuk meneruskan pendirian hidup dari dasar sebuah kematian? Sejujurnya saya percaya, walaupun Charlie St. Cloud adalah sebuah kisah tentang remaja yang berada di atas garis halus di antara ajaib dan gila.

Comments

Post a Comment

Popular Posts