Topik: Penulis blog dan implikasinya

Tetamu/Blogger: Ajami Hashim & Sultanmuzaffar

Tarikh: Sabtu 17 Nov '07 10:30 pagi

Nama Stesyen: RADIO24

Alamat: 15th Floor, Wisma BERNAMA, 28 Jalan 1/65A,Off Jalan Tun Razak 53300 Kuala Lumpur

Frekuensi: 93.9 Mhz

Website: http://www.radio24.com.my

PAUTAN ASAL: BERNAMA

02 November, 2007 11:26 AM

Ada Apa Dengan Blogger?

Oleh Soraya Jamal

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Baru-baru ini umum telah menyaksikan pilihan raya kampus diadakan di universiti-universiti awam tempatan. Meskipun bukan baru, apa yang menarik kali ini ialah penggunaan laman web sebagai salah satu platform untuk berkempen dan berpolemik. Apakah trend ini akan muncul juga semasa pilihan raya umum yang akan datang. Apakah umum akan menyaksikan laman web dan blog menjadi "medan tempur", meskipun penulis blog atau 'blogger' seringkali dipertikai tentang peranan dan kredibiliti mereka. Tetapi apabila Majlis Tertinggi Umno menyuarakan hasrat untuk melantik penulis khas bagi menangkis fitnah dan menjawab isu yang ditimbulkan dalam blog sebagai strategi menghadapi perang siber, secara tidak langsung ia membuktikan ancaman yang dibawa blog tidak boleh diperkecilkan.

KOMENTAR ON-LINE

Mengikut Drezner dan Farrell, blog boleh didefinisikan sebagai sebuah laman web dengan penyuntingan yang minimum. Blog juga menyediakan komentar on-line, dikemaskini secara berkala dan menyediakan hyperlink ke sumber on-line yang lain. Hampir semua segmen dalam masyarakat diwakili di dalam blogosfera termasuklah pendidikan, perubatan, perdagangan dan perhubungan awam dengan anggaran satu blog baru dicipta setiap saat. Tiga sektor yang menunjukkan minat yang mendalam terhadap kemampuan blog ialah perniagaan, media tradisional dan politik. Kesedaran awam telah menjadikan "blogosfera" -- terma kolektif merangkumi semua blog dan rangkaiannya -- sebagai cabaran terbaru kepada dominasi media massa dalam komunikasi politik. Apa yang bermula sebagai sebuah fenomena sosial kini didekati kerana nilai bujukannya meskipun dari berjuta blog individu, hanya beberapa sahaja yang mampu menarik ramai pembaca.

PENGERTIAN

Terdapat banyak pengertian yang diberi mengenai blog dan bloggers. Tetapi bagi blogger sendiri, siapakah sebenarnya mereka? Menurut penulis veteran Datuk A. Kadir Jasin, yang melabelkan dirinya sebagai bekas wartawan konvensional yang mencuba jadi seorang blogger, mereka yang berada di persimpangan antara kewartawanan tradisional dan blogging ini dinamakan "go-blog"." Masalahnya banyak pembesar negara keliru antara blogger dengan go-blog ini," katanya di sebuah seminar anjuran Pusat Informasi dan Perangsaraf Media, Universiti Teknologi Mara baru-baru ini. Kata Kadir terdapat banyak salah faham tentang profil blogger." Mereka bukan sekumpulan kecil yang bercakap mengenai satu sama lain. Blogger boleh jadi sesiapa sahaja dari kanak-kanak hinggalah ke ahli politik".

INTERAKTIF, MURAH, MUDAH DAN BEBAS

Bagi Kadir, blog menarik sebab ia interaktif, murah, mudah dan bebas. Ketika menulis untuk suratkhabar, Kadir biasa menerima kira-kira enam surat reaksi untuk setiap pojoknya. Tetapi untuk setiap entri blog, beliau akan mendapat sekitar 20-30 komen yang saling berdebat." Pembaca blog saya boleh memberi komen apa saja asalkan ia bukan fitnah dan banyak menggunakan kata-kata kesat. Saya nilaikan setiap komen, namun saya tidak boleh edit, cuma terbitkan atau tolak," katanya. Baginya blog juga adalah ruang media baru yang lebih demokratik daripada mana-mana media sedia ada. Kadir berpendapat media perdana telah mempopularkan blog apabila menyiarkan laporan mengenai penulis blog yang disaman, ditahan polis dan sebagainya. Ini secara tidak langsung memberi publisiti terhadap blog serta membuatkan orang ramai ingin tahu mengenai blog dan blogger. Impak blog juga telah diiktiraf dengan penubuhan sebuah badan khas yang akan menjawab isu yang ditimbulkan bloggers sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, katanya.

SESIAPA SAJA BOLEH JADI WARTAWAN

Seorang wartawan yang telah menempa banyak kontroversi iaitu editor dan pengasas bersama Malaysiakini.com, Steven Gan, berpendapat blog mencabar idea bahawa hanya mereka yang dilatih secara profesional sahaja boleh membuat laporan kerana di ruangan maya, sesiapa sahaja boleh jadi wartawan. Teknologi tidak mengubah intipati berita, tetapi perkembangan ini tidak semestinya memberi pembaca pilihan yang lebih baik, cuma lebih banyak pilihan. Gan mengatakan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan dengan perkembangan blogger kerana masa akan menentukan bahawa hanya yang paling dedikasi dan boleh dipercayai akan bertahan." Bloggers dari satu sudut memantau kewartawanan yang tidak beretika, ketepatan serta memberi pandangan alternatif kepada media arus perdana tetapi mereka mesti menepati standard kewartawanan," kata Gan. Tambahnya ada blogger yang mempunyai pendapat yang lebih baik kerana mereka pakar dalam bidang yang ditulis sekaligus membantu dalam pemberitaan serta menambah nilai bidang kewartawanan. Kerjasama antara wartawan dan blogger akan menggoncang media baru. Kedua-duanya boleh jalan seiring tetapi buat masa sekarang masing-masing masih lagi bergelut memahami peranan baru mereka, kata Gan.

BLOGGER BUKAN WARTAWAN

Blogger kontroversi, Zaharin Mohamad Yasin atau lebih dikenali dengan nama Sang Kelembai berpendapat blogger bukan wartawan dan tak akan mengganti tugas hakiki wartawan melaporkan berita." Blogger bukan melapor. Blogger memberitakan, mewacanakan dan memberitahu maklumat yang akan dijadikan berita oleh wartawan," katanya. Katanya yang membuatkan orang suka membaca blog kerana akhbar tidak membenarkan perubahan, ia dikuasai satu kelas tertentu sahaja serta bersifat kapitalis. Jangan keliru blogger dengan anonymous sniper yang memberi komen-komen tidak bertanggungjawab dalam blog tanpa meninggalkan identiti mereka. Blogger sebenar letak pengenalan diri. Zaharin bersetuju blogger dikenakan tindakan kalau mereka mengancam keamanan negara dan mengharubirukan perpaduan kaum." Tapi bloggers bukan satu ancaman negara, ia hanya ancaman politik," katanya. Zaharin berkata usaha untuk menakutkan blogger tidak berkesan kerana blogger tahu apa risiko yang mereka hadapi." Kami berumah di tepi pantai," katanya. Tambahnya, blog tidak dapat disekat. Tetapi antara resolusi yang boleh diambil kerajaan ialah membuat tapak blogger." Semua blogger akan menjadikannya sebagai laman induk, jadi boleh tahu asal usul. Sekarang kami 'parking' di luar negara," kata Zaharin. Tambahnya, terpulang jalan mana yang hendak dipilih pemerintah, sama ada merapatkan atau menjarakkan lagi jurang tersebut.

IMPAK BLOG

Impak blog politik sebenarnya bukanlah terletak kepada siapa bloggernya, tetapi siapa pembacanya. Untuk mempengaruhi agenda berita, bloggers perlu menarik pembaca kelas A, namun harus diingat, kebanyakan pembaca blog ialah pemimpin pendapat utama (key opinion leaders). Blog juga tidak hanya dibaca oleh generasi muda, meskipun sasaran blogger sekarang adalah kepada yang berumur 25 tahun ke bawah -- generasi yang tidak mengalami betapa sukarnya memperolehi kemerdekaan. Blog membolehkan seseorang itu berkomunikasi pada dua peringkat berbeza. Pertama, mereka boleh tumpukan pada sekumpulan kecil pemimpin pendapat untuk mempengaruhi sesuatu agenda. Kedua, mereka juga boleh siarkan kepada sebanyak mungkin pembaca dan cuba mempengaruhi pendapat individu. Minat yang ditunjukkan oleh golongan politik terhadap blogger adalah kerana mereka berpotensi menjadi alternatif kepada media tradisional sebagai pengempang informasi dan berita. Malah terdapat banyak kes yang mana berita utama dipecahkan oleh bloggers dan bukannya media tradisional. Adalah tidak praktikal juga untuk menghalang blogger dalam era teknologi informasi, apatah lagi blogger punya kerjasama yang kuat dan sangat rapat antara satu sama lain.Apa yang pasti sekarang ialah blog mencerminkan pemikiran rakyat, tetapi yang masih belum dipastikan ialah apakah blog dan blogger ini gunting dalam lipatan atau kita yang takut dengan bayang-bayang sendiri?

-- BERNAMA

RUJUKAN2 LAIN:

Antara Blog & Goblok? [Ajami Hashim]

Jangan Gerun Dengan Bloggers [Sultanmuzaffar]

Six Ways to Better Blogging

Top 5 Traffic Building Tips for Personal Bloggers

Blogging Tips from Hope Wilbanks

Make Contact for Blogging Success

'Beyond blogging' lessons learnt

nota ajami:

- memblog sudah.. mampukah saya berkata-kata pula?.. dan mahukah kamu mendengarnya?..