Khunsa (2024) - episod 1 hingga 4
Oleh: Ajami Hashim, 17 Mac 2024, 5:15 AM
"Macam mana kalau satu hari nanti adik sebenarnya tak nak jadi lelaki? Macam mana kalau adik nak jadi perempuan? Abah boleh tukar balik ke?"
Soalan bertimpa-timpa itu daripada Along @ Che Timah (Puteri Qaseh) kepada abahnya, Wan Jusoh (Azhan Rani) dalam episod 4 ialah persoalan terbesar tunjang utama sekaligus menjadi asas konflik penceritaan siri Khunsa ini.
NOTA: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi Spoiler!
Isi Cerita.
Tajuk Khunsa itu ada 2 benda/lapisan; makna secara harfiah perkataan 'khunsa' itu sendiri dan gabungan nama Che Khun dan Che Nisa. Walaupun saya membaca kredit nama-nama watak sehingga episod 4 tiada nama Che Nisa (atau saya terlepas dengar dan terlepas pandang?) Jadi siapakah Cik Nisa?.. kita tungguuulah episod seterusnya hehe..
Montaj kredit pembukaan juga bermain dengan suntingan nama-nama yang sengaja dipaparkan bergulung-gulung itu tanpa bentuk font yang penuh mungkin secara subtle (atau kebetulan entahlah..) mengalu-alukan kedatangan penonton memasuki kisah yang tiada bentuk lengkap sempurna atau grey area ke dalam kisah Che Khun dan semua orang di sekelilingnya.
4 episod pertama Khunsa secara perlahan-lahan memecahkan dan merebakkan jalur cerita untuk mendalami permulaan punca, aksi dan reaksi daripada siapa kepada siapa?
Peneraju naratif bersifat ya amat aktif ialah watak Jusoh yang menggerakkan cerita secara character-driven yang sangat dominan "ikut cakap aku sahaja!". Jelas ketara Jusoh bergaduh dengan dalaman dirinya sendiri di akhir episod 1 dalam kereta sebelum meneruskan perjalanan ke hospital untuk melakukan suatu keputusan yang amat genting dan kontroversi kepada watak bayi, Che Khun - dimana kemunculan 'roh' watak Munah (Nadia Aqilah) ialah dwi identiti subconscious dirinya sendiri. Keputusan untuk memuktamadkan keinginannya ialah pilihan mutlak secara berdikari - bukan kerana permintaan Munah atau sesiapa pun.
Tumbesaran watak Che Midah (Salsa Cella dan Farah Nadiah) pula ialah watak cerminan copy-paste kepada Jusoh yang juga seorang pemberontak hiperaktif sangat menarik diikuti. Killer-instict oleh Che Midah di babak bilik tidur bayi, Che Khun di penghujung episod 2 sangat menggerunkan kerana dia seumpama lava gunung berapi yang mula menggelegak dalam diam, menunggu masa hendak meletup!
Saya yakin Zaiton (Sherry Alhadad) ialah watak katalis sangat penting untuk episod seterusnya walaupun di mukadimah episod-episod awal dia melangkah masuk ke dalam cerita dengan aura lucu. Begitu juga watak-watak sempadan atau berkepentingan sebagai individu semak dan imbang kepada Jusoh iaitu Long Hawa (Laila Nasir), Long Hassan (Jeri Jamalullail) dan Along @ Che Timah (Puteri Qaseh dan Puteri Jannah) sekiranya mereka tiada - mungkin Jusoh lebih membuak-buak kegilaan kehendaknya. Cuma watak Uda @ Che Ani (Haura Jamalullail dan Kikyhannah) yang agak pasif dalam keempat-empat episod.
Watak-watak humor Tuyah (Ezu Hashim) dan Sarimah (Zarina Zainoordin) sangat membantu untuk mengendurkan ketegangan penceritaan siri Khunsa yang menelusuri subjek berat. Manakala watak Bakri (Rafique) sudah diberikan petanda awal sebagai perisai kepada Che Khun untuk menahan sepak-terajang yang bakal tiba di pengkisahan seterusnya.
Watak Che Khairun bin Wan Jusoh @ Che Khun yang digalas oleh Mikael Noah di fasa mentah kisah ini, sangat bagus menjiwai permulaan kekeliruan dalaman diri Che Khun yang sukar difahaminya dan mencambahkan benih-benih secara tanpa sedar untuk menentang kehendak Jusoh. Ada 1 babak di episod 4 yang sangat beremosi semasa Che Khun bertanya kepada Along @ Che Timah (yang sangat baik lakonan Puteri Jannah) "Adik cantik macam mak tak?" yang mungkin anda akan mengalir air mata hehe..
Struktur Cerita.
Permainan naratif Shahrulezad sangat licik dan halus untuk memudahkan serta mempercepatkan pemahaman penonton dengan menyempadani penceritaan non-linear siri Khunsa melalui si pencerita atau narrator watak Naem (Zarif Ghazzi) dan si pendengar dan orang asing watak Ezad (Megat Sharizal). Naem berkongsi mata, telinga dan rasa dengan kita, manakala Ezad mewakili kita sebagai penonton. Watak Ezad juga secara 'meta' ialah diri Shahrulezad yang bermain tarik-tali semasa proses menghadam dan mencipta dunia Khunsa yang akan diceritakan dalam garapan realiti dan lesen kreatif beliau.
Pengunduran kisah Khunsa dari era tahun 70an secara bercerita dan berehat oleh sembang Naem dan Ezad mengingatkan saya kepada filem Life of Pi (2012) dan filem The Notebook (2004). Cuma bezanya Naem bukan watak orang pertama yang mengalami semua kejadian imbas kembali itu kerana dia hanya mendengar cerita dari mulut ibunya, Che Timah. Walaupun kadangkala penceritaan voice over oleh Naem bila difikirkan semula agak meragukan juga kerana dia mampu mengetahui semua rentetan hidup orang lain misalnya rahsia hidup Zaiton dan ada juga babak dimana Naem bercerita perasaan dalaman Jusoh yang seorang diri - namun ia bukan sesuatu yang mengganggu penontonan.. cuma saya yang terlebih fikir.. sokay Ijat! hehe..
Siri Khunsa semuanya ada 28 episod, setiap minggu ditayangkan 4 episod, maka bermakna ada 7 minggu kronologi penceritaan siri ini seperti kebetulan kelaziman penulisan skrip yang dipecahkan kepada seven-act-structure atau seven-point-story structure. Untuk mengulas siri berantaian sebegini saya memilih untuk mempukalkan penontonan secara mingguan dimana blok pertama 4 episod (act 1) ialah pengenalan latar siapakah watak-watak dan trigger-point/hook/set-up konflik masing-masing kepada penonton untuk mengenali mereka supaya baki penceritaan panjang Khunsa mudah diikuti turun-naik emosi kisah penuhnya.
Sekian, terima kasih.
Wah Ajami blogging balik ke?
ReplyDelete