INTAN YANG TERCANAI ~ ulasan oleh Ajami Hashim
Salaam.
Mungkin ini kerenah saya kerana kadangkala apabila hendak menonton sesebuah persembahan teater, saya cuba mengelak dari membaca sinopsisnya. Saya hanya datang dengan spekulasi yang neutral kepada apa yang bakal dipersembahkan. Maksud saya, apa isinya?.. apa ceritanya? Saya letakkan diri saya sebagai penerima yang terbuka kepada apa saja pemberian dari persembahan itu. Jalan cerita yang saya ikuti seumpama mengupas lapisan daun bawang satu-persatu dimana pemahaman saya menggunung sedikit demi sedikit.
Teater ini dipecahkan kepada beberapa segmen secara non-linear storytelling. Naratifnya bermula dari titik tragedi Terowong Al-Mu'aysam yang mengorbankan 1,426 jemaah haji pada 2 Julai 1990. Pembukaan kisah dengan kemunculan segerombolan pelakon lelaki dan perempuan yang berpakaian ihram dari arah depan pentas terus ke persada utama pentas secara simbolik melakukan tawaf diiringi laungan Talbiyah beramai-ramai. Klimaknya dengan kejutan muzik latar apabila semuanya bergelimpangan adalah benar-benar dramatik!
Dari situ, kisahnya mula berkembang dan berpusar tentang Danial yang sudah lama/tua (dari gambaran bertongkat) dalam pencarian seorang wanita/sahabat/kekasihnya bernama Ungku Intan di Mekah iaitu salah seorang mangsa dari tragedi menyayat hati itu. Penampilan watak Danial sebagai seorang muallaf dari bangsa India inilah yang menjadi lonjakan mula cerita kerana saya teruja untuk mengetahui lebih lanjut apakah latar hubungan Danial-Ungku Intan?
Seterusnya kemunculan 3 orang Lembaga Suci yang asalnya saya agak keliru fungsi samada ketiga-tiganya ialah malaikat atau metafora isihati dalaman setiap watak? Namun setelah mendengar betul-betul isi monolog mereka, maka saya interpretasikan bahawa mereka ialah voice-over/narrator secara selang-seli kepada kisah-kisah kehidupan Danial dan Ungku Intan.
Segmen persembahan diteruskan dengan flashback panjang tentang latar siapakah Ungku Intan semasa hayatnya dari kecil hingga dewasa. Monolog oleh watak Ungku Intan sendiri mengimbau sejarah hidupnya dan keluarga dengan exposition yang kadangkala saya rasakan redundant - Ungku Intan bercerita di pentas hadapan serentak dengan lakonan sebenar oleh pelakon-pelakon kecil dan watak ibu tirinya di pentas utama.
Saya rasakan teknik sebegini menjadikan tumpuan dipecahkan kepada dua pilihan samada hendak melihat reaksi bahasa-tubuh dan ekpresi wajah semasa Ungku Intan berceloteh atau menonton aksi-aksi lakonan secara mime dengan suara Ungku Intan sebagai voice-over/narrator. Pengembangan cerita diteruskan satu-persatu babak dengan teknik itu yang juga diselangi sekali lagi dengan kemunculan 3 orang Lembaga Suci - kisah pertemuan Ungku Intan dengan Danial, upacara usungan kavadi oleh Danial yang sekaligus memperkenalkan watak Sandha (visual di layar lebar kiri-kanan pentas yang memaparkan upacara perarakan kavadi dikaburkan secara sengaja atau mungkin tidak sesuai untuk sebuah teater dakwah kot?) serta perkembangan kisah hubungan Ungku Intan-Danial di luar negara.
Teknik persembahan/penceritaan yang sama, malah lebih panjang digunakan sekali lagi oleh watak Sandha bila bercerita kepada Danial tentang plot Ungku Intan-ibu tirinya. Namun kali ini watak Sandha kelihatan seakan 'penat' dan bacaan menghafal sahaja kerana ia terlalu panjang berjela. Betul! Isi cerita hubungan naik-turun Ungku Intan-ibu tirinya Makcik Yong Sutinah memang bersambung-sambung untuk beberapa rentetan masa melalui point-of-view Sandha sebagai orang ke-3 kepada Danial. Di segmen ini banyak babak penerangan latar Makcik Yong Sutinah yang seakan terkejar-kejar mengiringi taklimat dari Sandha.
Namun begitu, babak watak Haji Fadzil semasa menghuraikan rentetan tragedi tersebut saya rasakan sangat berkesan dan lebih memberangsangkan untuk diikuti walaupun tanpa sebarang lakonan latar oleh pelakon lain. Ada beberapa rangkap monolog oleh Haji Fadzil yang agak mengejutkan saya apabila seakan 'menyoal' di manakah Tuhan apabila musibah itu melanda dan kenapa tiada keajaiban mampu menyelamatkan jemaah yang sedang beribadah itu? Namun kegusaran saya terjawab dari monolog Haji Fadzil seterusnya mengatakan bahawa semua itu adalah persoalan yang di luar jangkauan manusia (Qada & Qadar) Ya! Saya betul-betul terkesan dengan penyerangan rentangan 'kain merah panjang' secara mengejut ke atas sekumpulan jemaaah haji sebagai simbolisme tragedi itu yang merebahkan/mencederakan semua pelakon.
Kemunculan semula 3 orang Lembaga Suci menghabiskan penceritaan penuh rentetan kisah Ungku Intan-Danial yang membulatkan kisahnya kepada titik mula di awal persembahan iaitu kembali kepada kisah watak Danial yang terkini. Saya mengkonklusikan sendiri bahawa sehingga ke hari ini mayat Ungku Intan masih belum ditemui di Mekah. Danial masih dalam pencariannya dalam keberuntungan kerana ia juga menyebabkan Danial terus berada di tanah suci sehingga akhir hayatnya. Sedikit komen tentang penggunaan layar lebar di kiri-kanan pentas ialah fungsinya seakan terbiar ke babak-babak penghujung persembahan kerana tidak digunakan lagi. (atau saya yang tak perasan? ahahaha!)
Plotline Danial mengingatkan saya tentang kisah filem Kiamat Sudah Dekat - pengejaran jodoh seorang lelaki ke arah seorang wanita yang dicintainya, lelaki itu yang jauh tersasar dari landasan agama kembali ke jalan yang betul di akhir cerita. Maksud saya, tujuan asal untuk memiliki sesuatu yang akhirnya mungkin tidak dicapai mengakibatkan penemuan perihal lain yang lebih baik iaitu kembali kepada agama Islam. Dalam teater ini juga Danial yang digambarkan sebagai asalnya atheist dan cuma mencari Ungku Intan yang hilang, akhirnya menemui pegangan agama Islam sebagai pilihan mutlak. Pencarian Danial yang berakhir di Gua Hira' itu sendiri seakan metafora 'permulaan' bagi Danial kerana di situlah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. diturunkan wahyu yang pertama oleh Malaikat Jibrail dari Allah S.W.T .
NOTA: Saya hanya mengulas persembahan cerita dari teater Intan Yang Tercanai secara pendapat peribadi sahaja tanpa merujuk kepada sudut teknikal (ops! tadi saya ada sentuh sikit pasal layar lebar jer.. ahahaha!) atau bertanya kepada produksi tentang makna sebenar-benarnya kisah dalam teks asal. Tahniah kepada tenaga produksinya. Maaf, seandainya saya ada tertinggal mana-mana plot atau tersasar dalam menginterpretasikan persembahan itu. Saya juga amat hormati karya oleh Saterawan Negara (SN) Dato' Noordin Hassan juga adaptasinya oleh En. Abdul Wahab Hamzah tersebut. Juga terima kasih kepada Zaidah Ahmad Rosly dan Ana Suhana Zainuddin kerana sudi menjemput saya menyaksikan persembahan teater Intan Yang Tercanai.
pautan: http://intanyangtercanai.blogspot.com/
Macam kureng je ceritenya.
ReplyDeleteSaya suka part bawak kawadi tu...Hanya Noordin Hassan yang boleh masukkan babak macam tu dan get away with it.
ReplyDeleteSekadar pendapat 2 sen saya,
ReplyDeleteSaya merasakan ini teater produksi sederhana(PGLM,produksi besar tidak termasuk dalam senarai uhuhuh...) yang terbaik saya pernah tonton.
Entah mengapa saya rasa persembahan Intan yang tercanai adalah sempurna. Dari isi, teknikal, dan lakonan.
Dan sejujurnya, dari 5 minit pertama sehingga 5 minit terakhir, airmata saya tidak berhenti mengalir.
Mungkin kerana Tanah Suci itu pernah saya jejak maka setiap pergambaran ceritanya terbayang jelas di mata saya. Dan mungkin juga saya pernah bersama seseorang dalam proses pengIslamannya dimana emosi kecelaruan & kehilangan Danial saya dapat hayati.
Mungkin teater ini terbaik pada sesetengah kelompok mungkin? Seperti 'Mime' yang kurang mendapat perhatian di Malaysia kerana khalayak Malaysia tidak biasa pada penceritaan bentuk begitu?
p/s: Saya hadiahkan fullmark pada permentasan Intan Yang Tercanai. Pada mata saya, persembahan malam terakhir tampil 100% sempurna. Paling sempurna berbanding teater2 yang pernah saya tonton selama ni.