Selasa, 13 September 2011

CONTAGION (2011) ~ sila basuh tangan yek!

contagion

Salaam. Filem ni aku tahu kewujudannya di festival filem antarabangsa venice ke-68 sehari sebelum tayangannya seluruh dunia mulai 9 September yang lalu dari penontonan 'tak sengaja' Galatv @ Astro Awani. Menonton trailernya di youtube, aku tidaklah terlalu taksub untuk menonton kecuali kerana tarikan barisan para pelakon gred A. Aku sudah jangka filem ini mesti berstruktur ensemble film/cast yang banyak plot cerita dan ramai pelakon. Ini yang berlaku selepas keluar panggung, aku rasa tidak ada apa-apa yang terlalu istimewa tentang filem ini selain dari mimikan dan tekapan dari kisah wabak penyakit yang lebih hebat dari SARS atau H1N1. Itu sahaja! Tetapi hari demi hari gambaran semula penceritaan filem ini seakan menghantui fikiran aku? Sebab tu aku tergerak hati tulis entri ini...agaknyalah?

Contagion ialah filem tentang hukum karma alam semulajadi kepada manusia? Susunan penceritaannya bergerak ke depan secara mudah linear dibuka di Day-2 wabak penyakit yang digelar MEV-1 mula menular. Mangsa pertamanya ialah Beth Emhoff (Gwyneth Paltrow) dengan paparan simptom yang biasa sahaja untuk seseorang yang demam panas dan selsema.

**untuk sinopsis (dan spoiler) sila klik wikipedia**

Seterusnya filem ini seperti juga satu wabak penyakit, plotnya 'merebak' kepada semua orang satu dunia yang berkaitan kerana diserang atau untuk mengenali penyakit itu dan mencari penawarnya. Itulah 'keseronokan' penontonan aku kepada filem ini. Ia seumpama sebuah dokumentari kisah benar yang berselang-seli dengan drama fiksyen tentang manusia dan kemanusiaan. Pada peringkat awal filem ini seolah penayangan semula montaj dari berita betul dari seluruh dunia kesan dari penyebaran virus tersebut (yang sebenarnya ialah filmmaking yang gigih untuk memfilemkan fotej-fotej pendek sebegitu!).

Mungkin aku suka dengan garapan cerita ala realisme filem ini? Ia memberikan aku pendedahan tentang bagaimana Standard Operating Procedure (SOP) apabila sesuatu wabak penyakit diisytiharkan mula berlaku? Apakah maksud R-naught? Rupa-rupanya sampel virus tu cuma dikaji oleh 2 orang saintis jer kat makmal untuk membuat analisa dan kesimpulan. Lagi satu baru aku tau cara nak masukkan vaksin ke dalam badan manusia paling afdal ialah melalui sedutan dalam lubang hidung. Haaa! lepas ni kalau ada orang tanya "ada ker filem yang memberi ilmu?" aku akan jawab filem Contagion ni ada beberapa ilmu sains yang aku dah belajar! Bagus kannn?

Maklumlah filem ini juga dikembangkan oleh penceritaan semua pelakon yang bagus-bagus. Tiada seorang pun yang antagonis walaupun pertentangan pendapat di antara Dr. Ellis Cheever (Laurence Fishburne) vs. Alan Krumwiede (Jude Law) sesekali seakan merayu aku untuk memihak kepada salah seorang dari mereka. Kedua-duanya sama tujuan untuk mencari penawar dari pendekatan yang berbeza.

Kemudian aku dicampakkan pula dengan watak-watak feminisme yang gigih bekerja kerana kepakaran mereka. Kalau aku ditanya untuk menyukai satu watak dari filem ini sudah tentulah Dr. Erin Mears (Kate Winslet) ialah pilihanku. Dialah yang sanggup turun padang di barisan paling depan untuk bertemu dengan mangsa-mangsa terawal. Entahlah aku terbayang kegigihannya seperti Florence Nightingale? Begitu juga dengan watak-watak Dr. Ally Hextall (Jennifer Ehle) dan Dr. Leonora Orantes (Marion Cotillard).

Watak Mitch Emhoff (Matt Damon) yang imun kepada wabak itu ialah wakil orang yang menjadi mangsa keadaan dan kononnya anugerah kekebalan kerana dia terlalu jujur kepada isterinya. Mitch ialah perwatakan klise yang seangkatan dengan para bapa dalam filem Hollywood yang mampu menagih simpati dari penonton dalam bentuk drama kekeluargaan sebagai penjaga. Agaknyalah kalau semua orang di dunia ini mati, dialah satu-satunya 'the one' yang bakal meneruskan zuriat manusia dengan sesiapa wanita yang juga suci dari wabak itu? Dia juga 'bapa contoh' yang begitu menjaga kesihatan (dan kesucian dara) anaknya Jory Emhoff (Anna Jacoby-Heron). Hubungan bapa tunggal-anak dara sebegitu diangkat sebagai sandaran ala drama tipikal siritv untuk menimbulkan momen-momen dramatik yang mampu memancing perasaan manis kepada penonton.

Satu lagi yang aku suka tentang filem ini dengan kemunculan watak video-blogger Alan Krumwiede (Jude Law) yang mampu 'bersuara' dari dunia internet terhadap isu wabak itu. Aku suka keberaniannya membongkar banyak isu dan kerenah birokrasi kerajaan (CDC) dalam menangani masalah sebesar itu. Beberapa kali dia begitu bangga dengan jutaan 'followers' blognya. Cuma aku tak berapa berkenan dengan penampilan imej Alan yang nampak agak selekeh ala internet-geek walaupun aku suka mulutnya selancang pendedahan di blognya.

Untuk watak Dr. Ellis Cheever (Laurence Fishburne) aku rasalah cuma copycat Dr. Raymond 'Ray' Langston dari siri CSI Las Vegas? Walaupun dia nampak berkaliber dan beriya-iya tetapi watak itu cuma versi lain dari Ray CSI tu ajerlah! huhu!

Mungkin mungkin mungkin cuma watak Beth Emhoff (Gwyneth Paltrow) yang jahat kerana dia seorang isteri yang curang? Tetapi bagi aku Beth ialah 'carrier' yang akan menjahanamkan semua manusia sekitarnya kerana berkongsi dosa dengan kilang yang diwakilinya dek menjahanamkan alam sekitar yakni habitat kelawar! (jawapan ada dalam babak terakhir filem ini iaitu Day-1). Sebab itulah aku katakan filem ini seakan hukum karma dari pembalasan dendam alam sekitar kepada manusia! Best kannn?

Kesimpulannya..sila basuh tangan dengan sabun untuk membunuh kuman yek!

Jumaat, 2 September 2011

HANTU BONCENG vs. KARIPAP KARIPAP CINTA (2011)

Salaam..berikut ialah ulasan santai versi raya 2011 yakni 2 buah filem Melayu sekaligus yang berentap di pawagam atas dasar nak sangat ditayangkan semasa hari raya setelah melalui perebutan penjadualan mengikut Skim Wajib Tayang FINAS.

HANTU BONCENG (2011)

Ia ialah sebuah filem tentang mat rempit dalam jalinan seram komedi aksi yang bermoral tinggi! Tajuknya sahaja sudah memberikan jangkaan yang sangat ketara tanpa perlu difikirkan terlalu dalam maknanya. Maka filem ini sudah tentu menjanjikan sebuah hiburan ringan dengan sedikit elemen seram yang tidak keterlaluan. Filem ini juga seolah kesinambungan sindiran dan nasihat oleh penulis skrip merangkap pengarahnya, Ahmad Idham mungkin sekuel Adnan Semp-it (2010) dahulu dalam versi cerita yang lain. Tengok poster pun macam ada sedikit kesamaan dengan 'mulut ternganga' oleh si heronya kan?

Filem ini masih berlegar mengenai gejala mat rempit tetapi kali ini watak Amran (Mohd Razizan Abdul Razak @ Zizan Raja Lawak) di awal cerita ialah seorang mat rempit yang sangat 'berjaya' dalam perlumbaan haramnya. Ia dipanjangkan dengan memaparkan persoalan 'what if' seorang mat rempit hanya mampu diinsafkan dengan kemunculan entiti 'hantu' Maya yang menghantui kehidupannya?

Penceritaan filem ini bermula dengan pantas dan begitu selesa dengan punchline serta body language ala Zizan Raja Lawak yang berkesan. Tidak dinafikan bahawa filem ini bergerak lancar melalui lakonan bersahaja serta penceritaan yang dikemudi sepenuhnya oleh Zizan. Namun begitu filem ini lekas-lekas mengetengahkan beberapa watak dan subplot ke pertengahan filem seperti konflik cinta Kunyit-Mariam, Halimaton-abangnya dan twist kemunculan watak Ayu untuk mewarnai lagi penceritaannya. Klimaknya jujur dengan tajuk 'hantu' yang akan muncul menyelesaikan secara magikal walaupun karut-marut dalam medium sebuah komedi!

Jalan ceritanya sangat mudah difahami dan para wataknya pula sangat-sangat berkaitan sesama sendiri. Walaupun ia mungkin kelihatan bulatan cerita yang agak kebetulan di sana-sini tetapi sudah memadai untuk dikembangkan dan dihabiskan dalam sebuah filem yang sememangnya ringan. Dalam filem ini ada satu babak yang begitu saya sukai dimana watak Yus Raja Lawak sebagai pekerja syarikat menjual motorsikal Modenas membuat 'product placement' secara montaj yang tidak lagi berselindung untuk 'menjual' jenama itu. Begitu juga dengan penggunaan jenama Yellow Cab Pizza yang menjadi karier watak Amran begitu subtle 'dijual' sehingga saya sendiri rasa nak beli pizza itu! Serius ni tau! Bak kata orang 'alang-alang menyeluk pekasam' kan?

Lokasi dan babak 'wajib' seperti kelab malam, perlumbaan haram dan rumah bomoh disulami dengan moral tinggi melalui kemunculan watak orang alim dan doktor yang melabelkan mat rempit sebagai 'sampah masyarakat'. Filem ini benar-benar kritikan pedas dan sindiran telus oleh Ahmad Idham kepada semua gejala mat rempit, bohsia, pergaduhan, perbomohan dan amalan ilmu hitam.

Kedengaran klise? Sudah tentu! Tetapi saya masih terhibur!





KARIPAP KARIPAP CINTA (2011)

Ia sebuah adaptasi novel yang ditulis oleh Nazri M. Annuar sebagai kononnya seolah parody kepada kisah filem Ayat Ayat Cinta (2008). Saya akui novelnya sangat bagus dan santai. Bagaimana pula filemnya dimana lakonlayar ditulis sendiri oleh Nazri? Itulah yang menjadi persoalan pokok sebelum menonton filem ini.

Filem ini sebenarnya mempunyai asas naratif yang sangat baik berdasarkan jalan cerita dari novel asalnya. Cabaran utama filem ini ialah untuk memadatkan menterjemahkan kesemua cerita bertulis ke medium sebuah filem. Kini ia mesti 'menghidupkan' kesemua watak dari gambaran imej yang dibayangkan semasa membaca sebuah novel. Ia mungkin BUKAN sesuatu yang diambil kisah seandainya seseorang penonton filem ini BUKAN pembaca asal novel itu kerana ia sebuah karya kisah yang baru pertama kali ditonton. Tetapi ia mungkin perihal yang dipersoalkan oleh para pembaca novelnya. Ya! Saya akui sebuah adaptasi tidak mampu mengelak dari diperbandingkan dengan naratif asalnya. Pembikin filem perlu memilih untuk menyalin sepenuhnya jalan cerita atau mengkreatifkan sebaik mungkin versi sebuah filem yang berdikari sendiri.

Ia menceritakan sejauh mana kesanggupan Ali (Gambit Saifullah) untuk menawan hati seorang gadis, Sarah yang sekali imbas seumpama 'enggang dengan pipit' tidak mungkin disatukan. Untuk ulasan jalan cerita filem ini, sila klik sini : KARIPAP KARIPAP CINTA ~ kisah karipap Sarah yang seronok?

Ya! Jalan ceritanya sama serupa sebijik seperti dalam novelnya! Cuma filem ini mengambil bab-bab yang penting dan dianggap sesuai ajer untuk difilemkan. Ya! Benar ada juga beberapa tambahan dialog dan babak kecil yang mungkin tiada di dalam novel tetapi kisah besarnya tetap sama. Seandainya saya ya amat suka novelnya, untuk filem ini juga saya suka! (tapi taklah ya amat suka) hehehe..

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN & SELAMAT HARI MERDEKA yek!

NOTA: untuk bacaan yang lebih serius, sila klik artikel pasal Ketua Pengarah FINAS yang terbaru:

HELLO NAGUIB RAZAK