NATRAH (2010) ~ pementasan ala telefilem?

*teater Natrah (2010) dilanjutkan sehingga 7 Dis '10

Pengarah: Eirma Fatima
Genre: melodrama bersejarah
http://www.istanabudaya.gov.my/teater_natrah

Saya tidak dapat mengelak dari membandingkan di antara kedua-dua persembahan teater Natrah 2009 dengan Natrah 2010. Yang paling ketara ialah ketiadaan Samantha Schubert untuk watak Adeline Hertogh yang kini digantikan dengan Susan Lankester. Bukan untuk menidakkan kemampuan Susan, tetapi sejujurnya saya berpendapat bahawa kekuatan utama pertembungan konflik di antara watak Aminah lakonan Umie Aida dengan watak Adeline ialah kerana dahulunya dilakonkan oleh Samantha dengan begitu meyakinkan dan dramatik. Namun begitu, Natrah 2010 masih punyai kekuatan (dan kelemahan) tersendiri yang wajar dibanggakan oleh semua kru produksinya di bawah arahan Eirma Fatima :-)

Natrah 2010 masih mengekalkan melodrama yang hanya berlatarkan sejarah sebagai sandaran era dan rangka sahaja. Malahan naratifnya kali ini lebih terasa longgar untuk tidak bersifat 'dokumentari'. Maksud saya, kronologi naratifnya tidak ubah seperti menonton pementasan ala telefilem lengkap dengan montage di layar latar yang mirip di televisyen (nota: montage itu dalam format 4:3 yang agak menjengkelkan saya bila ditayangkan dalam format 16:9 'stretched picture') Babak demi babak seperti boleh-ubah muat sekiranya hendak diadaptasi dari skrip teater ke telefilem (atau sebaliknya) yang berselang-seli 'cut to' / 'inter-cut to' / 'fade in' / 'fade out' / etc etc..

Natrah kali ini adalah dalam penceritaan linear bermula dengan penyerahan (peminjaman) Natrah oleh Adeline kepada Aminah berbanding Natrah 2009 yang dibuka dengan babak di mahkamah lalu disambung secara non-linear di tengahnya. Ciri ke-teater-an persembahan ialah dengan selang-seli beberapa babak monolog dari Natrah (Sofia/Maya/Syarifah Sofea/Lufya), Aminah (Umie), Adeline (Susan), Mansor (Remy), Ahmad Ibrahim (Fizz). Begitu ramai watak yang hendak bermonolog sehingga kadangkala saya rasakan semua orang hendak meluahkan apa yang terbuku di hati masing-masing atau perebutan limelight? Tambahan monolog 3 generasi Natrah (Maya/Syarifah/Lufya) serentak di pentas yang tiada dalam Natrah 2009 saya akui sangat penting sebagai plot tambahan respons Natrah kepada Mansor. Namun secara peribadi saya rasakan lebih baik seandainya Maya sendiri 'didewasakan' penampilannya untuk bermonolog? Tapi mungkin juga 'the more, the merrier' dan lagi meriah kot?

Teater Natrah juga terasa sangat-sangat komersial dengan kemunculan sebahagian besar pelakonnya ialah bintang ternama dan popular di televisyen mahupun filem. Ia elemen pemancing untuk meramaikan penonton ke Istana Budaya. Bagus! Impaknya kepada sebuah persembahan teater secara tidak sedarnya ialah penceritaan dari lakonan mereka (intonasi, bahasa tubuh etc etc) hampir menyamai seperti menonton babak-babak dari televisyen dan filem. Saya tidak hairan dan sudah tentu salut kepada kemampuan mereka. Maka apabila segerombolan pelakon yang sudah biasa saya saksikan (dan kagumi) di televisyen atau layar lebar akan menimbulkan perwatakan yang kurang saya kenali menjadi ke depan. Misalnya watak Saodah lakonan Norsiah Yatim.

Secara keseluruhannya apakah teater Natrah berjaya menyatakan sesuatu? Eirma mencampakkan semuanya kepada khalayak untuk menginterpretasikan posisi mana yang kita hendak pilih. Ia adalah karya fiksyen dari sebuah rentetan kehidupan sebenar seorang wanita bernama Natrah yang bersejarah. Ia bukan hendak menyalahkan sesiapa kerana semua watak mempunyai motif tersendiri yang menyebabkan mereka bertindak sebegitu. Siapakah yang paling berhak untuk menjadi penjaga terbaik untuk Natrah? Aminah atau Adeline? Siapakah juga yang berhak untuk menentukan kehendak dan kerelaan beragama kepada seseorang individu lain? Kurungan atau kebebasan? Set 'tembok berpintu besar' di penutup teater ini adalah konklusi yang tiada kepastian secara 'off-screen' apa yang sebenarnya pilihan Natrah di sebaliknya?

*baca: ulasan Natrah (2009)

Comments

Post a Comment

Popular Posts