Salaam..

Katanya ia adalah sebuah persembahan bangsawan? Mungkin kerana ceritanya mengenai kisah zaman dahulukala yang berbabak-babak? Agaknya juga dengan kewujudan 'extra-turn' atau segmen tirai dilabuhkan untuk penukaran prop dimana penyanyi undangan menyanyi di depan tirai (seperti yang diberitahu oleh Que Aril dan Sobri Anuar) ialah struktur sebuah persembahan bangsawan? Saya hanya terima sahaja. Namun pada pendapat saya, ia masih seperti sebuah persembahan teater muzikal mengikut label yang dipopularkan oleh Istana Budaya..hahaha!

Saya beruntung dapat duduk di barisan hadapan sekali (terima kasih Chekem Mirza) berdekatan dengan band pemuzik. Saya memang akui bahawa iringan muziknya sangat bagus. Cuma sistem audio untuk mikrofon Que Haidar dan Abby Nadzri semasa babak 1 kurang berkualiti dimana sukar untuk saya menangkap butiran isi nyanyian mereka. Usaha merealisasikan suasana dalam istana, pekan dan bahtera dengan hanya lukisan besar sebagai backdrop dan binaan yang ringkas juga baik. Dalam ertikata lain, pentas yang agak sempit di Panggung Bandaraya itu berjaya ditukar-tukarkan mengikut keperluan setiap babak.

Naratif bangsawan itu secara asasnya hampir serupa dengan kisah nasib Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang. Laksamana Cheng Ho tersepit di antara kehendak peribadinya sendiri yang menyintai Puteri Ang Di Po atau mengikut perintah Maharaja Meng untuk 'mengkenenkan' puterinya itu dengan Sultan Melaka. Why??? Sefaham saya dari penontonan malam tadi ialah golongan askar tidak layak berkahwin dengan golongan raja iaitu antara 2 darjat sosial yang memang tidak boleh. Itu sahaja. Maka untuk mengelakkan daripada berlakunya percintaan terlarang itu, dengan rela hati (dan tak mati) si Laksamana Cheng Ho telah memotong kemaluannya sendiri lalu diberikan kepada Puteri Ang Di Po untuk menyatakan pendiriannya bahawa "aku reject kau dan awek-awek lain yang bakal mengorat aku di masa akan datang sebab aku sangat setia kepada Maharaja Cheng! reti?"

Saya juga merasakan bahawa tajuk bangsawan ini boleh juga di panggil Bangsawan Maharaja Meng kerana arah tuju penceritaannya lebih menjurus kepada betapa berkuasa dan cerdiknya beliau dalam mentadbir keluarga, istana dan negaranya. Maharaja Meng ialah penggerak sebenar naratif persembahan ini. Perwatakan Laksamana Cheng Ho pula lebih kepada simbolisme seorang pengikut yang sangat setia dan amat menghormati kehebatan Maharaja Meng itu.

Ada 6 babak yang mengisahkan perjalanan naratif yang sangat ringkas tetapi dipanjangkan berjela-jela. Pada mulanya saya rasa seakan menonton sebuah persembahan Opera Cina yang di-dubbing dalam bahasa Melayu seperti menonton siri Oshin..haittt! Maklumlah keseluruhan kostum pelakon adalah bercirikan extravaganza warna-warni bereksesori berjurai-jurai berkilau-kilat seperti sebuah pameran fesyen ala-oriental? Samada ia benar-benar merujuk kepada pakaian istana di zaman itu atau tidak, entahlah. Tetapi memang cantik dan mengasyikkan sehingga kadangkala saya mula terlalu memerhatikan ciri-cirinya? Sehingga saya mula terfikir bahawa penciptaan 'table runner' mungkin idea asalnya datang dari pakaian golongan bangsawan maharaja dulu-dulu? Itu belum lagi apabila saya mula mengira jumlah biji-biji berwarna oren pada 'headgear' di atas kepala Maharaja Meng iaitu ada sebanyak 7 biji semirip limau Mandarin untuk sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba?..haish!

Saksikanlah malam terakhir persembahan Bangsawan Laksamana Cheng Ho di Panggung Bandaraya pukul 8.30 malam ini! Masuk PERCUMA! Yay!

*rujukan: daribahawahbayu.blogspot.com
*ulasan: que23 * singgahsanasini *