TERIMA KASIH CINTA (2011) ~ teater muzikal atau konsert muzikal?
Salaam..
Teater muzikal Terima Kasih Cinta (2011) ialah adaptasi dari filem Cinta (2006). Naratif asasnya serupa iaitu 5 segmen kisah tentang konflik dan resolusi persoalan 'cinta' yang berkaitan di antara satu sama lain. Bila saya katakan ia adalah 'adaptasi' sudah tentu perbandingan dan persaingan di antara kedua-dua format persembahan mungkin ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Secara peribadi, saya hendakkan kedua-duanya berdikari sendiri sebagai sebuah penceritaan yang boleh ditonton dan difahami oleh khalayak walaupun tidak menonton salah satu daripadanya.
Ya! Ia adalah cerita yang sama dengan struktur 'parallel storylines' dan 'ensemble cast'. Kelebihan filemnya dahulu ialah kronologi penceritaan yang dicantikkan dengan sinematografi dan suntingan yang sangat kemas untuk menjalinkan hubung-kait setiap plot cerita yang awalnya berpecah-pecah dimana akhirnya bercantum/bertembung/berpusat di babak hospital. Manakala teater muzikal ini pula hanya ada sebuah pentas yang statik untuk bercerita naratif asalnya dahulu dengan tambahan elemen muzikal. Ia adalah adaptasi seperti juga teater Sri Mersing dari filem ke persembahan pentas. Persoalannya mampukah teater ini 'bercerita' sebaik atau lebih baik dari filemnya dahulu?
Kelebihan utama teater muzikal ini ialah majoriti para pelakonnya ialah dikalangan penyanyi yang bagus menyanyi. Tambahan lagi setiap gubahan semula lagu yang dinyanyikan di sepanjang persembahan ialah lagu-lagu pop/rock/sentimental/evergreen yang sememangnya sangat popular dan kebiasaan didengar oleh khalayak seperti juga elemen dalam filem Moulin Rouge! Kombinasi populariti dan komersialisme si penyanyi/pelakon dan lagu nyanyiannya sudah tentu akan menyeronokkan dalam babak-babak muzikal. Pembezaan setiap pasangan mengikut warna yakni jingga, biru, hijau, merah hati dan kuning juga memudahkan pemecahahan mengikut plot konflik masing-masing.
Set pentas ala almari buku 'ikea' dengan 6 blok besar tetap dengan props ala 'industrial look' yang hanya digerakkan ke depan (close-up) atau ke belakang (zoom-out) memang kelihatan unik di awal-awal babak. Namun begitu lama-kelamaan ia menjadi seakan limitasi yang kekal kepada pergerakan para pelakon dan perkembangan perwatakannya. Cuma ada satu babak sahaja dimana set 'tangga' di masukkan ke tengah pentas untuk babak Dani (Anding) dan Dian (Deja). Koordinasi pencahayaan untuk setiap babak mengikut watak dan blok ini sangat-sangat penting untuk menjuruskan penumpuan penonton, cerita mana yang hendak diikuti? Ini kerana kadangkala serentaknya kesemua blok dihuni oleh para pelakon.
Kembali kepada soal adaptasi. Pengkarya sememangnya berhak untuk mengubahsuai, menokok-tambah, membuang terhadap plot atau perwatakan asal untuk kreativiti yang bersesuaian dari filem ke teater. Walaubagaimanapun, ada beberapa babak penting dramatik dalam filem Cinta misalnya babak Cikgu Elyas (Latif) kembali 'siuman' bila memanggil Amin (Diddy) sebagai 'Amin' di hadapan Rubiah (Safura) dikreatifkan menjadi babak komedi bersahaja? Begitu juga penampilan watak Dani yang lebih bertenaga lincah dan stylish berbanding watak asalnya sebagai seorang pelukis jalanan yang introvert dan lemah fizikal?
Teater ini seboleh-bolehnya hendak kelihatan urban dan moden. Ia juga melebihkan babak-babak nyanyian yang sememangnya merdu didengar. Pujian wajar diberikan kepada kesungguhan kesemua para penyanyi yang gigih untuk berlakon. Walaupun ada ketikanya bahasa tubuh dan perwatakan berdialog mereka agak janggal, tetapi segmen nyanyian mereka sememangnya bagus. Kalau ada dijual kompilasi cd original soundtrack dari teater ini juga saya pasti membelinya. Semakin lama pementasan ini, semakin kuat desakan dalam hati saya seumpama mahu mempercepatlan babak-babak berdialog untuk segera mereka menyanyi sahaja.
Apakah TKC sebuah teater yang menghiburkan? Ya!
Adakah saya akan menonton lagi? Mungkin!
Adakah ia sebuah persembahan yang sangat bagus dari segi penceritaan? Ermmm...
"Dani memiliki darah yang unik!" kata doktor kepada Dian mengenai jenis darah Dani :)
*ulasan lain: darimejastabux
ade juga darah unik ye..
ReplyDeletetp, buat mereka yg belum tgok filem cinta adakah dpat faham jalan ceritanya dr segi teaternya. nasib baik sy sanggup bersengkang mata pada malam sebelum melihat persembahan semata2 mahu melihat filem CINTA ini agar dapat bergerak seiring dgn teater.=)
Terima kasih Ajami atas ulasan. Kalau cast yang boleh menyanyi, berlakon dan menari atau bergerak, dengan jalan cerita yang baik, sudah tentulah boleh dipanggil muzikal. Kalau benar ianya sebuah muzikal yang baik, org tak perlu menonton filem dulu sebelum menonton muzikal kerana penceritaannya harus cukup untuk difahami.
ReplyDelete