utk pelanggan astro! klik sini: ASTRO-KIRANA



Wawancara Eksklusif dengan Meor Shariman Meor Shafie - penulis skrip filem Apa Kata Hati? melalui e-mail ini telah dijalankan pada Isnin, 19 Mei 2008 oleh Ajami Hashim. Semua soalan dan jawapan wawancara berikut boleh diterbitkan di mana-mana media sebagai perkongsian informasi dengan menyatakan sumbernya dari blog ini http://ajamihashim.blogspot.com/


1. Ceritakan kronologi proses penulisan skrip AKH?

- pemilihan tajuk, genre, premise
Genre ialah romantic comedy. Dan paling utama, ia mengikut acuan romantic comedy buatan Hollywood. Tajuk awalnya ialah BISIK, tapi Tayangan Unggul Sdn Bhd berpendapat, BISIK tidak sesuai sebagai judul sebuah romantic comedy. Berkenaan premise pula, ia memang telah diilhamkan untuk berkisar di Kuala Lumpur dan mengadunkan elemen-elemen urban dan desa untuk tatapan penonton di bandar dan luar bandar. Tajuk APA KATA HATI?, tercipta semasa saya, Saw Teong Hin dan Gayatri Su-Lin Pillai, makan malam di sebuah restoren mee di Ampang. Tiba-tiba saja saya mendapat tajuk itu dan saya beritahu Teong Hin dan Gayatri. Mereka terus setuju.

- inspirasi/idea asal dari karya apa/siapa
Ramai yang kata ia sama dengan filem Hollywood, WHAT WOMEN WANT. Sebenarnya, saya mendapat idea itu setelah membaca sebuah buku berkenaan mind reading. Saya tak ingat judul buku tersebut. Dan selepas itu, saya terus mendapat idea - iaitu apa akan berlaku jika seorang perempuan dapat membaca kata hati lelaki? Dari idea itu, saya kembangkan. Dan setelah itu, saya serahkan treatment kepada TUSB. Waktu itulah saya diberitahu konsep cerita itu serupa dengan WHAT WOMEN WANT. Hanya konsep dan idea yang sama, tetapi jalan cerita dan presentation adalah berbeza. Saya kemudian menonton semula WHAT WOMEN WANT kerana saya mahu pastikan tidak ada persamaan jalan cerita.

- tarikh mula & durasi penulisan
Wow! saya tak berapa ingat. Yang saya ingat ialah Gayatri, produser TUSB minta saya berikan satu konsep cerita ringan pada bulan Mac 2007. Saya kemudian sms konsep itu dalam masa dua hari, kemudian dia meminta synopsis dan treatment. Saya serahkan dalam masa tiga hari. Selepas itu, dia meminta skrip penuh draf pertama dan saya siapkan dalam masa 10 hari! Rasanya semua berlaku dalam masa lebih kurang 2 minggu dari proses mendapat idea hingga draf pertama AKH.

- berapa kali rewriting
Rewrite berlaku sewaktu berbincang dengan Saw Teong Hin. Dia membaca draf pertama saya dan telah memberi beberapa pandangannya. Paling utama, dia tidak mahu AKH klise sebagaimana filem-filem romantik komedi tempatan yang sedia ada. Teong Hin dan saya sependapat bahawa AKH mesti menggunakan acuan genre romantik komedi Hollywood. Bermula dari situ, kami bincangkan watak dan perwatakan. Romantik komedi mesti ada 3 watak utama, sekurang-kurangnya 1 watak sampingan utama dan beberapa watak sampingan yang menjalankan plot cerita. Kami telah menonton seberapa banyak filem romantik komedi Hollywood seperti My Best Friend's Wedding, Sleepless In Seattle, When Harry Met Sally, Reality Bites, You've Got Mail, French Kiss, While You Were Sleeping dan beberapa tajuk lagi untuk mendapatkan acuan sebenar romantik komedi. Setelah mendapat acuan, draf pertama itu diolah supaya mengikut acuan sebenar romantik komedi. Teong Hin dan saya juga sependapat bahawa di Malaysia, kebanyakan filem 'romantik komedi' bukan bergenre 'romantic comedy' sebenar-benarnya tetapi bergenre komedi yang mempunyai unsur-unsur romantis. Ini kerana kebanyakan filem-filem itu tidak mengikut acuan sebenar sebuah karya romantic comedy. Re-writing hanya mengambil masa satu minggu kerana Tayangan Unggul mahu memulakan produksi pada awal April 2007.

- imaginary casting, budgeting
Ada beberapa nama yang tersenarai untuk watak Elly. Antaranya Farah Fauzana, Farah AF2, Maya Karin dan Nora Danish. Namun, pemilihan Raja Farah dibuat setelah kami berpuas hati dengan chemistry di antara beliau dengan Farid Kamil dan Awal Ashaari. Manakala untuk watak yang dipegang oleh Farid dan Awal, antara yang disenaraikan termasuklah Que Haidar dan Remy Ishak.
Watak Linda pula, memang Dynas Mokhtar adalah pilihan utama saya kerana saya pernah memberikan dia watak perempuan gedik dalam filem Main-Main Cinta. Dan watak lakonan Kak Ogy Ahmad Daud sememangnya dicipta khas untuk beliau walaupun pada masa penulisan skrip, saya tak pasti Kak Ogy akan menerimanya.
Pemilihan Awie, AC Mizal dan Harun Salim Bachik dilakukan oleh TUSB dan Teong Hin, begitu juga dengan watak-watak cameo bagi mewarnai AKH. Tentang budget pula, saya dan pengarah diingatkan supaya 'keep it below RM1.1 million'. !!!!!!!!!!!

- software
Saya menggunakan software FINAL DRAFT, untuk draf terakhir skrip ini.

- lain2
Yang paling menarik, Teong Hin dan saya sebulat suara mahukan satu babak nyanyian beramai-ramai macam dalam filem My Best Friend's Wedding. Jadi, dari situlah terhasil babak nyanyian beramai-ramai lagu Sekadar Di Pinggiran. Begitu juga dengan lambang cinta iaitu bangunan KLCC. Saya mendapat idea itu dari filem Sleepless In Seattle yang menjadikan Empire State Building sebagai lambang cinta.


2. Apakah story structure & theme skrip AKH? Huraikan.
Secara ringkas, story structure AKH mengikut dasar penulisan skrip iaitu mempunyai ACT 1, ACT 2 dan ACT 3. Dan plot digerakkan oleh watak utama iaitu Elly dibantu oleh watak-watak sampingan yang menjadi pengerak perbuatan Elly. ACT 1, memperkenalkan Elly dan dilemanya juga memperkenalkan watak-watak lain di sekelilingnya. Pada akhir ACT 1 iaitu 'penggerak' ke ACT 2, Elly mendapat kurniaannya. Secara langsung, penggerak itu menjadi pendorong ACT 2 di mana, Elly berdepan dengan pelbagai konflik dalam mencari 'kata hatinya'. Konflik ini terlerai pada penghujung ACT 2, yang menggerakkan cerita untuk ke ACT 3, iaitu penyelesaian konflik.
Struktur yang sama digunakan untuk sub-plot iaitu perjalanan watak Linda dan perjalanan watak Rosmah, lakonan Kak Ogy.
Tema skrip ini ialah 'imbangan hidup' atau the balance of life di mana, setiap perkara yang berlaku adalah 'berpasangan' seperti malam dan siang, buruk dan baik, suka dan duka. Di mana, keseimbangan berpasangan inilah yang menjadikan satu kehidupan itu 'perfect'.
Berkonsep romantik komedi, AKH tidak menggunakan 'slapstick' sebagai bahan lawak tetapi menekankan kepada 'situation comedy' iaitu komedi yang berlaku akibat dari sesuatu situasi yang terjadi atau dialami oleh watak-watak dalam AKH.


3. Adakah skrip AKH? benar-benar diterjemahkan ke bikinan filemnya?

- directing
Dari segi pengarahan, saya amat berpuas hati dengan sutradara Saw Teong Hin. Apatah lagi kerana beliau sering berbincang dengan saya dan juga pelakon untuk mendapatkan idea bagi merealisasikan setiap babak dengan lebih berkesan. Kami bekerja sebagai satu 'team' dan apa yang anda lihat di layar ialah realisasi kami semua.

- production
Bahagian ini, saya serahkan kepada Teong Hin dan team beliau. Tapi, kami berbincang tentang latar belakang setiap watak supaya sesuai dengan apa yang hendak disampaikan.

- storytelling
Ia mengikut apa yang dirancang dan ditulis pada manuskrip! Ini kerana, kami hanya mulakan pengambaran apabila semua yang terlibat berpuas hati dengan skrip itu.

- rewriting
Bahagian ini amat penting. Ada penulis skrip yang tidak gemar manuskripnya di re-write. Ini silap kerana semasa re-write lah, penulis skrip akan dapat mencantikkan lagi naskah tersebut. Dan saya lebih suka berbincang dengan pengarah supaya mempunyai visi yang sama untuk menterjemahkan skrip ke dalam bentuk visual.

- casting
Ya, setiap pelakon berjaya merealisasikan watak sebagaimana yang dikehendaki skrip. Terutama watak Elly. Kami cuba lari dari watak klise sebagaimana yang dilakonkan oleh Julia Roberts dalam My Best Friend's Wedding atau Sandra Bullock dalam While You Were Sleeping. Kerana itu, Elly tidak 'gedik' atau 'neurotik' tetapi 'calm' and 'happy go lucky' dan sentiasa berfikiran positif.


4. Apa pendapat anda tentang peranan SWAM (Persatuan Penulis Skrip Malaysia)?
Saya adalah ahli SWAM seumur hidup. Saya berpendapat, SWAM perlu lebih aktif dan tegas untuk kebajikan ahli-ahlinya. Saya tak nafikan SWAM sering menganjurkan aktiviti untuk ahli. Apa yang lebih penting ialah untuk SWAM berjuang supaya ahli-ahli mendapat bayaran setimpal dengan karya mereka. Pada waktu ini, penulis skrip mendapat bayaran berbeza daripada setiap produksi. Sepatutnya, SWAM tetapkan bayaran standard untuk ahli, terutama bayaran minima. Dan jika di Hollywood, penulis skrip hidup mewah tapi tidak di sini. Ini kerana penulis skrip di Malaysia hanya mendapat bayaran lumpsum dan tidak mendapat 'royalti' jika skrip itu box office, dijual dalam bentuk vcd dan dvd mahupun ditayang di tv.


5. Apakah buku rujukan scriptwriting yang anda baca?
Paling utama dan perlu dijadikan bahan rujukan semua penulis skrip ialah SCREENPLAY: THE FOUNDATIONS OF SCREENWRITING oleh Syd Field. Juga THE SCREENWRITER'S WORKBOOK oleh penulis yang sama. Tapi, harus ingat bahawa buku-buku ini tak semestinya 'perfect' untuk penulisan skrip di Malaysia kerana ada beberapa elemen yang berbeza. InsyaAllah, saya sendiri dalam proses menulis sebuah buku panduan penulisan skrip yang praktikal untuk bakal penulis skrip tempatan berpandukan manuskrip-manuskrip yang pernah saya tulis iaitu Main-Main Cinta, Cicakman, Cicakman 2 Planet Hitam, Tentang Bulan, Apa Kata Hati dan Sayang You Can Dance juga skrip utk VCD iaitu Cinta Popular dan Sahabat Atau Kekasih.


6. Apakah pesanan anda kepada penulis skrip baru?
Jangan mudah berkongsi konsep dan idea kerana jika idea itu bagus, ia akan di 'hijack'. Jangan mudah mengalah dan terus berkarya serta harus terima setiap kritikan dengan positif.