http://www.cucithemusical.com/

Salaam..

"Cuci The Musical 2 ~ sketsa komedi panjang yang dimuzikalkan serta kadangkala cuba untuk membikin momen sedih dan drama tetapi di-nabil-kan!" ~ twitter.com/ajami_hashim

Itu yang saya twit-kan dan fb-kan selepas menonton persembahan itu malam tadi. Mungkin dek kerana ketertonjolan aksi-aksi humor oleh Nabil sebagai C'tan yang tidak dinafikan sangat berbekas lama di ingatan saya. Apakah impak yang sama berlaku kepada sebahagian besar khalayak yang pulang? Mungkin..

Semasa sesi intermission persembahan, saya sempat menyuarakan sepatah-dua komen kepada rakan yang menonton. Saya kata persembahan itu kalau dipindahkan 'pentas'nya ke Dataran Merdeka sekalipun barangkali masih mampu direalisasikan kerana kebolehubahan set pentas yang tidak memutlakkan hanya Istana Budaya sahaja untuk mementaskannya. Tambahan lagi para pemuzik pengiring muzik latarnya hanya sebuah band sahaja, bukan sekumpulan pemuzik orkestra. Barangkali..

Panjang?..Ya! durasi persembahannya sangat panjang! Ia terbahagi kepada 2 segmen besar naratif iaitu sebelum dan selepas perlawanan WWO (Window Washing Olympics). Ia juga memecahkan kepada 2 kronologi konflik yang berlaku kepada adik-beradik Fairil (Afdlin Shauki), Khai (Hans Isaac), Jojo (Awie) dan C' Tan (Nabil) bersatu-berpecah-bersatu semula.

Teater ini tiada masalah langsung untuk mencetuskan deraian hilai tawa penonton di sepanjang persembahan kerana sebahagian besar pelakon terutamanya Afdlin, Nabil dan Harith adalah para pakar sebagai stand-up comedian. Ia dibantu dengan lakonan (dan ad-lib) sangat berkesan oleh penampilan bersahaja comel Awie, lakonan nerd Hans serta apatah lagi Vanida dimana perwatakan CJ itu kacang sahaja baginya. Jaclyn dan Reefa lebih menonjol untuk segmen nyanyian manakala Rehman Rashid seakan mimikan Datuk Jalaludin Hassan yang berkaliber. Secara ringkasnya semua babak komedi adalah menjadi-jadi.

Lantas di manakah muzikalnya persembahan itu? Ok!..interpretasi 'teater muzikal' dari kacamata saya di Malaysia ini sangat mudah sebenarnya yakni babak-babak berdialog akan diadaptasikan menjadi bait-bait lirik yang dilagukan untuk bercerita, membantu penceritaan atau narration. Ia ditambah dengan kemestian segerombolan penari latar (mungkin juga ber-koir) yang berkostum warna-warni berbagai rupa untuk melengkapkan (dan memenuhkan pentas) untuk menjayakan penceritaan yang bermuzik atau berirama? Ia wajib kelihatan meriah! Untuk teater ini, kelebihan utama dalam segmen 'muzikal' bernyanyian dan menari-nari ialah kemampuan lunak suara Awie dan Jaclyn, rapping oleh Reefa dan improvise singing oleh Afdlin.

Adakah persembahan CTM2 ialah teater komedi muzikal sepenuhnya? Bagi saya ada momen-momen dramatik sedih dan tegang di dalamnya. Namun babak-babak itu kadangkala 'dimatikan' oleh gangguan sepatah-dua dialog yang kelakar oleh mana-mana pelakon semasa momen itu sepatutnya (agaknya) berjaya ditimbulkan kepada khalayak. Mungkin memang itu yang dikehendaki iaitu komedi 100%?

Ringkasnya teater ini sangat berjaya dari sudut menghiburkan penonton untuk ketawa sehingga ke tahap gelak berdekah-dekah-dekah-dekah..