KOLUMPO (2013) ~ Kisah Hilang & Jumpa
NOTA: Ulasan ini kali pertama diterbitkan di portal Astro Awani dan disunting oleh sultanmuzaffar :)
Oleh: Ajami Hashim
Kolumpo ialah kompilasi 3 buah filem pendek yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai pentasnya. Seperti filem-filem tempatan lain sebelum ini yang menyorot sisi-sisi
terpilih penceritaan yang terpencil, sekadar menyebut beberapa buah
filem yang baik seingat saya adalah Anak Halal, Chow Kit, KL Gangster,
Layar Lara, Cinta.
Struktur ceritanya bergiliran seperti filem Maut atau Sini Ada Hantu. Namun kalau dipecahkan satu-satu secara berdikari ia ialah dalam kategori filem-filem pendek yang baik dan seringkali dibikin oleh penggiat filem bajet rendah dan murah dalam durasi 30 minit.
Uniknya filem Kolumpo kerana sebahagian besar durasi paparan cerita bergerak secara linear yang berlaku kurang 24 jam bagi setiap cerita dengan sedikit babak imbas kembali (flashback) dalam cerita 2 dan 3.
Cabaran utamanya pula ialah pembikinan filem pendek sebegini mesti menggunakan sepenuhnya durasi singkat setiap cerita untuk mengembangkan perwatakan dan latar ceritanya dengan segera, sekaligus dengan perjalanan ceritanya yang mesti lengkap dalam setiap segmen.
Filem seperti ini Kontradiksi pernah cuba mahu ke panggung tetapi kerana kekangan bajet, ia cuma terus dirakam dalam format DVD.
Kolumpo bernasib baik kerana salah satu filemnya dibikin oleh penggiat seni popular arus perdana Bront Palarae serta dibintangi oleh beberapa nama yang komersial bagi memudahkan strategi pemasarannya.
Namun begitu, populariti bukan jaminan untuk keuntungan tetapi sekurang-kurangnya ia memang mampu melonjakkan karya ini untuk lebih dikenali dan dihargai.
Ketiga-tiga cerita disusun dengan cantik yakni dibuka dengan kacau-bilau operasi tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam cerita Rahul, dikembangkan dengan bersiar-siar santai dalam kisah Gienna dan Nek Wok lalu diakhiri dengan drama manis remaja Hafidd dan Siti Nur Hayy yang keluar dari filem dengan tenang.
Susunan ceritanya seolah boleh saya ringkaskan: hilang - hilang/jumpa - jumpa.
Hilang - Rahul
Ini kisah Rahul (Azad Jazmin) yang mengimpikan 'hujan emas di negeri orang'. Perspektifnya ialah sekelompok warga asing yang tinggal di sini mencari rezeki yang halal.
Segmen arahan Bront Palarae ini kemas dan sangat terjaga dari segi pembikinannya. Malahan berani menyumbatkan babak-babak 'ganjil' umpama drama muzikal - tarian di atas bumbung serta nyanyian berharmoni ala Bollywood!
Cerita Rahul bukan sekadar ditonton di hadapannya sahaja, tetapi amatilah setiap latar landskap sekitar Kuala Lumpur di setiap babak yang khusus dipilih untuk menyatakan sesuatu. Misalnya tulisan-tulisan di dinding, nama-nama jalan atau binaan yang sinonim dengan Kuala Lumpur dan kejadiannya di situ.
Segmen ini juga menyentuh senario politik dan kuasa meskipun ia berlaku dalam rumah tumpangan pekerja yang paling asas, padat dan sempit. Watak-watak seperti Rahim (Sabri Yunus), Vasu (Mano Maniam), Feroz (Radhi Khalid), Komang (Shoffi Jikan), Little One (Jee Kutty) dan terutamanya Boss (K.S.Maniam) ialah kuasa kawan dan lawan yang berlaku dalam masyarakat di mana-mana sahaja.
Permulaan ceritanya di KLIA yang mewah berakhir dalam sebuah lori penguatkuasa seolah-olah memberi ingatan bahawa 'hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'.
Cerita Rahul ini berjaya menjentik jauh di sudut hati saya betapa beruntungnya sebagai rakyat tempatan dan cuba memahami sebahagian konflik susah-senang orang yang merantau di sini.
Kolumpo tidak terikut-ikut dengan kebanyakan filem kompilasi atau hyperlink cinema yang selalunya akan menyimpulkan, menemukan atau menyelisihkan kesemua cerita di satu babak/titik seperti Cinta atau Berbagi Suami namun ada satu babak dalam cerita Rahul yang meng”cameo”kan watak Siti Nur Hayy dalam kedai mamak, itu sahaja.
Hilang/Jumpa - Gienna/Nek Wok
Kolumpo seiras filem Indonesia, Jakarta Maghrib dari sudut isinya dimana ia memilih kisah masyarakat yang berlaku di sebuah ibukota. Malahan cara naratif road-movie dalam sebuah kereta kisah Gienna (Nell Ng) dan Nek Wok (Ruminah Sidek) seumpama kisah Jalan Pintas dalam Jakarta Maghrib.
Berbanding kisah Rahul, cerita ke-2 ini berlaku sepenuhnya pada waktu siang atau waktu puncak yang tipikal di Kuala Lumpur, sekaligus memberikan cabaran kepada pengarahnya Rozi Isma untuk menekap suasana kesesakan lalulintas dan pencahayaan yang terbuka serta cuaca yang mesti sempurna di sepanjang penggambaran. Kacau-bilau di jalanraya itu juga memberikan tapak asas kisah Gienna yang masih dalam kesesakan pilihan hidupnya.
Seperti Gienna, penonton juga tidak dapat meneka ke mana halatuju penceritaannya bila pertembungan Gienna dengan watak Nek Wok. Plot segmen ke-2 ini menyorot persoalan dimana kadangkala di antara simpang-siur kehidupan seseorang itu diberikan petunjuk ke jalan yang betul dari sesuatu yang tidak dijangka langsung.
Dalam kisah ini, Gienna akhirnya memahami erti dan nilai sebenar kasih-sayang dan perhatian ibunya dari kacamata ‘ibu’ orang lain iaitu Nek Wok yang nyanyuk.
Setiap pengulangan soalan dari Nek Wok ialah peringatan dan soalan yang selama ini tidak mahu dijawab oleh Gienna. Kisah Gienna seolah menyambung kisah Rahul yang juga melibatkan ibunya di India secara offscreen. Penyudah kisah Gienna dan Nek Wok secara ironi ialah titik konklusi yang sangat menyentuh hati dan berjaya menamatkan destinasi perjalanannya (hidupnya) yang sukar sepanjang hari.
Jumpa – Hafidd/Siti Nur Hayy
Kisah ke-3 ialah kisah remaja yang berwarna-warni tetapi dalam kegelapan sesuai dengan durasi penceritaannya di sebahagian malam di sekitar lokasi-lokasi taman Kuala Lumpur.
Berbanding kisah ke-2, kali ini cabaran kepada pembikinnya Sheikh Munasar kerana sebahagian besar penggambarannya di waktu malam sahaja. Perwatakan Hafidd (Amirul Ariff) dan Siti Nur Hayy (Sharifah Amani) mendekati kegelisahan dan konflik remaja mengenai pencarian seorang ‘kekasih’.
Mungkin kisah remaja sebegini kedengaran klise dan mudah difahami namun bila kisah Hafidd dan Siti Nur Hayy dikembangkan ia mengiyakan persoalan konflik hubungan sesiapa sahaja tidak kira remaja atau orang dewasa. Pencarian pasangan oleh Hafidd dan Siti Nur Hayy juga seolah menyambung persoalan yang sedang dilema dalam diri Gienna dari kisah ke-2. Setiap watak yang dilalui, Sherry (Sherry Alhadad) dan Kak Nurul (Fairuz Fee) juga sebagai petanda-petanda konflik yang biasa dalam perhubungan.
Penamat kisah ke-3 ini tidak mahu menjadi terlalu happy ending tetapi cukup sekadar memberikan harapan bila Hafidd berkenalan dengan seorang gadis dalam tren yang bergerak laju seperti pantasnya kehidupan penghuni Kuala Lumpur dari ketiga-tiga cerita.
Semua orang ada ceritanya sendiri di Kolumpo.

Comments
Post a Comment