Sejujurnya pertama kali saya terbaca di internet tajuk filem ini, saya teringat masa kecik-kecik dulu tengok siri koboi The Lone Ranger. Ya, tajuknya memang catchy! Rupa-rupanya ia bukan cerita koboi tapi sempena nama watak DSP Sherifuddin Hussein @ Sheriff (Zul Ariffin) yang menjadi tunjang utama filem kepolisan yang terbaik memaparkan realisme penceritaannya setakat ini untuk filem Malaysia sebarisan J Revolusi (2017), One Two Jaga (2018) dan Polis EVO 3 (2023). Perkataan 'sheriff' itu sendiri memang bermaksud pegawai polis.
NOTA: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi Spoiler!
Pembikinan filem ensemble cast sebenarnya berisiko boleh jadi serabut dan mengelirukan untuk diikuti kronologi naratifnya kerana ramai watak hendak diperkenalkan backstory dan plot bercabang-berselerak. Tahniah kepada team produksi, terutamanya para editor; Syafiq Yusof, Nazifdin Nasrudin dan Izaq Yuzaini kerana Sheriff: Narko Integriti (2024) berjaya bercerita dengan pantas dan padat serta mudah dihadam dari mukadimah hingga tamat.
Wayang gambar ini menggarap aksi dan drama dengan menjalinkan penceritaan seumpama gabungan crime-thriller Se7en (1995), action-thriller Infernal Affairs (2002) dan whodunit Knives Out (2019) serta elemen perwatakan detektif pemikir Hercule Poirot dan Sherlock Holmes melalui watak Sheriff.
Filem ini tidak terasa terlalu protokol kejang ketat kaku walaupun latarnya mengenai konflik dalaman polis tempatan kerana penceritaannya yang santai bersahaja dan serius untuk babak yang kena serius. Kisahnya ialah isu politik di dalam dunia rekaan; siapa geng dengan siapa, siapa tikam belakang siapa serta persoalan antara hitam, putih dan kelabu kemanusiaan apabila ada kuasa atau motif di sebelah pihak baik atau jahat.
Setiap perwatakan ada sisi gelap masing-masing yang boleh menjadi suspek 'Meth-Killer' dan 'tikus Tony Ifrit' oleh Sheriff. Filem ini sejenis permainan plot penontonannya dalam 2 fasa; dimana (1) kita penonton selangkah di hadapan Sheriff serta semua watak kerana 'sudah tahu' siapakah 'Meth-Killer' (2) kita penonton bersama Sheriff serta semua watak akan meneka-neka siapakah 'tikus Tony Ifrit' di dalam kumpulan polis sehinggalah ke bahagian penghujung cerita.
Finale/Showdown di Act 3 yang terbahagi intercut di antara 2 lokasi; (1) bas tempat Jane (Elizabeth Tan) 'ditawan' (2) gudang Tony Ifrit (Aaron Aziz) memberikan pecahan aksi hebat kepada team polis para pelakon/polis sebenar (sniper) dan team polis sebenar/stuntman yang berlakon. Paparan aksi, strategi dan prosedur taktikal pihak polis tempatan itu antara paparan yang seronok ditonton dan diakui nilai komersial filem ini.
Butiran plot fiksyen filem ini seakan cuba menekap sehampir mungkin realiti dunia hitam jenayah yang bersimbiosis di antara kegilaan antagonist Tony Ifrit dengan tikus/individu korup yakni gunting dalam sekam atau api dalam lipatan (marah DBP karang ni pandai-pandai aku remix peribahasa haha) di dalam pihak berkuasa (baca: polis, hakim). Walaupun tindakan bersifat vigilante oleh watak Inspektor Nazri (Syafiq Kyle) amat drastik, namun ada ketikanya penonton akan terasa 'menghalalkan' apa yang dilakukannya, kan? Tahniah Datuk Yusof Haslam kerana mencetuskan idea asal, juga salute Nazifdin Nasrudin dan Syafiq Yusof kerana mengembangkan idea itu ke format skrip filem ini.
Signature Syafiq Yusof/SKOP yang wajib ialah babak-babak letupan terbakar kebaboom!, aksi kejar-mengejar dan bertumbuk yang padu. Berapa kali kenderaan/bangunan meletup, saya lupa nak kira, tapi okje best semua sekuen itu.
Keseluruhan sinematografi bagus oleh Rahimi Maidin yang disunting secara teliti terutamanya close-up ke arah aksi/reaksi mata pelakon berjaya memaparkan permainan emosi dalaman untuk babak-babak tertentu serta adunan muzik latar oleh Latt Faizal dan Sham Stalin yang bertepatan.
Dari segi lakonan.. semua best sebab semua power-power A-List.. ala-ala reunion Talbis Iblis (2022) yang sekarang sedang tayang di Netflix pun jugak.. tibaaa.. hehe.. Tapi saya nak komen la jugak lakonan Zul Ariffin sebagai Sheriff sangat cool selamba lucu dan saya pasti akan ada sekuel Sheriff dan ASP Syazlin (Azira Shafinaz) untuk kes lain kan Syafiq Yusof?
Selamat Hari Raya!