YANG BOLEH DAN TAK BOLEH?
YANG BOLEH DAN
TAK BOLEH?
Oleh: AJAMI
HASHIM
Pernyataan
berikut ialah dari bahagian Pengenalan yang saya cerap dari GARIS PANDUAN
PENAPISAN FILEM MALAYSIA,
Lembaga Penapisan Filem (LPF).
RUJUKAN:
“Garis Panduan ini memberi
fokus kepada empat aspek penting yang harus diteliti dan diambil kira di dalam
pembikinan filem iaitu, ideologi dan politik, keagamaan, sosiobudaya dan
ketertiban dan ketatasusilaan. Aspek-aspek ini perlu diberi perhatian serius
dan tidak dieksploitasi untuk agenda sempit dan tersendiri yang akan membawa
akibat yang tidak diingini kepada masyarakat dan negara.”
Saya tidak akan
menyorot polemik di kalangan penggiat perfileman dan masyarakat mengenai
bagaimana dan apa yang bakal terjadi apabila penapisan filem dimandirikan di
antara pembikin dan LPF suatu hari nanti. Saya hanya cuba membaca dan memahami apakah
isi kandung tersebut sebagai seorang penulis skrip.
Saya bayangkan
seandainya suatu subuh yang cerah dimana burung-burung pun berkicauan dan
matahari mula terbit dimana saya mendapat idea untuk menulis sebuah karya skrip
filem yang menyentuh kesemua 4 aspek tersebut?
Katakanlah saya
hendak menulis skrip mengenai kisah percintaan seorang ahli politik yang
mengamalkan ilmu hitam dengan seorang ustazah yang berasal dari seorang pelacur
yang melibatkan satu kes pembunuhan ngeri bekas
isterinya yang akhirnya menjadi pontianak?
Adakah seandainya filem itu difilemkan nanti akan secara automatiknya akan
diharamkan oleh LPF? Atau mungkin sekiranya saya mampu ‘bermain’ dengan
penceritaan yang subtle, ia masih boleh dibikin dan ditayangkan dengan
diberikan klasifikasi 18?
Ideologi dan Politik
Watak ‘ahli
politik’ memang terlalu sensitif untuk dipaparkan di dalam filem apatah lagi
kalau ianya mungkin mengingatkan penonton kepada ‘seseorang’ samada dalam
sejarah atau masakini.
Jelas sekali skrip
itu berpotensi untuk menyentuh perkara berikut:
2.1.1 (iv)
menyindir dan mempersendakan pemimpin atau kerajaan yang memerintah sehingga
boleh menimbulkan ketegangan dalam negara;
Jadi saya perlu
elakkan sepenuhnya memaparkan latar cerita itu seperti berlaku di Malaysia.
Mungkin ia berlaku di sebuah pulau yang tiada dalam peta dunia serta bertutur
dalam bahasa rekaan saya sendiri dan perlu ditayangkan dengan sarikata? Ok.
Fikirkan kerajaan ala-ala dalam The Lord of the Rings.
Keagamaan
Watak ‘ustazah’
yang berasal dari seorang ‘pelacur’ juga agak kontroversi kalau tersilap cara gaya memaparkannya kerana
ia seakan ‘mencemarkan’ imejan yang menyentuh keagamaan. Begitu juga dengan
pemaparan amalan ‘ilmu hitam’ dan watak ‘pontianak’.
Aspek ini sangat perlu berhati-hati sekiranya hendak ditulis dalam skrip.
Sejujurnya, saya
agak buntu juga bagaimana hendak mengkreatifkan cerita ini apabila ia menyentuh
soal keagamaan. Dengan rekaan sebuah pulau dan kerajaan secara fiksyen belum pasti
tidak menjadi kontroversi!
Mungkin cara
terbaik ialah dengan menulis semula skrip dengan genre yang jelas iaitu fiksyen
sains? Atau memaparkan 15 minit terakhir balasan yang seteruk-teruknya kepada
watak ‘ahli politik’ yang mengamalkan ilmu hitam itu? Mungkin dia ditelan bumi
dan dipanah petir? Watak ‘ustazah’ itu ditukar asalnya dari ‘pelacur’ kepada
‘wanita’ yang diculik oleh makhluk asing semasa bayi? Watak ‘pontianak’
itu mesti dan wajib dalam bayangan mimpi sahaja bukan ‘pontianak’ sebenar yang boleh mencekik mangsanya?
Mungkin.
Sosiobudaya
Sebenarnya kalau
dibaca dengan teliti, aspek sosiobudaya saling berkait dengan aspek keagamaan.
Penampilan hantu, seram, ganas, kejam, menakutkan, kehidupan liar, seksualiti
dan lain-lain yang mungkin ada dalam skrip saya itu. Mungkin jalan terbaik
ialah memaparkannya secara ‘off screen’? Melalui penceritaan mulut berdialog?
Menunjukkan babak-babak ‘selepas’ sesuatu kejadian sahaja?
Tetapi bukan
itukah yang selalunya menjadi ‘hook’ untuk dipertontonkan kepada penonton? Yang
menyeramkan dan mengasyikkan itulah yang akan diperkatakan selepas menontonnya?
Yang menjadi bahan gosip di internet dan kecaman di media cetak? Saya tidak
nafikan kadangkala kalau sesebuah karya terlalu ‘baik’ maka penonton tidak suka
kerana semuanya sudah seperti disuapkan. “Show! Don’t Tell! katanya.
Ketertiban dan Ketatasusilaan
Aspek ini lebih
menjurus bahawa sesebuah karya filem itu jangan sehingga menjadi contoh tidak
baik atau ikutan kepada penonton. Jadi seandainya skrip ini hendak saya
teruskan ditulis, paparan adegan babak mesti tidak terlalu terperinci sehingga
ada penonton yang terfikir hendak menirunya. Kalau ada juga mesti dipaparkan
kesan negatif perbuatan itu di akhir cerita.
Saya wajib
berfikir dahulu, adakah saya hendak menjual idea ‘kejahatan’ atau ‘kerosakan’
dalam masyarakat supaya mereka takut hendak melakukannya atau sebaliknya
menjadi trend pula selepas ia ditayangkan?
Kesimpulan
Sebagai seorang
pengkarya iaitu penulis skrip, anda harus memahami sepenuhnya isi kandungan 4 aspek
tersebut dengan jelas. Sepanjang manapun senarai takrifan dan tafsiran
aspek-aspek tersebut, anda sebagai pengkarya mempunyai suatu senjata yang
paling utama iaitu ‘lesen kreatif’. Gunakan kebijaksanaan dan kekreatifan minda
anda semasa menulis sesebuah skrip filem.
Lembaga Penapisan Filem
(LPF) merupakan badan yang bertanggungjawab mengelaskan filem-filem yang hendak
memasuki pasaran Malaysia
mengikut kesesuaian dengan masyarakat.
Kelulusan filem
dibahagi kepada empat kategori, iaitu:
·
Lulus
Bersih (LB): Diluluskan tanpa adegan yang perlu dipotong.
·
Lulus
Dengan Potongan (LDP): Diluluskan dengan arahan sesetengah adegan perlu
dipotong kerana tidak sesuai dipertontonkan.
·
Haram:
Langsung tidak dibenarkan untuk tayangan, setelah disemak oleh LPF.
·
Ditolak:
Ditolak oleh LPF tanpa semakan.
Klasifikasi filem
diberi kepada semua filem yang lulus (LB dan LDP), bermula tahun 1996.
Klasifikasi filem adalah seperti berikut (kemaskini pada April 2010):
·
U
(Umum): Keseluruhan bahan sesuai ditonton oleh semua golongan masyarakat.
·
P13
(Penjaga 13): Bimbingan ibu bapa untuk kanak-kanak bawah umur 13 tahun.
Diperkenalkan pada tahun 2008, untuk filem-filem yang mengandungi adegan yang
kurang sesuai ditonton kanak-kanak berusia tidak mencecah 13 tahun, oleh itu memerlukan
bimbingan orang dewasa. NOTA: ditukarkan dari PG13 (Parental Guidance) kepada
P13 (P bermaksud ‘penjaga’ untuk menyelaraskan dalam bahasa Melayu mulai 2012)
·
18: 18
tahun ke atas sahaja. Untuk bahan-bahan yang mengandungi kandungan yang lebih
dewasa, unsur-unsur ganas, seram dan seks, yang tidak keterlaluan, atau
menyentuh unsur sensitif politik, agama dan kebudayaan.
Ok. Saya mahu
menyambung brainstorming idea skrip ini yang entah bila agaknya akan dibikin?
yeaa mmg patut pun ada penapisan dn menetapkan had umur. tapi, kalau ibu bapa sendiri tak pandai nak pantau.... no comment laaah
ReplyDeletedengan adanya internet...byk lagi yg boleh dilihat
ReplyDelete