Ceroboh @ The Screaming Sky (2022) : awas! dewa kerajaan langit sudah turun ke bumi!
AWAS! ULASAN INI ADA SPOILER!
Sinopsis dan Filem: baca dan tonton di Netflix
Ceroboh mempunyai ‘nafsu’ yang besar kerana genre asasnya fiksyen sains dan latar dunianya pra-kiamat. Ia seumpama penerbitan B-movie berbajet kecil di tahun 80-90an yang akan terus dijual atau untuk disewa dalam bentuk VHS. Penerbitan filem sebegini akan kelihatan dan kedengaran gah dari poster dan trailer, tapi sangat cermat serta berjimat semasa pembikinannya kerana penerbit akan melaburkan duit yang terhad untuk dibelanjakan sepenuhnya berdasarkan kemampuan pihak produksi dan akan memerah sebaik mungkin bakat para pelakon untuk menyampaikan pengkisahannya. Ceroboh membuktikan bahawa kos kecil pembikinan akan mencorakkan hasil filemnya seperti ‘mengukur baju di badan sendiri’ untuk dipercayai ‘believable’ sudah cukup memuaskan.
Dasar penceritaan Ceroboh bergantung sehabis baik secara character-driven iaitu ia bercerita kepada penonton melalui babak-babak seumpama persembahan teater atau drama radio dimana setiap butiran dialog watak-watak ialah naratif bagi menjelaskan konflik dan selesaian kisahnya dalam lokasi yang terhad. Semua backstory malapetaka serangan makhluk asing yang menakluk dunia cuma melalui cakap-cakap di antara watak. Hanya paparan pembukaan Kuala Lumpur yang kosong digarap dengan CGI berasap sebagai set-up sahaja. Aksi dan reaksi di bahagian bumi yang lain atau tindakan makro dari pemegang kuasa - tidak perlu. Ceroboh mengecilkan se-mikro mungkin kepada kisah sekumpulan rakyat Malaysia ini sahaja; Aisyah (Mia), Zhang Zhen (Kent), Wei Ling (Grace), Yasmin (Nia), Ameer (Syazani), Darrell (Sasidaran) dan cameo The Mugger (Charles).
Dalam Act 1 Ceroboh seakan mengumpan harapan bahawa kita akan melihat rupa bentuk makhluk asing yang digelar ‘dewa’ oleh Zhen itu di Act 2 atau Act 3. Namun rupanya, filem ini semirip It Follows (2014) yang memberikan paparan antagonist ‘halimunan’ secara off-screen atau penampilan sipi-sipi sahaja kerana ia bukan antagonist utamanya. Hanya kesan bunyi nyaring menyakitkan telinga yang menjadi senjata oleh makhluk asing itu untuk menakluk minda manusia ialah musibahnya. Ceroboh bermain dengan idea - apa yang kita tidak nampak ialah benda yang lagi menakutkan dan menyiksakan seperti filem The Happening (2008).
Aisyah ialah protagonist iaitu watak seumpama Neo ‘The One’ (Keanu) dalam The Matrix (1999) dimana dialah sahaja manusia terpilih yang tidak mampu dikorupsikan fikirannya oleh makhluk asing. Kenapa? Mungkin dialah sahaja yang paling ‘cerdik’ dari yang lain berdasarkan paparan kajian keratan akhbar dan bahan lain yang dikajinya mengenai makhluk asing itu sejak serangan. Otak pandai Aisyah susah nak diperbodohkan, agaknyalah.
Yang lain-lain tak berapa cerdik ke Ajami? Ok ok kejap..
Wei Ling pun pandai juga sebab dia seorang doktor kiranya dia nombor 2 cerdik selepas Aisyah. Tapi nampak tak?..masa cadangan nak buat kajian kepada ‘zombie’ Darrell tu sebenarnya bagus cadangan dia tu tapi kena reject dengan semua orang sebab Zhen yang hasut kan? Sebab apa Zhen perangai macam tu? Nanti saya terangkan jap eh..
Ameer ialah jatuh nombor 3 pandai sebab dialah mekanik dalam cerita ni - pun sampai sekarang dia masih hidup sebab otak dia sentiasa kreatif. Yasmin nombor 4 pandai sebab nampak gaya macam anak orang have-have dari fesyen pakaian dan subang-subang Yasmin - pun gamaknya masih hidup sehingga hari ini kerana dia bukan dumb-blonde dan dia sangat kuat semangat kekeluargaan untuk sebolehnya selamatkan Darrell - maka dia dari manusia yang otak suci dan bernas juga. Cuma Darrell dan The Mugger yang mati kan? Sebab mungkin Darrell sejenis otak poyo dan The Mugger sah-sah dia perompak otak penjenayah - jadi dua-dua mati bila kena serangan bunyi nyinggg dari makhluk asing.
Ok sekarang saya cuba teka kenapa Zhen ialah penjahat atau antagonist sebenar dalam filem ni? Sebab Zhen ialah seorang (sila klik) peguam - dia memang pandai bercakap untuk memanipulasi orang lain untuk ikut cakap dia. Maka sebab itulah Zhen juga mangsa selepas Darrell yang dijangkiti sakit otak sebab kebarangkalian dalam fikiran dialah yang paling banyak ‘what if’ dan ‘reasonable doubt’ kerana kepakarannya sebagai seorang peguam - maka lagi senang makhluk asing nak cemarkan minda dia sampai jadi jahat ya amats!
Secara lapisan kedua cerita ni: hanya manusia-manusia yang cerdik-pandai dan bersih fikirannya akan survive. Penjajahan minda dari ‘dewa’ yang minta disembah itu seumpama kerajaan langit yang sudah turun ke bumi untuk menjahanamkan manusia secara halus - baca: pemikiran korupsi misalnya budaya luar yang perlahan-lahan merosakkan minda masyarakat untuk jadi sesat dan akhirnya mati akal lepas tu akan menjangkiti pula orang lain (Darrell kepada Zhen). Permainan kamera, runut bunyi dan penataan cahaya dari POV Zhen realism kepada surrealism warna merah dan ambilan kamera yang chaos - semua itu bagus!
Filem ini kalau ditukar jadi filem zombie atau filem seram berhantu pun masih sama - iaitu siapa yang jadi zombie selepas digigit zombie lain atau dirasuk oleh makhluk halus akan mengganas macam Zhen tu kan? Di pertengahan filem ini ia bertukar menjadi horror slasher kerana kegilaan Zhen itu yang sebenarnya bermula dari pencemaran minda hingga ketagihan dan keterujaan adrenalin ganas selepas dia pertama kali membunuh ‘mayat hidup’ Darrell secara gore dengan tukul itu. Zhen juga jadi ‘ejen pengikut kultus makhluk asing’ untuk menarik semua orang supaya jadi pentaksub dan penyembah ‘dewa’ sebagai ‘Tuhan’ baru manusia yang akan membebaskan minda mereka semua untuk ke ‘syurga’ di angkasa lepas ala-ala Ayah Pin lah mungkin ye dok?
Saya secara pukalnya ucapkan tahniah kepada produksi filem Ceroboh kerana walaupun ceritanya sangat simple dan macam pusing-pusing dalam bangunan itu sahaja, tapi production value korang sangat nampak berkualiti bagus dan suntingan kreatif walaupun berbajet kecil kan penerbit Amir Muhammad?
Saya berikan Ceroboh 3.5/5 Bintang.
Sekian, terima kasih.
Comments
Post a Comment