The revelation of true character in contrast or contradiction to characterization is fundamental to all fine storytelling. Life teaches this grand principle: What seems is not what is. People are not what they appear to be. A hidden nature waits concealed behind a facade of traits. No matter what they say, no matter how they comport themselves, the only way we ever come to know characters in depth is through their choices under pressure. - STORY by Robert McKee [pg.103]

Salaam..

Ini sebuah filem yang benar-benar saya ikuti ceritanya dari awal ke akhir seolah-olah tidak mengizinkan saya untuk menguap atau membelek telefon bimbit bagi membaca sms yang masuk! Sejujurnya saya kurang gemar menonton filem sebegini yang adakalanya sunyi-sepi tanpa sebarang bunyi atau muzik latar TETAPI filem yang ini saya 'masuk' ke dalamnya dan terhibur! Juga saya tidak ambil peduli sangat sekiranya ada pengkritik atau penonton lain yang mahu mengatakan filem ini berbaur sedikit sindiran sesama kaum? Saya tak kisah! Bagi saya TIADA beza seandainya filem ini dituturkan dalam bahasa Jerman atau Perancis kerana yang saya mahu kisahkan ialah ceritanya.

Filem ini memilih 5-6 hari dari kisah rutin kehidupan seharian Ma Li Ahn (@Azman), Ma Li Ohm (@Azmi) dan bapanya Ah Sui. Itu sahaja! Siang.. malam.. siang.. dan malam berulang-ulang. Seronoknya ialah apabila dalam durasi masa itu mereka melalui perihal-perihal baru hari demi hari. Di bahagian awal naratif filem ini ia terpecah kepada 2 cerita parallel storytelling: kisah 2 beradik dan bapa mereka. Masing-masing bergerak ke depan pada waktu yang sama dimana hanya berselisih di rumah mereka sahaja di waktu malam. Itu pun tiada komunikasi lisan!

cerita 1 - Ma Li Ohm & Ma Li Ahn

Sangat-sangat kiut! Cerita mereka mengajar erti kasih-sayang adik-beradik yang menginsafkan. Ia adalah refleksi hubungan yang jujur tidak kira apa jua rintangan. Mungkin kisahnya agak terlebih-lebih macam dongeng kerana hidupnya kanak-kanak ini seperti hanya ada 5-6 hari sahaja? Maksud saya, ulangan rutin mereka selama durasi filem ini menjengkelkan saya bila difikirkan semula. Setiap putaran hari bersekolah mereka ada benda baru yang akan memuncakkan satu klimak di penghujung hari terakhir filem ini. Seperti dongeng bukan? Tetapi kerana ini adalah dunia dalam sebuah filem, maka rentetan setiap insiden yang mereka lalui diterima-pakai untuk membulatkan sebuah penceritaan. Kisah dua beradik ini adalah kebusukan dari pelarian tanggungjawab penuh bapanya Ah Sui sebab itulah mereka suka bermain di tepi longkang dan kolam kumbahan. Mereka adalah mangsa. Mereka bukan sampah yang sukarela. Hadirnya Ayu/Atan adalah simpati dan harapan. Saya melihat secara ringkasnya naratif 2 beradik ini sebagai amaran kepada kekhayalan setiap orang yang bergelar penjaga.

cerita 2 - Ah Sui

Loser? Mungkin itu ringkasan hidup Ah Sui. Ia adalah cerita tentang kehilangan soul dan passion seorang lelaki duda. Manakala Mamat pula ialah kemeriahan rumahtangga yang sebenar walaupun ada ketikanya Mamat sendiri membebel pasal hal-hal kewangan keluarga barunya. Ah Sui sentiasa mengelak soal seksualiti sedangkan kontradiksi kelilingnya ialah patung-patung wanita bogel. Mungkin itu zahir yang saya nampak tetapi saya dapat rasakan bahawa Ah Sui sebenarnya memberhentikan pencarian cinta atau seks pengganti kerana terlalu kasihkan isterinya yang sudah mati sehingga sanggup menelan keratan gambar? Itulah kulit Ah Sui yang dilihat orang setiap hari. Tiada siapa yang tahu apa isi sebenar dalam hatinya. Inilah peringatan dari filem ini kerana sikap ketunggulan emosi dan diri Ah Sui perlu dibayar oleh anak-anaknya yang terbiar setiap hari. Kasihan!

cerita 1 + cerita 2

Yang paling saya suka ialah titik sentuh kedua-dua cerita iaitu pasal 'makanan' - anak sediakan bubur nasi+telur, bapa buang kerana basi, manakala bapa belikan nasi bungkus, anak buang juga kerana basi! Lagi satu ialah 'selimut' - selagi anak-anak tidak pergi ke sekolah, bapa kesejukan tanpa selimut! Air yang semakin kosong dan kosong dalam cerek di dapur adalah set-up yang akan mengakibatkan tragedi di akhir-akhir cerita sebagai pay-off yang juga penyambung terus kedua-dua cerita. Eh! Sekejap erk! Actually cerita diaorang bertembung di sekolah bila Ah Sui dipanggil mengadap guru besar kerana kes disiplin Li Ahn dan Li Ohm. Sorry! Bermula dari titik ini, saya mula fahami bahawa keluarga ini pernah bahagia dan tidak mustahil mereka akan terus bahagia dengan syarat semuanya bergerak serentak bukannya berasingan. Maksud saya, Ah Sui mesti kembali sebagai bapa. Kalau perlu, dia juga wajib mencarikan ibu pengganti merangkap isteri barunya. Kadangkala kita sangkakan bahawa kita mampu sebenarnya kita kaku dan beku!

cerita-cerita lain

Asasnya filem ini hendak bercerita tentang keterbengkalaian sebuah keluarga apabila hilangnya salah satu tiang rumahtangga iaitu isteri/ibu. Ia adalah cermin akibat bagi institusi kekeluargaan yang runtuh kerana perceraian atau kematian. Inilah hasilnya wahai penonton! Anak-anak terbiar. Maskuliniti kaum lelaki/bekas suami jadi kacau-bilau! Namun begitu, dari subplot ibu tunggal/ibu Ayu membuktikan juga kadangkala kaum hawa masih mampu meneruskan hidup menyara ibu sendiri (cameo Mak Inom) dan anaknya Ayu (@Atan). Oh ya! Watak Ayu/Atan mengingatkan saya kepada watak Orked dalam Mukhsin (fyi Amira Nasuha ialah 'budak mulut jahat' dalam Mukhsin!). Ketunggalan ibu Ayu dan ke-tomboy-an Ayu/Atan seolah-olah subtext yang mereka adalah lelaki-lelaki sdn. bhd. lengkap dengan potongan gaya rambut yang pendek. Lihat juga subplot cikgu yang memarahai Li Ahn dimana anaknya berpenyakit down-syndrome seakan menempelak sifat hipokrasi masyarakat.

Filem ini juga cuba 'berbaik sangka' sesama kaum. Contoh muhibbahnya Ayu/Atan dengan 'Azman' dan 'Azmi' rekaannya seakan harapan bangsa Malaysia yang tiada prasangka sedari kecil lagi. Dunia kanak-kanak memang bersih kerana mereka hanya mengenal rupa dan nama bukannya bangsa dan darjat. Comelnya filem ini bila Li Ahn menerangkan apakah bezanya 'tudung' dan 'songkok' kepada Li Ohm. Moleknya juga bila Ayu/Atan sanggup merenangi kumbahan hanya untuk 'memancing' perkenalan dengan Li Ahn dan Li Ohm dengan berumpankan seekor ikan! Si anjing bernama Happy adalah pengikat hubungan kawan mereka walaupun Ayu/Atan terpaksa bertopi keledar dan bersarung tangan! Ia membuktikan keikhlasan dan kejujuran sebuah persahabatan. Hendak seribu daya! Ia memberikan petanda bahawa komunikasi 2 dunia yang berbeza boleh berlaku dalam zon selamat. Wah! Sekarang saya dah macam buat ceramah kat kem Latihan Khidmat Negara budak-budak lepasan SPM pulak! Huhu!

rumusan

Filem ini mahu berkata: "regardless of what happens.. the show must go on!"

pautan: http://www.dahuangpictures.com/blogs/hana.php

*pergilah tonton filem ini di GSC Mid Valley, KL sementara tayangannya masih ada! berbaloi beb!