CEO (2014)
“Swimming pool ni abang punya dik!” kata watak Sufian Abas dengan megah kepada rakan-rakannya dalam filem ini.
CEO (2014) ialah sebuah filem bikinan tempatan arahan oleh Razaisyam Rashid yang sudah dikenali di kalangan penggemar filem-filem bajet kecil sendirian berhad semenjak arahannya My Indie Rock Darling (2007) dahulu (sila cari di Youtube). CEO pula merupakan filem yang lebih komersial arahan beliau yang pasti melonjakkan lagi namanya.
Ringkasnya begini, CEO mengisahkan 2 jalur cerita dimana tunjang utamanya kisah watak Adam (Remy Ishak) dan kisah watak Sufian Abas (Beto Kusyairy) yang ‘bertukar status’ – kaya kepada miskin, miskin kepada kaya. Persoalan mudah dan umpan kepada penonton ialah apa penyebab dan kesudahannya? Filem komedi santai ini seronok dan best ceritanya. Anda wajar menontonnya di pawagam sekarang!
AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler.
Dari judul dan posternya, CEO nampak seperti sebuah drama korporat yang urban. Benar! Ia memang kisah tentang sebuah syarikat ALAM Group yang mengalami masalah dalaman melibatkan penyelewengan wang, tetapi konflik itu hanyalah pencetus sahaja secara permukaan tanpa diselami lebih mendalam. Filem ini sebenarnya kisah orang-orang yang terpalit dari skandal itu sehingga memberi bala atau laba kepada kehidupan seharian mereka iaitu Adam dan Sufian.
Penceritaan CEO bergerak berselang-seli di antara kisah Adam-Sufian yang kontras. Ia bermula dengan tenang dimana Adam dan Sufian melalui rutin pagi hari bekerja mereka. Semuanya berjalan lancar seperti sediakala. Adam seorang ahli korporat yang sangat berjaya, manakala Sufian seorang pekerja penghantar piza yang gembira dengan apa yang ada, se-adanya.
Kekalutan mula berlaku apabila Adam dipecat kerana tuduhan disyaki menjadi dalang kes kehilangan aset syarikat. Sufian pula dijadikan galang ganti menjadi CEO ‘bidan terjun’ setelah kononnya dia dikatakan pewaris tunggal syarikat itu yang diwasiatkan oleh pakciknya yang meninggal dunia.
Rezeki terpijak kepada Sufian itu mirip penipuan email fraud/scam yang mewariskan anda dengan harta kekayaan berjuta-juta kan? Namun kali ini, ia menjadi kenyataan kepada watak Sufian yang benar-benar menjadi jutawan dalam sekelip mata. Umpama si kudung mendapat cincin, Sufian menjadi rusa masuk kampung yang bergembira ria dengan harta-benda itu tanpa melupakan kawan-kawannya senasib dahulu yang kais pagi, makan pagi.
Adam pula yang tiba-tiba menjadi fakir miskin. Semua harta kekayaannya dirampas oleh syarikat, bagai sudah jatuh ditimpa tangga! Umpama habis madu, sepah dibuang oleh syarikatnya, dia tercampak ke lembah kemiskinan tahap kritikal sehingga terpaksa menjual apa sahaja yang mampu dijual pada tubuhnya yang sudah tinggal sehelai-sepinggang.
Filem CEO berasaskan kisah bromance yang menyorot kisah suka-duka persahabatan di antara lelaki yang jelas dipaparkan melalui hubungan watak Adam dan Aloy (lakonan hebat Anas Ridzuan). Adam yang awalnya skeptikal dan prejudis kepada luaran Aloy sebagai pemuzik jalanan yang sering dianggapnya mesti mengambil dadah, akhirnya memahami Aloy malahan mendapat pengajaran asas hidup yang sukar dalam situasi ekonomi yang begitu menghimpit di kotaraya. Begitu juga Aloy yang akhirnya sudi membantu Adam apa yang terdaya sedangkan dahulu dia pernah dihina oleh Adam.
Sekali lagi asas persabahatan bromance dalam kisah Sufian seperti dalam filem My Indie Rock Darling, dimana sekumpulan remaja lelaki yang akrab di babak-babak awal. Kehidupan seharian Sufian hanyalah happy go lucky & go with the flow bersama rakan-rakannya. Gadis-gadis hanyalah impian dan usikan mereka di pasar malam. Sufian mula memahami perempuan yang berkarisma setelah mengenali Nina (Cristina Suzanne). Nina menghormati Sufian sebagai boss berbanding Puan Suraya (Tania Zainal) iaitu majikan restoran piza yang sering memperlekehkannya.
Filem CEO ialah sebuah filem yang memudahkan perjalanan ceritanya seringan-ringan yang boleh walaupun menyumbatkan 2 cerita watak utama Adam dan Sufian yang sebenarnya banyak dan berselirat. Yang diutamakan ialah watak-watak yang menggerakkan kumpulan cerita masing-masing di pihak Adam atau Sufian. Ia diselamatkan dengan santai oleh momen-momen komedi oleh para pelakonnya.
Tidak dinafikan, saya memang terfikir tembusan lubang-lubang plot filem ini. Misalnya, Adam seorang CEO yang sangat hebat tidak mempunyai langsung walau seorang pun kawan atau keluarga terdekat yang mampu membantunya seolah-olah dia bekerja di negara asing yang jauh di perantauan. Sufian pula dalam sekejapan mampu menjadi seorang CEO yang sangat pandai menyelesaikan berbagai kertas kerja dari fail-fail urusan syarikat yang bertimbun.
Lohong-lohong cerita itu ditampal mudah dengan memberi asas perwatakan Adam yang sombong kepada pemuzik jalanan, Aloy dan si penjual kasut terpakai? Mungkin sebab itulah Adam hanya ada kawan semasa senang sahaja. Manakala memaparkan sedikit babak Sufian membetulkan buku kira-kira Puan Suraya di awal cerita memberi hint bahawa Sufian seorang pakar dalam ilmu perakaunan? Mungkin sebab itulah Sufian handal menyelesaikan kerja-kerja pejabat? Siapa yang tahu? Sudah tentulah penulis skripnya, Nazri M. Annuar ada jawapannya.
Beto Kusyairy sebagai Sufian Abas mengepalai kawan-kawannya Husin (Fasyali Fadzly), Reza (Naque Ariffin) dan Syai (Kirin Muhammad) yang luarannya nampak kutu tetapi jinak dan kelakar. Perwatakan Sufian berjaya dihidupkan oleh Beto melalui berbagai mimik muka dan bahasa tubuh yang naif dan bersahaja.
Sekali lagi, Remy Ishak melalui watak Adam memberikan pengulangan lelaki korporat seperti dalam filem Sejoli: Misi Cantas Cinta (2014) tetapi dalam situasi yang lebih tertekan dan baran. Christina Suzanne sebagai Nina seakan terikat dengan watak setiausaha yang berlegar dalam ruang pejabat sahaja. Manakala penampilan khas Deanna Yusoff dan Datuk Jalaluddin Hassan memantapkan barisan pelakon walaupun hanya watak-watak yang senang bagi mereka.
Wajah-wajah baru untuk filem arus perdana yang sebenar-benar menonjol dalam CEO ialah Anas Ridzuan sebagai Aloy, Mustaqim Mohamed Zaki sebagai Firdaus yang licik dan jahat serta Aloy Paradoks sebagai penjual kasut terpakai.
Latar mereka yang sudah lama bergiat dalam teater terbukti selesa dan menjiwai perwatakan umpama kemunculan Pyanhabib sebagai Osman Tikus dalam Kembara Seniman Jalanan (1986) dahulu. Setiap kali watak ketiga-tiganya muncul di layar, pasti mencuit hati. Apa kata kalau Nazri M. Annuar dan Razaisyam Rashid membikin filem spin-off watak ketiga-tiganya?
KESIMPULAN
CEO (2014) ialah sebuah filem bertih jagung tempatan yang menghiburkan tanpa memaksa untuk ketawa pada tempat yang kena. Walaupun mungkin ada yang berpendapat bahawa ia filem yang keliru di antara storytelling & storymaking namun bagi saya ia masih okay.
Saya berikan 4/5 Bintang.
*Juga diterbitkan @ ROTIKAYA
Comments
Post a Comment