Belenggu @ Barbarian Invasion (2022) : kisah hidup yang meniru fiksyen yang menekap kehidupan yang berasal dari dunia rekaan?
Sinopsis : baca di dahuangpictures
Filem ini tak berapa laku di pasaran tempatan kerana mungkin ia seolah tiada tarikan komersial sedap untuk dikunyah oleh penonton yang laparkan nilai hiburan lazat yang mampu dihidangkan di antara lambakan masakan filem tempatan dan antarabangsa ke penghujung tahun 2022, walaupun dari trailernya sudah mencuba sedaya-upaya dipromosikan dari gambaran sebuah filem aksi penculikan anak! Itu realitinya.
Jadi, adakah kegagalan jualan tiket itu sebagai petanda ceritanya juga tak best?
Belenggu ialah sebuah filem di dalam filem di sebalik tabir sesebuah pembikinan filem seperti Layar Lara (1997), Dollah Superstar (2014), Terbaik Dari Langit (2014) dan Bikin Filem (2020). Separuh penceritaan awal memaparkan 'pra-produksi' iaitu persediaan susah-senang seorang pelakon utama; Lee Yoon Moon (Tan Chui Mui) dan seorang pengarah filem veteran; Roger Woo (Pete Teo) serta individu terdekat mereka. Manakala separuh lagi penceritaannya memaparkan proses 'penggambaran' filem yang sedang dibikin dan 'pasca-produksi' yakni suntingan filem itu nanti (bahagian kedua ini yang menarik untuk diulas sebab ia ada 2 interpretasi).
Kisah dibuka dengan memperkenalkan Moon yang kelihatan berfikiran di awangan bersama anaknya; Yu Zhou (Nik Hadiff Dani) yang hiperaktif - kontras seakan air dan api. Kiranya paras hero's journey Moon di tahap permulaan cerita serabut kepala otak, lemah. Namun setelah kita mengenali siapakah Moon dari sembang-sembang dengan Roger, baru kita faham bahawa Moon pernah popular dijulang sebagai seorang pelakon wanita hebat di zaman bujangnya dahulu. Roger pula, seorang pengarah yang telah membikin filem-filem terbaik yang juga kebergantungan simbiosis dengan Moon sebagai aktres utama dalam setiap karyanya sebelum ini.
Persoalan kehendak tunjang di awal cerita ialah adakah Moon dan Roger mampu sekali lagi mengulang kejayaan lampau melalui gabungan bakat mereka? Atau adakah mereka sepatutnya sudah berhenti berkarya dan tinggalkan sahaja kegemilangan masa lalu sebagai gelaran yang kekal diiktiraf selama-lamanya oleh pencinta filem? Baca: benda ni akan dilalui oleh semua orang dalam apa juga bidang dimana di satu tahap usia, kita akan berada di persimpangan pilihan: teruskan apa yang kita buat dan hasilnya semakin bagus atau jahanam; ATAU bersara untuk habiskan sisa-sisa hidup bersama keluarga dan bersedia untuk meninggal dunia. Orang kata 'move on' lah kiranya.
Belenggu sejenis filem yang diberikan petanda dari soalan Moon kepada Roger "Adakah kita membikin filem semirip filem-filem arahan Hong Sang-soo?" iaitu filem mengenai domestic realism katanya. Itulah garapan Tan Chui Mui sebagai pengarah filem ini. Kita mengikuti perjalanan turun-naik 'character driven' oleh Moon yang menggerakkan cerita. Setiap pilihan Moon bermula dengan permintaan dari Roger yang susah nak ditolak dan sukar untuk direalisasikan. Roger hendak membikin sebuah filem aksi fizikal ala The Bourne Identity (2002) sedangkan filem-filem mereka sebelum ini mungkin bergenre drama sahaja? Moon kena berlatih ilmu mempertahankan diri sebab Roger tak nak guna 'body double' untuk babak pergaduhan. Roger dan Moon merisikokan bakat mereka untuk kononnya buat 'comeback' yang lagi hebat. Susah ya amat kot?
BERSAMBUNG..
Comments
Post a Comment