Salam & Hi..

Pada pendapat saya, salah satu ciri siritv berantaian yang bagus bergantung kepada jalur cerita yang diceritakan dengan baik dimana penonton melalui proses penontonan untuk mengenali, memahami, mendalami seterusnya setia untuk mengikuti perjalanan penceritaannya dari episod 1 sehingga episod terakhir. Setiap episod mesti mengandungi beberapa plot yang disulam berganti-ganti melalui dialog dan/atau monolog oleh para pelakon, paparan visual kini dan imbas kembali, serta adunan muzik latar yang kena melalui suntingan akhir yang pakar. Untuk mengikat khalayak, sebelum setiap rehat iklan dan sebelum kredit akhir mesti digantung dengan babak yang mampu mengembalikan kehendak sambungan penontonan, selepas iklan atau episod seterusnya keesokan hari.

Secara peribadi, saya merasakan bahawa siritv NUR diantara karya Shahrulezad, bersama tulisan skrip oleh Ibnu Rijal yang bagus kerana berjaya membikin seperti apa keperluan ciri siritv tersebut.

Kualiti persembahan lakonan oleh setiap pelakon, mahu pun pelakon tambahan yang sampai memenuhi perwatakan mereka, bekerjasama untuk bercerita bersama-sama mengikut keperluan. Maksud saya, walau sekecil watak siak masjid pun ada kepentingan kewujudannya. Setiap watak ada sisi-sisi putih dan hitam masing-masing dimana penonton akan 'mengiyakan' perwatakan mereka memang seperti itu di dunia sebenar. Mereka ada sebab latar kenapa sebegitu persepsi dan reaksi watak-watak untuk setiap konflik.

Walaupun di peringkat episod-episod awal, terlalu banyak pengulangan babak imbas kembali semasa watak bermonolog dan/atau termenung kerana keperluan untuk 'memahami' situasi yang baru lepas mereka alami, tetapi ia bukanlah kelemahan suntingan dan/atau untuk memanjangkan penceritaan. Namun begitu, di pertengahan siri hingga ke episod akhir, ada babak imbas kembali yang sebenarnya ialah 'babak baru' yang menampal setiap lubang persoalan konflik yang difikirkan oleh watak dan serentak dengan penonton semasa penontonan.

Permainan menyorokkan informasi perbualan dan/atau perbuatan yang hanya diketahui oleh watak terlibat tetapi tidak diketahui oleh penonton, disunting dengan baik untuk disambung semula sebagai penceritaan penuh. Misalnya contoh terbaik ialah dalam pembukaan episod 19, episod akhir dimana watak Adam yang 'membenci' Nur sangat janggal tidak sekata dengan watak dia sepatutnya, pasti akan mengundang emosi 'marah' kepada penonton? Tetapi ia dihuraikan sepenuhnya di babak pengakuan oleh Aishah.

Satu lagi permainan penceritaan siri ini ialah kedudukan posisi watak sebagai orang ke-3 yang akan 'terdengar' perbualan di antara dua/lebih watak lain. Ia dihasilkan dengan baik melalui tangkapan visual oleh pengarah fotografi Azeli Mohamad serta garapan suntingan oleh Hafeez Mohd Noor dan Farizzuan Malek serta gabungan kerja pekerja produksi lain di belakang tabir.

Adunan muzik latar dan lagu-lagu tema oleh syarikat Seventeen Eleven Music yang menyulami setiap keperluan babak beremosi juga bersesuaian untuk melengkapkan persembahan siritv NUR.

Tahniah Shahrulezad dan produksi NUR :)

NOTA: Siritv NUR boleh dilanggan di portal tonton & NUR2 akan diterbitkan!