SHORT EYES (2011) ~ cerita dalam celupar?
Short Eyes ialah sebuah naskhah teater tulisan Miguel Piñero (1974). Ia pernah difilemkan malahan mungkin sudah berkali-kali dipentaskan semula di serata dunia mengikut acuan masing-masing. Kali ini adaptasinya dilakukan oleh RAT sekali lagi (saya tak berpeluang menonton Short Eyes versi 2010 dahulu).
Lokasinya sebuah penjara. Watak-wataknya terbahagi secara mengikut bangsa dan karier:
1. negro: Ice (Nam Ron), El Raheem (Eyzendy Aziz), Omar (Fared Ayam)
2. puerto rican: Juan (Khairunazwan Rodzy), Paco (Khairil Ridzuan K'N), Cupcakes (Naque Ariffin)
3. caucasian: Longshoe Charlie Murphy (Taiyuddin Bakar), Clark Davis (Zahiril Adzim)
4. pengawal penjara: Mr. Nett (Xavier Fong), Captain Allard (Faisal Mustaffa)
Sinopsis: theactorsstudios & rumahanakteater
Set pentas yang minimum dengan hanya pangkin-pangkin sebagai blok bilik penjara individu serta 3 set meja dan kerusi juga toilet-bowl di satu sudut. Pencahayaan yang memancarkan bayangan jaring-jaring sebagai simbol penjara juga sudah memadai untuk persembahan ini.
Barangkali soalan pertama yang muncul di fikiran saya ialah apakah keistimewaan sebenar untuk pementasan adaptasi karya yang sudah diketahui jalan cerita asasnya sehingga RAT mahu mementaskannya semula? Jawapannya ialah lesen kreatif pengarah Fared Ayam dan pengarah kreatif Nam Ron yang boleh mengubahsuai isi dialog semua perwatakan menyentuh perihal terkini semasa.
Walaupun kisah besar Clark Davis masih menyusuri naratif asalnya mengenai seorang pesalah atas tuduhan merogol kanak-kanak, tetapi dialog-dialog watak lain menempiaskan perihal yang berbagai-bagai. Saya tidak dapat mengelak dari teringatkan filem Under Suspicion (2000) yang juga adaptasi dari filem Perancis - Garde à vue (1981) yakni adaptasi dari buku Brainwash oleh John Wainwright (1977). Tetapi tak mustahil juga buku itu diinspirasikan dari Short Eyes karya oleh Miguel Piñero (1974) bukan?
Kekuatan sebenar teater Short Eyes ini ialah para pelakon ensemble yang kesemuanya memberikan persembahan lakonan sangat berkualiti yang menjiwai setiap perwatakan dengan jujur dan boleh dipercayai. Saya tidak akan menamakan sesiapa yang lebih menonjol dari siapa kerana kesemuanya sudah memberikan lakonan yang terbaik. Dengan itu kesemuanya mendapat 'standing ovation' secara peribadi dari saya! Tepukkk!
Saya terpaksa akur dan akui bahawa bahasa kesat yang bagai bertih jagung semasa dialog di antara sesama watak di sepanjang pementasan ini ialah bahasa pertuturan kasar yang biasa di dalam dunia penjara. Khalayak sedar bahawa cara percakapan mereka itu menzahirkan siapakah setiap watak yang berbeza-beza latar kesalahan masing-masing. Provokatif dan provokasi ialah permainan yang digunapakai sehabis maksima dari setiap pelakon kepada khalayak. Ia benar-benar seboleh-bolehnya mahu bersandarkan latar realisme dalam sebuah penjara agaknyalah?
Teater ini mungkin kedengaran kuat sindiran pro-perkauman dan prejudis yang tidak terkawal tetapi pada waktu yang sama khalayak seakan mengiyakan itulah hakikatnya. Setiap dialog yang tak bertapis dan lancang sebenarnya menyelindungkan tohmahan dan kritikan yang berlapik dan berlapis. Apa yang berlaku di luar dan di dalam dunia penjara itu ialah analogi perihal di dalam masyarakat setempat samada sosial dan politik cuma ia tidak secara terus dan tepat.
Mungkin perjuangan RAT ialah menyuarakan rasa tidak puashati dan leteran yang hanya mampu mereka luahkan dalam sebuah persembahan teater. Saya tidak kisah kerana sebagai sebuah pementasan berbayar, ia adalah suatu 'hiburan' seni yang berbaloi. Saya salut keberanian dan kesungguhan ahli RAT. Terbaik setakat ini untuk teater di tahun 2011!
* Short Eyes masih ada 2 tayangan iaitu Sabtu, 19 Mac, 8.30pm & Ahad, 20 Mac, 3pm di The Actors' Studio, Lot 10 untuk tempahan tiket sila hubungi 0321422009 atau 0321432009
*ulasan sultanmuzaffar
Comments
Post a Comment